Wednesday, April 13, 2011

RM31j duit judi ditanam di kebun bawang putih


SEOUL: Polis Korea Selatan merampas wang tunai bernilai hampir RM30.6 juta ditanam dalam kebun bawang putih di kawasan terpencil, kata pegawai keselamatan semalam.
Menurut pegawai itu, wang berkenaan adalah perolehan daripada aktiviti perjudian tanpa lesen di Internet dikendalikan dua beradik.

Katanya, wang berkenaan disembunyikan di kawasan pertanian di bandar Gimje, selatan Seoul.

“Apabila menyedari aktiviti mereka dikesan polis, suspek mengarahkan ipar mereka - dikenali sebagai Lee - menyembunyikan wang berkenaan di ladang itu,” katanya.

Seorang daripada mereka kemudian ditahan polis dan dipenjara, manakala seorang lagi bebas.

Menggunakan wang itu, Lee, 53, membeli kebun bawang putih dan menanam wang tunai berkenaan ketika subuh atau senja dengan berpura-pura bercucuk-tanam di situ.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Lee menggunakan kira-kira RM1 juta daripada wang itu tanpa pengetahuan iparnya.

Apabila seorang daripada iparnya akan dibebaskan, Lee menyalahkan seorang pekerja jengkaut di kebun berkenaan.
Pekerja itu kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis. Polis berkata, mereka kini cuba mendapatkan waran tangkap ke atas Lee.

Sementara itu, laporan media mengenai isu itu meningkatkan desakan kepada kerajaan supaya lebih giat membasmi kegiatan perjudian tanpa lesen melalui Internet.

Biasanya, aktiviti itu dijalankan dalam laman sesawang yang berpangkalan di luar pesisir pantai. - AFP

No comments:

Post a Comment