Kickdefella
Kickdefella
KUANTAN - Perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa terhadap penulis blog, Kickdefella diteruskan semalam selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk selesaikan kes itu di luar mahkamah.

Husam menfailkan tuntutan saman RM5 juta terhadap Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berikutan penyiaran artikel yang didakwa berunsurkan fitnah terhadap beliau.

Dalam prosiding semalam, dua saksi sampingan, Penolong Pengurus Projek dan Hartanah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ismail Shauki Ibrahim, 56 dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Sanusi Othman, 42, hadir memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuntan, Datuk Mariana Yahya.

Sementara itu, Peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Kickdefella ketika ditemui di luar mahkamah berkata, perbicaraan kes itu terpaksa diteruskan selepas kedua-dua pihak gagal mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Menurutnya, untuk perbicaraan seterusnya yang ditetapkan pada 28 Februari hingga 8 Mac 2013, pihaknya akan mengemukakan lima saksi.

“Selain Husam, kita juga akan menyerahkan sapina untuk memanggil empat saksi termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan peguam, Nordin Noor.

“Pihak plaintif dijangka mengemukakan lima atau enam saksi memberi keterangan dalam perbicaraan kelak,” katanya.

Dalam perbicaraan semalam, Peguam Husam, Hisham Fauzi memaklumkan plaintif tidak hadir kerana mempunyai tugasan rasmi manakala Kickdefella hadir bersama individu dipercayai penyokong.