MANILA - Barisan pemimpin paling berkuasa dunia akan memakai baju nenas pada Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadualkan membuka tirainya di Manila hari ini.
Baju tersebut merupakan pakaian tradisi kaum lelaki di negara Asia Tenggara itu.
Pereka fesyen selebriti Filipina, Paul Cabral bertungkus lumus selama empat bulan untuk menyiapkan baju itu, barong untuk setiap 21 pemimpin APEC.
Ia yang sebahagiannya diperbuat daripada fiber nenas, akan dipakai pada majlis pembukaan APEC di Manila hari ini.
Cabral bagaimanapun berdepan tugas berat untuk menepis reputasi lalu yang menyaksikan acara karpet merah APEC dilabel peragaan pakaian terburuk di dunia.
Pada tahun lalu, tunik yang dipakai oleh pemimpin-pemimpin APEC di China menjadi viral di internet kerana menyerupai uniform filem popular, Star Trek.
Selepas dunia dilanda krisis kewangan global pada 2008, jubah ponco yang dipakai oleh pemimpin APEC di Peru diejek sebagai guni ubi kentang, manakala barisan pemimpin berkenaan kelihatan tidak selesa memakai pakaian tradisional Vietnam, ao dai semasa berada di pentas untuk sesi fotografi.
Tradisi itu bermula pada 1993 apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton menyarung barisan pemimpin APEC dengan jaket kulit seperti yang dipakai oleh kru-kru pesawat pengebom AS.
Pakaian barong mempunyai tempat khas di dalam almari lelaki Filipina. Ia hanya dipakai pada acara istimewa seperti majlis perkahwinan.
“Sidang kemuncak ini menjadi gelanggang terbaik untuk menunjukkan barong dan bakat Filipina. Dunia menjadi penonton anda, tiada yang lebih hebat daripada itu,” kata Cabral.
Pereka fesyen terkenal itu berkata, dia yakin pakaian rekaannya tidak akan menjadi bahan ejekan.
“Saya langsung tidak bimbang. Saya hanya menumpukan kepada kerja saya,” katanya.
Menurut Cabral, rangka tinggi lampai Obama akan dibaluti dengan corak bermotifkan seni bena zaman pembaharuan Amerika.
Baju Presiden China, Xi Jinping pula menampilkan corak bambu, manakala Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memakai baju dengan motif perisai pahlawan Sarawak. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3rn2T60N2
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment