Wednesday, April 13, 2011

Bakal pengantin pasrah bala bertimpa



KUALA TERENGGANU - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang terpaksa dilalui bakal pengantin, Noor Akma Edayu Othman, 26, apabila terpaksa menanggung musibah berganda dalam masa seminggu.

Pada 4 April lalu, rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jaml 8.45 pagi, menyebabkan dia bersama enam lagi anggota keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Berikutan tragedi itu, segala persiapan perkahwi-nannya termasuk barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dan mereka kini terpaksa tinggal menumpang di rumah jiran.

Belum sempat kesedihan itu hilang, dia sekeluarga sekali lagi diuji apabila kehilangan bapa tersayang, Othman Said, 56, yang meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

Noor Akma Edayu, anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui berkata, walaupun hiba dengan dua ujian yang menimpanya itu, namun dia tetap reda dengan keten-tuan Ilahi malah percaya ada hikmah di sebaliknya.

Dia yang juga kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di bawah Skim Latihan Graduan (SLG) itu mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 April ini.

“Pada tengah hari semalam (kelmarin), arwah meminta saya supaya segera mengadakan majlis perkahwinan hari ini juga (Selasa), seolah-olah dia tahu dia akan `pergi’ tinggalkan kami.

“Beberapa jam selepas dia cakap begitu, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di kampung Mengabang Tengah Masjid, selepas menerima kunjungan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di sini kelmarin.

Akma berkata, bapanya, seorang pengawal keselamatan di bengkel Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Chendering mula dikesan menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu dan semakin serius sejak beberapa bulan belakangan ini.

Katanya, majlis pernikahannya tetap akan diteruskan pada 22 April ini dan segala persiapan sudah dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan.

Sementara itu, dia dan keluarganya mengucapkan setinggi terima kasih kepada jirannya di atas kesudian menerima mereka menumpang teduh, sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan Kerajaan Negeri.

Difahamkan, Kerajaan Negeri bersetuju membina kediaman baru Allahyarham Osman melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu meringankan beban keluarga terbabit dan perbinca-ngan perlu dilakukan antara keluarga mangsa dan Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment