Thursday, September 30, 2010

40 pulangkan wang didakwa hasil judi


Oleh Amin Ridzuan Ishak

2010/09/30

SEBAHAGIAN  daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan   kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada  satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN  Penaga,  Kepala Batas,  semalam.
SEBAHAGIAN daripada 40 penerima bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan RM100 yang diberikan kerana kesal dana sumbangan itu dikatakan diperoleh daripada sumber judi pada satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN Penaga, Kepala Batas, semalam.
KEPALA BATAS: Akibat marah, kecewa dan rasa tertipu, seramai 40 warga emas dan golongan miskin tegar di negeri ini, mengembalikan wang RM100 yang mereka terima daripada kerajaan negeri baru-baru ini, yang dikatakan diperoleh daripada sumber judi.

Penduduk dari Parlimen Kepala Batas itu memulangkan wang berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, dalam satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN berkenaan di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mereka kesal terhadap tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang menggunakan sebahagian daripada dana diterima daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda untuk diagihkan kepada rakyat.
Seorang penduduk dari Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Rosnani Rashid, terkilan kerana suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia pada 6 April lalu, iaitu seminggu selepas menerima RM100 menerusi program penghargaan warga emas sudah menggunakan wang itu.

Kalau kami tahu duit itu daripada sumber tidak elok seperti perjudian, sudah tentu duit itu tidak akan digunakan, katanya yang menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri ini.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri mengenai penerimaan sumbangan itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M Yaacob bertarikh 9 Julai 2010. 
Kerajaan negeri sebelum ini pernah menafikan pihaknya menggunakan wang daripada sumber judi untuk melaksanakan programnya, tetapi selepas pendedahan oleh Reezal Merican, Guan Eng mengakui bahawa kerajaan negeri ada menggunakan sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda untuk menjalankan program membas-mi miskin tegar.

Seorang lagi penduduk, Harun Ali, 63, berkata dia memulangkan semula wang RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri kerana tidak sanggup menggunakan wang itu selepas timbul isu bahawa wang berkenaan adalah daripada sumber meragukan. 

"Kalau makan duit ini, ia akan menjadi darah daging saya. Saya tidak mahu menjadi seperti itu dan kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak memahami sensitiviti serta hukum orang Islam," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan wang berkenaan bagi diserahkan kepada kerajaan negeri selepas menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk berbuat demikian kerana tidak mahu menggunakan wang daripada hasil judi.

Selepas ini program mengumpul duit sumbangan kerajaan negeri akan diadakan di seluruh negeri sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, katanya yang juga Setiausaha UMNO Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment