04 Januari 2016 12:32 AM
Faida Hamdy sedih mengenangkan tindakannya merampas sebuah gerai menjual sayur milik Mohammed Bouazizi di Tunisia yang akhirnya mencetuskan Arab Springs. AGENSI
Tunjuk perasaan dan protes rakyat terhadap kerajaan yang memerintah, paling bersejarah di era moden, dilihat bermula di Sidi Bouzid, Tunisia pada 14 Januari 2011, sebelum ia merebak ke beberapa negara Arab lain seperti Mesir, Libya, Yemen dan beberapa buah negara lain di Asia Barat.
Gelombang kebangkitan rakyat itu kemudian dikenali sebagai Arab Springs.
Namun, fenomena kebangkitan rakyat di Asia Barat dan dunia Arab itu yang dilihat bermula dengan ‘niat baik’ dan ingin melihat ‘kemunculan dunia baharu di negara mereka’, tidak berakhir dengan keindahan.
Kebanyakan negara Arab terbabit dan penduduknya kemudian terjebak dalam perebutan kuasa, balas dendam, pembunuhan, kesengasaraan, perang saudara, kemelesetan ekonomi, rampasan kuasa dan berjuta-juta lagi menjadi pelarian.
Pergolakan yang berlaku di negara-negara terbabit menyebabkan saban hari banyak nyawa yang terkorban, ramai kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda dan kejatuhan kerajaan, kemusnahan ekonomi dan sistem sosial dan paling ketara ialah negara-negara terbabit menajdi lemah dan hilang kedaulatan.
Kajian terbaharu yang dilakukan di Tunisia mendapati lebih 15 peratus daripada kes kematian akibat melecur di negara itu berpunca daripada tindakan membakar diri ketika mengadakan tunjuk perasaan.
Keluarga peniaga jalanan Tunisia, Mohammed Bouazizi, pula menjadi selebriti dalam sekelip mata beberapa minggu selepas kematiannya.
Pegawai Majlis Perbandaran Tunisia, Faida Hamdy yang merampas gerai sayur Mohammed Bouazizi ditangkap apabila protes bermula.
Apabila wanita itu dibebaskan daripada semua tuduhan, semuanya seakan-akan sudah terlambat. Presiden Zine el-Abedine Ben Ali telah digulingkan dan melarikan diri ke Arab Saudi dan perhatian media mula tertumpu kepada revolusi kebangkitan rakyat di Mesir, Libya dan Syria.
Keluarga Mohammed Bouazizi yang memperolehi kemasyhuran turut tidak mampu lagi bertahan dengan permusuhan dalam komuniti mereka sehingga menyebabkan ibunya dan seorang saudara perempuannya berpindah ke Kanada.
Menurut adik perempuan Mohammed Bouazizi, Samia, walaupun kematian lelaki malang itu pada mulanya dilihat untuk menuntut maruahnya dan mengutuk amalan rasuah serta ketidakadilan dalam kerajaan di negaranya, namun akhirnya telah diselubungi oleh ideologi politik dan suara kebebasan tanpa hala tuju yang betul.
“Kematian abang adalah takdir dan saya menerimanya, Tetapi jika dia berada di sini pasti dia akan menjadi orang yang pertama di jalanan untuk meminta keadilan yang lebih bermaruah.
“Abang saya mencipta sesuatu yang orang tamak cuba untuk musnahkan di rantau ini. Saya percaya pasti dia akan menolak kedua-dua ahli politik kejam dan kumpulan ekstrimis yang menyebabkan banyak kematian yang berlaku ketika ini,” kata Samia kepada akbar The Telegraphs baru-baru ini.
Sama ada dunia Arab mampu bertahan dengan pergolakan berterusan, itu menjadi persoalan berbeza tetapi apa yang pasti, nama Mohammed Bouazizi dan Faida Hamdy akan terus diingati oleh penduduk di rantau Asia Barat dan dunia Arab, malah mungkin juga seluruh dunia sebagai pencetus ‘Arab Spring’.
Kedua-dua mereka berada di pihak bertentangan, tetapi mereka tercatat dalam sejarah revolusi kebangkitan rakyat di dunia Arab, yang akhirnya menjadi sesat ke arah kemusnahan dan jauh menyimpang daripada harapan yang diinginkan.
“Mohammed Bouazizi dan saya adalah mangsa. Dia kehilangan hidupnya dan hidup saya pula tidak sama lagi seperti dulu.
“Apabila saya melihat rantau ini dan negara saya, saya merasa amat menyesal. Melihat kematian di mana-mana dan ekstrimisme telah membunuh banyak jiwa yang tidak berdosa,” kata Faida.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kebangkitan-rakyat-cetus-penyesalan-1.176078#sthash.j0JsOgBP.dpuf
No comments:
Post a Comment