BANDARAYA MELAKA - Satu forum terbuka membabitkan kerajaan, pihak berkepentingan dalam bidang undang- undang serta orang ramai perlu diadakan bagi melerai kontroversi mengenai hak mempertahankan diri ketika berlakunya sesuatu kejadian jenayah.
Ketika mengusulkan cadangan ini, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, forum terbuka ini perlu
diadakan dalam masa terdekat ini berikutan kontroversi yang timbul ekoran kejadian di Terengganu di mana seorang lelaki ditahan reman berhubung dakwaan
membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya.
Menurutnya, forum berkenaan perlu melibatkan semua pakar dalam bidang perundangan termasuk pihak kerajaan, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, orang ramai serta mana-mana pihak berkepentingan untuk membincangkan bagaimana seseorang boleh mempertahankan diri dan tidak sehingga dianggap sebagai satu tindakan keterlaluan dan tidak munasabah.
Menurutnya, menerusi forum ini, kerajaan boleh mendengar pandangan serta kebimbangan pelbagai pihak, termasuk orang ramai, selain memberi peluang kepada pihak berkuasa memperjelaskan undang-undang sedia ada kepada mereka.
"Mungkin menerusi forum ini, satu rumusan dapat dibuat dan sekiranya dianggap sesuai, mungkin boleh dibuat pindaan kepada undang-undang sedia ada bagi mententeramkan semua pihak supaya tidak akan ada mana-mana pihak yang menganggap ia tidak adil.
"Apa yang kita mahu adalah keadaan menang-menang untuk semua, di mana keselamatan rakyat diberi perhatian dan pada masa sama, memastikan tiada sesiapa yang bertindak melampaui undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Mesra Bersama Media anjuran MCPF Melaka, yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye, di sini, hari ini.
Menurut Lam Thye, isu berkenaan telah menimbulkan banyak keraguan dan ketidakpastian dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi selepas ia dihebahkan menerusi media sosial.
Menurutnya, walaupun Seksyen 96 dan 97 Kanun Keseksaan memperuntukan hak mempertahankan diri, namun masyarakat perlu dimaklumkan sejauh mana hak mereka di bawah peruntukan ini supaya ia tidak dianggap sebagai menyalahi undang-undang.
"Dalam isu ini, mungkin ada yang merasa bahawa ia adalah susah untuk tentukan apa yang boleh disifatkan sebagai tindakan mempertahankan diri yang
munasabah dan apa pula yang dianggap keterlaluan sehingga boleh menjadi satu pembunuhan.
"Sebab itulah forum terbuka ini perlu diadakan dalam masa terdekat untuk menghentikan kontroversi ini," katanya.