Susunan Athirah Huda Zalhe
NAMA Dr Murad Hoffmann bukanlah asing dalam kalangan cendikiawan Muslim. Bekas duta Jerman yang pernah bertugas di Algeria dan Maghribi ini bukan hanya terkenal kerana beliau seorang mualaf, tetapi juga disebabkan pemikirannya mengenai Islam seperti mana hasil penulisan bukunya yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa.
Antara buku yang terkenal ialah ‘Diary of a German Muslim’ dan ‘Journey to Islam’ yang mengisahkan bagaimana Hoffman yang berasal dari keluarga Katolik memutuskan untuk memeluk agama Islam.
Meskipun ramai yang tidak mengetahui apa sebenarnya punca yang membuatkan beliau mengambil keputusan untuk bertukar agama daripada seorang Katolik kepada Muslim, Dr Murad memberitahu, ada tiga perkara yang menjadi faktormendorong kepada keputusan itu.
Pertama, ketika beliau menjadi duta di Al-Jazair pada tahun 1962. Ketika tu Al-Jazair sedang memperjuangkan kemerdekaannya daripada Perancis. Perancis telah membuat kesepakatan dengan kumpulan pejuang, jika mereka sedia untuk melakukan gencatan senjata maka Perancis akan menyerahkan kedaulatan negara itu ke tangan mereka.
Namun, rakyat Perancis yang tinggal di Al-Jazair sengaja melakukan provokasi agar kumpulan pejuang membalas agar Perancis boleh mencari alasan untuk menyalahkan kumpulan pejuang kemerdekaan Al-Jazair.
Keteguhan kumpulan pejuang tersebut, yang sedikit pun tidak terkesan dengan provokasi itu membuat Dr Murad kagum.
“Saya sangat kagum dengan disiplin mereka, ia membuatkan saya tertarik untuk membaca al-Quran bagi mencari apa yang telah memberikan kekuatan yang begitu besar kepada pejuang-pejuang Al-Jazair itu.
“Saya berfikir, saya ingin bertukar agama meskipun belum secara rasmi. Dan saat itulah saya berfikir untuk meninggalkan semua ideologi Kristian,” kata Murad.
Murad berkata, faktor yang kedua adalah nilai kesenian Islam. Selain urusan diplomat beliau juga seorang pengkritik tarian ballet. Disebabkan itu, beliau sering ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyaksikan pertunjukan ballet dan mengkritiknya.
“Pertama kali menyaksikan hasil karya seni Islam di kota Sepanyol seperti Granada, Cordoba, Seville dan Andalusia, ia menyentuh saya dengan cara yang tidak pernah saya rasakan terhadap karya seni lain,” kata Murad.
Faktor ketiga yang menjadi pendorong untuknya mengambil keputusan memeluk Islam setelah beliau mengetahui bahawa semua ahli falsafah terbesar dan mahsyur di dunia adalah Muslim.
“Saya berasa kesal dengan diri saya kerana tidak mengetahui perkara tersebut,” katanya.
Sambung Murad, pemikirannya sangat dipengaruhi oleh pemikiran Ibnu Khaldun yang menjadi pelopor kepada ilmu sosiologi serta merupakan sejarawan pertama.
Pada tahun 1980, Jabatan Luar Negeri Jerman memberikan buku berupa pengetahuan mengenai Islam pada calon dutanya yang akan ditugaskan ke negara-negara Muslim. Kebetulan waktu itu bertepatan dengan hari ulang tahun anaklelaki Murad.
“Saya memberitahu kepada anak saya bahawa saya akan memberikan sesuatu tetapi bukan yang berkaitan dengan duit,” katanya.
Beliau mula menulis semua perkara yang penting yang ditemukannya dalam Islam. Semuanya sebanyak 14 muka surat.
Murad lalu menunjukkan tulisannya pada Imam Muslim dar Dusseldorf yang memberikan latihan pada diplomatik Jerman itu. Keesokannya, imam tersebut bertanya apakah Murad meyakini apa yang telah ditulisnya dan beliau menjawab “ya”.
“Jika kamu yakin, maka kamu adalah seorang Muslim,” kata Murad.
Beliau secara rasmi mengucapkan dua kalimah syahadat di Islamic Center Colonia pada September, 1980. Beliau kemudian memberitahu perihal keislamannya kepada Kementerian Luar Negeri Jerman dan menolak untuk ditugaskan ke Israel atau Vatikan.
Sejak itu Murad rajin menulis buku-buku Islam. Buku pertamanya, ‘Diary of a German Muslim’ sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia.
Kini, Murad sudah berusia 78 tahun dan faktor usia tersebut membuatnya membatasi aktiviti ke luar negeri.
No comments:
Post a Comment