Monday, October 4, 2010

47 lagi serah wang judi



BUKIT MERTAJAM 3 Okt. - Seramai 47 orang lagi penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 daripada kerajaan negeri memulangkan semula wang tersebut hari ini.
Golongan fakir miskin dan warga emas terlibat memulangkan wang tersebut pada majlis Aidilfitri anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini.
Seramai 27 daripada mereka menyerahkan wang berkenaan pada majlis itu manakala 20 lagi berbuat demikian di pejabat UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, para penerima bantuan terbabit memulangkan wang secara beramai-ramai sebelum menyerahkannya kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir untuk dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut, Ramlan Ishak.
Seorang warga emas, Elias Siru, 68, berkata, dia tertipu kerana menyangka wang bantuan kerajaan negeri itu diberi atas dasar keikhlasan untuk membantu orang tua sepertinya.
"Tapi kalau mengambil duit judi untuk disedekahkan kepada orang macam kami ini, saya rasa ia sudah keterlaluan.
"Kadang-kadang saya rasa takut jika saya mati sebelum dapat memulangkan wang ini, hari ini saya benar-benar berasa lega," jelasnya.
Che Yom Abdul, 62, pula bertekad memulangkan wang tersebut kerana ragu-ragu ia bersumberkan wang perjudian seperti yang didedahkan baru-baru ini.
"Selepas tahu mengenai perkara ini, saya bertekad untuk pulangkan semula dan ketiga-tiga anak saya juga menasihatkan untuk pulangkan kerana kami sekeluarga tidak perlukan duit yang diragui dari mana ia datang.
"Kerajaan pun sudah beri duit pencen tiap-tiap bulan, itu pun sudah cukup, kami bersyukur. Cuma nak tanya (kerajaan negeri), patutkah beri kami duit ini? Kami mungkin tidak mampu tetapi kami tidak tergamak terima duit haram," katanya.
Sharifah Abdul Rahim, 70, pula memberitahu, dia sekeluarga sangat terkilan selepas mendengar pengakuan kerajaan negeri ada menerima wang dari Kelab Lumba Kuda untuk membantu orang miskin di Pulau Pinang.
"Saya ragu-ragu sama ada wang (RM100) yang terima ini juga datang daripada sumber judi, jadi saya rasa lebih baik pulangkan supaya hati lebih tenang. Insya-Allah, tanpa duit ini saya dan anak-anak masih boleh hidup," tambahnya.
Pada 29 September lalu, 40 penerima bantuan kerajaan negeri terdiri warga emas dan fakir miskin di Kepala Batas memulangkan semula bantuan berkenaan diikuti 70 lagi penerima bantuan sekitar Bayan Baru, dekat sini yang membuat tindakan sama semalam.

No comments:

Post a Comment