Wednesday, November 18, 2015

Siasatan 1MDB: Tak Ada Keperluan Panggil Najib - PAC


Diterbitkan: Rabu, 18 November 2015 2:37 PM

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk prosidingnya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusinya Datuk Hasan Arifin berkata PAC melihat sebagai 'tidak ada keperluan' untuk memanggil beliau.
"Tak ada keperluan...," jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat pertamanya selepas mengambil alih jawatan pengerusi PAC daripada Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Kenyataannya itu dilihat sedikit bercanggah daripada ketegasan Nur Jazlan sebelum ini yang berkata PAC akan mempertimbangkan untuk memanggil Najib memberi keterangan bagi membantu siasatan PAC terhadap 1MDB.
"Saya tak tahu tentangnya (kenyataan Nur Jazlan)…tak ada keperluan untuk panggil PM," ulangnya sekali lagi.
Ahli Parlimen Rompin itu turut menegaskan bahawa isu 1MDB tidak mempunyai kaitan dengan dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.
"Biar orang awam tahu, ia telah dinyatakan dalam laporan interim Ketua Audit Negara," katanya.
Mengenai adakah ahli perniagaan Jho Low yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu 1MDB akan dipanggil Hasan berkata beliau boleh dipanggil tetapi menjadikan alasan kesukaran mengesannya sebagai kekakangan.
"Kita boleh panggil Jho Low tetapi kita juga kena lihat dalam kerangka undang-undang sama ada beliau terlibat dalam apa-apa berkaitan 1MDB…polis pun tak dapat mengesannya, bagaimana kita nak cari," katanya.
Hasan bagaimanapun berkata, dalam mesyuarat hari ini, isu 1MDB tidak dibincangkan sebaliknya PAC bermesyuarat mengenai isu kos pembaikan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan isu projek di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang tidak menjadi.

No comments:

Post a Comment