KUANTAN - Misteri 20 ayam kampung milik Merzuki Mahmud, 58, dari Desa Panching Timur yang mati sejak seminggu lalu akhirnya terjawab apabila perangkap yang dipasangnya mengena seekor kucing hutan.
Menurut Merzuki, sebelum ini dia agak pelik melihat beberapa ekor ayam di reban miliknya mati dengan berlumuran darah serta organ dalamannya hilang.
Oleh itu, dia bertindak melihat reban ayam tersebut lewat malam dan mendapati seekor haiwan seperti kucing sedang enak membaham ayam-ayam miliknya itu.
“Malam seterusnya saya dan isteri tekad memasang perangkap dalam reban tersebut dan menggunakan umpan ayam daging.
“Sebaliknya, kucing hutan ini tidak mahu memakan ayam daging yang dibuat umpan tersebut tetapi terus membaham ayam milik saya.
“Selepas itu, saya ambil seekor bangkai ayam yang dibunuh oleh kucing ini lalu diletakkan di dalam perangkap dan hasilnya kucing hutan ini terperangkap,” katanya.
Sementara itu, dia agak terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut yang sememangnya jarang dijumpai dan pada masa yang saya berasa geram kerana hanya tinggal sepuluh ekor sahaja ayam kampung di dalam reban tersebut.
“Saya baru sahaja memulakan ternakan ayam kampung ini beberapa bulan lalu setelah ayam terdahulu mati akibat terkena penyakit.
“Tidak sangka pula, ini dugaan saya pada hari ini membuatkan saya harus lebih berhati-hati lagi dan berharap agar kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya.
Menceritakan mengenai tabiat kucing hutan ini, ia sememangnya agak garang dan sukar untuk didekati membuatkan Merzuki risau akan keselamatan dirinya.
Setelah berjaya ditangkap di dalam perangkap, kucing hutan ini bertindak agresif membuatkan dia risau sekiranya ia boleh terlepas.
Sementara itu, belakang rumah Merzuki juga merupakan sebuah tanah milik persendirian yang tidak diuruskan dikhuatiri menjadi habitat haiwan ini yang mungkin boleh memakan haiwan ternakan penduduk yang lain.
“Oleh itu, saya harap agar pihak yang bertanggungjawab dapat memantau akan kemunculan haiwan ini.
“Selain itu, mengancam haiwan dan penduduk, kucing haiwan ini juga merupakan spesies yang hampir pupus dan eloklah jika ia diletakkan di tempat yang selamat.
“Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati lagi agar kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment