Wednesday, November 18, 2015

'Gadis Belon' Akan Kemuka Representasi Supaya Pertuduhan Menghina Ditarik


Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 1:57 PM

KUALA LUMPUR: Penari Bilqis Hijjas yang didakwa berkelakuan menghina bagi membangkitkan kemarahan pada sambutan Hari Kebangsaan lalu, yang turut dihadiri perdana menteri dan isteri, dengan melepaskan belon berwarna kuning, akan mengemukakan surat representasi ke Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya ditarik balik.
Peguam Michelle Yesudas yang mewakili Bilqis, 36, yang dikenali sebagai 'Gadis Belon', memaklumkan kepada Majistret Muhamad Faizal Ismail pihaknya akan menghantar surat itu sebelum 16 Dis depan.
Mahkamah menetapkan 16 Dis ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan representasi itu dan dua hari untuk perbicaraan kes itu bermula 28 Jan tahun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi.
Pada 23 Sept lepas, anak perempuan kepada arkitek terkenal tanah air, Hijjas Kasturi itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkelakuan dengan cara menghina bertujuan membangkitkan kemarahan di mana keamanan mungkin terganggu di pusat beli-belah, di aras 5, Pavilion, Jalan Bukit Bintang, pada pukul 3.15 petang, 31 Ogos lepas.
Bilqis didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Pada Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli-belah itu sewaktu Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.
Belon yang dilepaskan itu antaranya tertulis perkataan 'Democracy', 'Justice', 'Corruption' dan 'Free Media'. 

No comments:

Post a Comment