SHAH ALAM – Exco Pemuda Umno, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya menyifatkan tindakan berterusan pihak tertentu menggunakan sejarah kerjasama Umno dan Pas terdahulu untuk menghukum kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak tepat.
Beliau berkata, sekalipun tidak bersetuju dengan kerjasama itu, segelintir pemimpin Pas tidak sewajarnya menghalang usaha ke arah kebaikan itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.
“Adakah yang memimpin hari ini terlibat dalam peristiwa satu ketika dahulu dengan Pas? Mereka ini tidak konsisten, kalau tak setuju juga, (kenapa) nak menghukum semua (kepimpinan Najib) dengan sejarah terdahulu, walaupun kita ambil iktibar dengan sejarah itu?
“Kecenderungan sebahagian orang untuk menghukum Umno kerana kes terdahulu, tetapi (dalam masa sama) mereka menjemput dan mempromosikan kerjasama dengan DAP, (kemudian) nak melupakan sejarah dengan DAP,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam posting terbaharu di akaun Facebooknya semalam melahirkan kebimbangan kerana hubungan baik antara Umno dan Pas didakwa akan memberi kesan kepada nasib orang Melayu pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Fathul Bari juga berkata dakwaan mengatakan kerjasama itu bakal mendatangkan bencana kepada orang Melayu hanyalah kerana ia dilihat dari perspektif dan bermotifkan politik semata-mata.
“Saya minta umat Islam melihat kerjasama ini atas kepentingan agama, sebab itu kita kena melangkaui politik.
“Imam Masjid An-Nabawi ke Malaysia (Al-Syeikh Dr Abdul Muhsin Muhammad Al-Qasim) mengingatkan kita jangan menghukum saudara kita (kerana) kesalahan (sebelum itu), seolah-olah dia tak beri hak untuk mempertahan dan membela diri serta hak untuk berbaik dengan kita (Umno),” jelasnya.
Fathul Bari berkata lagi, hubungan Umno dan Pas yang semakin baik itu memberikan kebaikan begitu besar bukan sahaja kepada orang Melayu, bahkan memberikan rahmat kepada semua bangsa kerana inisiatif itu berasaskan Islam.
“(Walaupun) berasaskan Islam dan Melayu, tapi kita tak mengetepikan hak dan kepentingan bangsa lain kerana kedua-dua parti ini juga ada membuka (penyertaan) kepada bangsa dan agama lain.
“Jadi saya tak nampak perkara tidak baik bakal berlaku kepada rakyat negara ini, melainkan mereka hanya melihat dari perspektif kepentingan politik,” katanya lagi
.
No comments:
Post a Comment