Wednesday, November 18, 2015

Umno Siasat Dalang Mahu Najib Letak Jawatan


Diterbitkan: Rabu, 18 November 2015 1:53 PM
Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Umno sedang menjalankan siasatan bagi mengesan ‘dalang’ di peringkat cawangan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melatakkan jawatan.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, gesaan yang kononnya datang dari pemimpin akar umbi peringkat cawangan itu sebagai usaha untuk melemahkan parti.
"Kita akan siasat dan lihat masalah dalang-dalang yang ingin melemahkan parti yang sedang utuh dan kuat.
"Kita tiada masalah. Kita ada lebih kurang 25,000 cawangan. 30 cawangan ini pun kita tidak tahu siapa dan cawangan-cawangannya. Inilah masalah ada orang yang cuba menjadi dalang mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.
Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan Umno di Sepang, memohon Najib meletak jawatan.
Jurucakap kumpulan itu, Rushdan Mohamed berkata Najib perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno kerana skandal berpanjangan yang melanda dirinya telah menjadikan beliau sebagai liabiliti.
Ku Nan berkata setelah penelitian dibuat, terdapat kekeliruan dari segi jumlah cawangan yang membuat gesaan itu.
"Saya tengok nama (ada) 15 cawangan. Saya tak tahulah. Tidak tahu mainan siapa," katanya.
Katanya sebagai setiausaha agung parti, siasatan akan diteruskan walaupun percaya Najib masih mendapat sokongan padu ahli.
"Saya tidak gusar, runsing. Saya percaya bahawa presiden umno masih lagi dapat sokongan penuh dari ahli-ahli Umno," katanya.
Pada Selasa, Rushdan yang juga ketua Umno cawangan Rista Villa Perdana Putra dalam satu sidang akhbar di Kajang berkata Najib perlu meletakkan jawatan jika beliau sayangkan parti, kerana begitu banyak masa telah pun diberikan kepadanya untuk menyelesaikan beberapa masalah seperti GST dan dana RM2.6 bilion.
Berada di kalangan akar umbi dan pengundi, Rushdan berkata, beliau tidak dapat nampak bagaimana Umno dan BN boleh dipilih semula pada PRU-14 jika isu-isu ini tidak dapat diselesaikan dan Najib terus kekal.

No comments:

Post a Comment