Monday, January 4, 2016

Arab Springs satu kesilapan


DAN NAWWAR ABDUL RAHIM  |  04 Januari 2016 12:25 AM



KEMATIAN seorang peniaga jalanan di Tunisia, Moha­med Bouazizi yang membakar di­rinya lima tahun lalu di sebuah ba­ngunan kerajaan di negara itu kerana tidak berpuas hati dengan amalan rasuah di negara itu mencetuskan satu gelombang yang tidak pernah dijangka dalam peradaban manusia pada abad ke-21.
Gelombang yang dikenali de­ngan ‘kebangkitan rakyat’ atau Arab Springs pada Januari 2011 itu, telah membuka mata banyak pihak terutamanya rakyat di negara-negara yang kerajaannya mengamalkan pemerintahan kuku besi, rasuah atau kerajaan autokrat yang memerintah selama berdekad-dekad, selain pengaruh media sosial.
Kerajaan Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen tumbang di tangan rakyatnya sendiri, ekoran demonstrasi meluas yang diadakan rakyat bagi membantah pemerintahan autokrat, kuku besi dan amalan rasuah yang mereka dakwa menyebabkan pentadbiran negara menjadi tidak telus dan rakyat hidup menderita.
Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011 diikuti Pre­siden Mesir, Hosni Mubarak yang digulingkan pada Februari 2011, manakala Presiden Libya, Muammar Gaddafi mati dibunuh di ta­ngan rakyatnya pada Ogos 2011.
Namun, beberapa negara Arab lain ‘terselamat’ daripada digulingkan rakyatnya sendiri selepas kerajaan yang ada, bersedia dibubarkan atau bersedia membuat perubahan termasuk Bahrain, Jordan, Oman, Kuwait dan Lebanon.
Bagaimanapun, tidak semua kebangkitan rakyat itu berakhir dengan ‘mimpi indah’ seperti yang berlaku di Syria ketika ini selepas negara berkenaan dibelenggu de­ngan perang saudara yang belum menampakkan tanda bila akan berakhir.
Usaha penduduk Syria untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad yang berkuasa sejak tahun 2000 bukan sahaja tidak berjaya malah menyebabkan rakyat berdepan ‘mimpi ngeri’ apabila kebangkitan rakyat sejak Januari 2011 mengakibatkan rakyat berdepan krisis kemanusiaan paling buruk.
Perang saudara di Syria yang memasuki tahun kelima menyaksikan lebih 200,000 rakyat terkorban, manakala lebih empat juta lagi terpaksa menjadi pelarian de­ngan keadaan diburukkan ekoran campur tangan tentera asing yang mengebom negara itu saban hari.
Lebih memburukkan keadaan, kumpulan militan Negara Islam (IS) dilihat mengambil kesempatan daripada ‘kelemahan’ kerajaan Damsyik yang terpaksa berperang dengan rakyatnya sendiri apabila mengumumkan penubuhan kerajaan Kha­lifah di Syria dan Iraq pada Jun 2014.
Kehadiran kumpulan militan IS yang mewujudkan pusat pemerintahan di Raqqa, Syria menimbulkan fenomena yang sama sekali sukar digambarkan apabila kumpulan militan itu melakukan kekejaman bukan sahaja ke atas penduduk bukan Islam, malah kepada penduduk Islam, membunuh warga asing yang dijadikan tebusan, membunuh kanak-kanak dan menjadikan wanita sebagai hamba seks.
Menurut kumpulan pemantau hak asasi Syria, sejak menubuhkan kerajaan Khalifah, kumpulan militan IS telah membunuh sebanyak 2,001 orang awam termasuk 420 anggota mereka sendiri di Syria.
Kumpulan itu turut menarik kaum lelaki dari negara Asia Barat dan Eropah menyertai kumpulan berkenaan dengan Tunisia dilapor mempunyai kira-kira 2,400 rak­yatnya terlibat dengan militan IS di Syria sejak 2011.
Selain menimbulkan krisis kemanusiaan, sistem politik pasca Arab Springs dilihat menjadi agak bercelaru dan tidak menarik.
Di Libya misalnya, meskipun parti Kongres Agung Kebangsaan (GNC) dan Dewan Perwakilan Libya bersetuju membentuk sebuah kerajaan perpaduan di negara itu pada bulan lalu, namun mereka gagal mencapai kata sepakat bagaimana untuk membentuk kerajaan perikatan tersebut.
Pengarah Institut Sadeq, Anas El Gomati yang merupakan pakar pemikir Libya berkata, bukan mudah untuk mencapai kata sepakat dalam perjanjian itu kerana ia memakan masa yang sangat lama.
Mesir pula selepas Presiden Muhamad Morsi digulingkan oleh tentera dan mengharamkan pergerakan Ikhwanul Muslimin pada 2013, pilihan raya negara itu yang diadakan sebanyak dua pusingan pada 18 dan 19 Oktober serta 22 dan 23 November lalu dilihat hambar, berbeza sama sekali dengan keadaan pada pilihan raya 2011-2012.
Ini kerana, golongan muda yang mewakili majoriti penduduk Mesir menjauhi pilihan raya berkenaan dengan ramai yang menganggap­nya sebagai penipuan kerajaan dan menurut suruhanjaya pilihan raya Mesir, hanya 28 peratus atau 15 juta pengundi berdaftar yang melaksa­nakan kewajipan mereka.
Berdasarkan satu laporan oleh Bank HSBC pada 2013, mereka meng­anggarkan kerugian akibat gelombang Arab Springs di tujuh negara paling terjejas iaitu Mesir, Tunisia, Libya, Syria, Jordan, Lebanon dan Bahrain mencecah sehingga AS$800 bilion (RM3.4 tri­lion) pada 2014.
Malah menurut HSBC, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara-negara tersebut menjadi 35 peratus lebih rendah pada akhir 2014 berbanding sebelum gelombang Arab Springs.
Financial Times pula melaporkan, kerosakan akibat Arab Springs bukan sahaja ke atas KDNK tetapi juga kadar pengangguran pasca peristiwa berkenaan melambung dan tadbir urus serta kedaulatan undang-undang menurun sejak 2010.
Malah pengangguran di rantau Asia Barat kini merupakan antara yang tertinggi di dunia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arab-springs-satu-kesilapan-1.176002#sthash.vgKFAk6s.dpuf

No comments:

Post a Comment