Tuesday, March 29, 2011

Kelantan kekal haram judi



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2011/03/29

Keputusan dibuat Nik Aziz selepas mesyuarat EXCO 

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan semalam, mengekalkan keputusan mengharamkan sebarang bentuk kegiatan perjudian, termasuk penjualan loteri kebajikan di semua premis di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, selepas mendapat pandangan Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Mazlan Abdul Halim, mengenai perkara berkaitan, mengekalkan keputusan pengharaman itu.
Katanya, keputusan itu kekal untuk negeri ini saja, ia tidak membabitkan persekitaran luar Kelantan dengan berlandaskan kepada Seksyen 9 Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri boleh pada bila-bila masa memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melaksanakan sebarang dasar yang tidak bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

"Keputusan yang dibuat oleh Nik Aziz adalah berdasarkan kepada pandangan Penasihat Undang-undang negeri dan dalam hal judi ini tetap tidak boleh (haram) di negeri ini. Ini keputusan diambil dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri hari ini. 

"Keputusan ini kekal sebagaimana pemerintahan PAS sejak 20 tahun lalu dan pengharaman itu merangkumi penjualan (loteri atau perjudian) yang dilakukan sama ada dalam atau luar premis di semua PBT di negeri ini. 

“Oleh itu, apa yang dilaksanakan oleh PBT negeri ini termasuk tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) baru-baru ini yang menyerbu tiga premis di Kota Bharu yang menjual loteri adalah selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan Seksyen 9,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, di sini, semalam. 
Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri mengenai isu judi berikutan tindakan Nik Aziz yang menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang negeri mengenai perkara ini, selepas MPKB mengambil tindakan menyerbu tiga premis yang menjual loteri big sweep, baru-baru ini. 

Isu judi ini turut mendapat perhatian sekutu PAS, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar itu, mengenai pendiriannya mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan. 

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu (penjualan loteri) kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan. 

Takiyuddin berkata, tindakan yang dilakukan MPKB terhadap tiga premis yang didapati menjalankan kegiatan menjual loteri kebajikan itu adalah satu tindakan yang betul mengikut undang-undang. 

"Tindakan diambil itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985, mana-mana perniagaan mesti dilesenkan dan judi apabila menjadi perniagaan, menjadi satu kesalahan," katanya. 

No comments:

Post a Comment