Jumlah saman JPJ turun
Johari bersama Adli (kanan) menunjukkan antara kesalahan berjaya dirakamkan pihaknya.
JOHOR BAHRU - Jumlah saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sempena ops perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 63 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Johari Yusof berkata, pihaknya mengeluarkan 638 saman dalam tempoh kira-kira dua minggu bermula 3 hingga 14 Februari lalu berbanding 1,846 saman bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Jumlah kesalahan yang direkodkan turut menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus iaitu 886 kesalahan pada tahun ini berbanding 2,133 kesalahan untuk tahun lalu.

“Selain itu, jumlah kenderaan yang diperiksa dan diambil tindakan turut menunjukkan penurunan jika dibandingkan antara tahun ini dengan tahun lalu iaitu masing-masing mencatatkan 82 peratus dan 79 peratus,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada sidang akhbar selepas meninjau Ops Tahun Baru Cina bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Johor di Kilometer 28 Lebuhraya Pasir Gudang (menghala ke arah Taman Perling), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Penguatkuasaan SPAD Wilayah Selatan, Mejar (B) Adli Azim Ahmad.

Johari berkata, menerusi penyamaran bergambar pihaknya dalam Ops Tahun Baru Cina, sebanyak 79 kes melibatkan kesalahan gagal mematuhi peraturan lampu isyarat dicatatkan diikuti 40 kes memandu di lorong kecemasan dan 26 kes tidak memakai topi keledar bagi penunggang motosikal.

Katanya, selain itu, tujuh kes memotong garisan berkembar direkodkan selain memotong barisan dan memandu secara berbahaya (menggunakan telefon bimbit) mencatatkan masing-masing satu kes dalam ops berkenaan.
Laporan perangkaan operasi khas motosikal JPJ Johor turut mencatatkan 152 daripada 413 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan kerana melakukan kesalahan seperti ubahsuai kenderaan, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kompeten (CDL), CDL tamat tempoh, tidak mempamerkan stiker P, tiada Lesen Kenderaan Motosikal (LKM) dan LKM tamat tempoh.

Manakala seorang daripada 25 pemandu bas yang diperiksa oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) didapati positif dadah.