KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial, Tan Sri Robert Phang, akan memfailkan saman sebanyak RM100 juta terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, selewat-lewatnya Isnin depan kerana merasakan dirinya difitnah individu terbabit.
Robert Phang, 73, dalam satu sidang media di ibu negara semalam berkata, satu laporan polis berhubung kenyataan media memfitnah dirinya yang dibuat bekas pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Disember lalu juga sudah dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Menurutnya, Musa mendakwa dia berperanan menyebabkan seorang pegawai polis ditukar dalam tempoh 24 jam kerana tidak mahu meluluskan satu projek sistem komunikasi PDRM yang diperolehnya.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan ini adalah satu pertuduhan yang serius terhadap diri saya selain pasukan PDRM sendiri.
“Saya harap perkara ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan saya bersedia disiasat polis serta dihadapkan ke mahkamah berhubung dakwaan yang dibuat oleh Musa itu,” katanya.
Katanya, dia tidak faham kenapa Musa membuat dakwaan sedemikian yang seolah-olah ingin menjatuhkan intergritinya dan PDRM.
“Saya tidak tahu apa motif sebenar beliau membuat pelbagai tuduhan serta kritikan terutama terhadap PDRM, hanya selepas dia bersara dan pada pandangan saya mungkin dia mempunyai niat tertentu.
“Surat tuntutan supaya beliau memohon maaf secara terbuka juga sudah diserahkan kepadanya dan saya memberi tempoh tujuh hari untuk dia berbuat demikian, namun saya tetap akan memfailkan saman di mahkamah selewat-lewatnya Isnin depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika ditanya mengenai laporan polis berkenaan, memberi jaminan akan menjalankan siasatan lanjut.
“Jika benar ada laporan polis dibuat, kita akan siasat perkara itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment