Saturday, March 10, 2012

‘Mana abah, nak mami’

myMetro | ‘Mana abah, nak mami’:REMUK...keadaan kereta mangsa selepas kemalangan maut, semalam.
REMUK...keadaan kereta mangsa selepas kemalangan maut, semalam.
KUANTAN: “Mana abah dan mami, nak abah dengan mami”. Itulah perkataan bermain di bibir Nurhudiyana Norazman, 12, mangsa tunggal yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan bapanya, Norazman Ibrahim, 42; ibunya, Norhayati Ibrahim, 42, dan abangnya, Akif Iskandar, 17, di Kilometer 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, keluarga malang berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada sepupu Norazman.

Norazman yang memandu kereta Proton Waja miliknya, dipercayai terbabas sebelum melanggar belakang lori membawa muatan bijih besi dan akibat rempuhan itu, dia meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di dada menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.
Anak sulung pasangan itu, Akif pula meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 4.18 petang semalam akibat parah di kepala. Nurhudiyana pula cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.

Norazman seorang eksekutif kualiti di Kilang Proton, Shah Alam, Selangor manakala Norhayati berasal dari Kemaman, Terengganu dan mereka tinggal di Taman Puchong Perdana, Selangor.

Nurhudiyana yang masih belum tahu ibu, bapa serta abangnya itu sudah meninggal, terpaksa ditenangkan doktor yang merawatnya dan selain ahli keluarga, tidak sesiapa dibenarkan menemuinya bagi mengelak emosinya terganggu.
Kakak Norazman, Noor Dinal Ibrahim, 49, berkata arwah bersama keluarganya pulang ke Kuala Terengganu kerana mahu menghadiri majlis perkahwinan anak sepupunya hari ini dan keluarga terbabit sepatutnya bertolak selepas jam 9 pagi ini namun tidak menyangka mereka mengambil keputusan bertolak lebih awal.

Menurutnya, sehingga kini, dia bersama suami, Radzi Abd Aziz, 51, terpaksa merahsiakan kematian keluarga Nurhudiyana kerana bimbang emosi anak saudaranya itu terganggu.
Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian terbabit melalui rakan mangsa yang kebetulan terlihat kereta mangsa terbabit kemalangan dan menghubunginya pada jam 2.30 pagi.

“Selepas mengesahkan nombor pendaftaran kereta adik, saya bersama suami seperti tidak percaya selain tertanya-tanya mengapa mereka bertolak balik terlalu awal kerana dia memberitahu akan bertolak ke Kuala Terengganu selepas jam 9 pagi. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya dan kami sedang menumpukan perhatian kepada anak bongsu mangsa,” katanya.

Noor Dinal berkata, anak saudaranya itu hanya mahu bertemu bapa dan ibunya dan perkataan itulah yang kerap disuarakan sekali gus membuatkan semua ahli keluarga sedih tetapi mereka tidak boleh menceritakan kejadian sebenar.

“Saya terkilan dan sedih kerana arwah yang turut menyatakan hasratnya untuk bermain golf di Terengganu selepas mendapat tiket cabutan bertuah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis di Proton, bulan lalu, tidak kesampaian,” katanya.

Mengenai masa depan Nurhudiyana, Noor Dinal yang juga pengusaha Taska di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor berkata, kemungkinan dia bersama suami akan menjaga dan menganggap kanak-kanak itu seperti anak sendiri.

Menurutnya, semua jenazah mangsa dijangka akan dikebumikan dalam satu liang di Kuala Berang, Terengganu pagi ini selepas disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, Norazman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan tubuh manakala isterinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

“Anak sulung mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HTAA akibat kecederaan di kepala, pada jam 4.18 petang, semalam. Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu berasal dari Mentakab dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian terbabit berlaku di laluan selekoh dan berbukit manakala keadaan sekeliling gelap kerana tiada lampu,” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

'via Blog this'

Rentung berpelukan

myMetro | Rentung berpelukan:SIASAT...anggota bomba menjalankan siasatan ke atas  rumah mangsa yang terbakar awal pagi semalam.
SIASAT...anggota bomba menjalankan siasatan ke atas rumah mangsa yang terbakar awal pagi semalam.
SERDANG: Menyayat hati apabila seorang ibu ditemui mati rentung berpelukan dengan dua anak perempuannya dalam bilik tidur utama selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, mangsa yang juga seorang warga Vietnam, Huyah Thi Ngoc Thao, 30-an, ditemui bersama anaknya, Yap Siew Yiee, 6, dan Yap Siew Yoon, 5, di atas katil dipercayai gagal keluar menyelamatkan diri.
Kebakaran membabitkan tiga deretan rumah teres berkenaan turut menyebabkan suami mangsa, Yap Yao Chong, 43, melecur lebih 50 peratus dan ditemui tidak sedarkan diri di luar pintu bilik utama itu.

Difahamkan, dua adik perempuan wanita terbabit, Ngoc Thao, 18, dan Lam Thi Bich Phufong, 16, terselamat selepas berjaya keluar dari rumah berkenaan dan sempat meminta bantuan jiran.

Namun, api dipercayai marak dengan cepat menyebabkan Yao Chong melecur teruk ketika cuba menyelamatkan isteri serta dua anaknya itu dan kini menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Serdang, di sini.

'via Blog this'

Pengantin baharu tidur lokap

Kosmo! Online - Negara:
DIN (kanan) menunjukkan sebahagian sijil cuti sakit palsu yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT – Seorang runner yang sering berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini diberkas kerana disyaki mengaut keuntungan dengan menjual sijil cuti sakit palsu mempunyai cap hospital kerajaan yang dihasilkan sendiri.
Suspek lelaki berusia 27 tahun dan baru berkahwin dengan seorang pegawai sebuah bank ditahan di rumahnya di Jalan Damai di sini kelmarin.
Dia dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM1,500 hasil menjual 100 keping sijil cuti sakit palsu pada harga RM15 sekeping.
Semua sijil cuti sakit palsu yang dijual suspek mempunyai cap Hospital Batu Pahat atau cap Klinik Kesihatan Bagan berserta nama penolong atau pegawai perubatan bertugas di hospital atau klinik kesihatan terbabit.
Bagaimanapun, siasatan mendapati penolong dan pegawai perubatan terbabit tidak terlibat dengan kegiatan suspek itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek mengaku membuat sijil cuti sakit palsu dengan menggunakan mesin pencetak biasa di rumahnya di sini.

'via Blog this'

Budak cedera parah akibat tertusuk kaca

Kosmo! Online - Negara:
PENGAWAL keselamatan, Saebun Din menunjukkan dinding kaca yang pecah akibat dilanggar seorang kanak-kanak di Jeti Kuala Kedah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kegembiraan sebuah keluarga dari Petaling Jaya, Selangor yang mahu bercuti ke Pulau Langkawi bertukar duka apabila salah seorang anggota keluarga mereka cedera parah di paha akibat tertusuk dinding cermin kaca yang pecah di Jeti Kuala Kedah di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 6 pagi, mangsa Foong Chun Yuan, 5, anak bongsu daripada empat beradik mahu ke kaunter tiket di jeti itu selepas keluar dari bilik air di ruang menunggu jeti.
Namun kanak-kanak itu yang dipercayai berlari terlanggar dinding cermin yang memisahkan kaunter tiket dan ruang menunggu menyebabkan cermin itu pecah dan serpihan kaca itu menusuk paha kanan mangsa.
Mangsa bersama 11 anggota keluarga lain menaiki dua buah kereta dari Kampung Cempaka, Petaling Jaya bertolak pada tengah malam kelmarin sebelum tiba di Kuala Kedah pada pukul 5.30 pagi semalam.
Bapa mangsa, Foong Kwok Mun, 40, berkata, semasa kejadian, suasana di jeti ketika itu dalam keadaan samar-samar kerana banyak lampu yang belum dipasang.

'via Blog this'

Pelajar dakwa dicabul doktor

Kosmo! Online - Negara:KOTA BHARU – Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini tidak menyangka akan menjadi mangsa cabul seorang doktor pelatih lelaki di sebuah hospital dekat sini pada 4 Mac lalu.
Pelajar berusia 23 tahun itu mendakwa dicabul pada pukul 10.20 pagi ketika berada di sebuah bilik pemeriksaan di unit kecemasan hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit tiroid yang dihidapinya.
Satu sumber memberitahu, pada mulanya seorang doktor wanita mahu memeriksa mangsa namun doktor wanita itu tiba-tiba terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat satu kes kecemasan lain.
“Tanpa diketahui tiba-tiba muncul seorang doktor pelatih lelaki dalam bilik rawatan mangsa yang terus mencabul bahagian sulit mangsa,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, mangsa yang menyedari dirinya bukan dirawat tetapi dicabul bertindak melarikan diri dari bilik rawatan itu dan pulang.
Pelajar itu kemudian membuat laporan polis dan dan turut menulis satu surat aduan kepada pihak pengurusan hospital itu.
Namun sehingga ke hari ini, mangsa mendakwa pihak hospital terbabit belum memberi sebarang jawapan terhadap aduannya itu.

'via Blog this'

Rebus kerang punca rumah hangus

Kosmo! Online - Negara:

SEORANG anggota bomba memadamkan sisa kebakaran yang memusnahkan rumah seorang peniaga pasar malam di Kampung Pasar Kedai Manir, Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga pasar malam terpaksa berputih mata apabila rumah yang didiaminya sejak 50 tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Pasar Kedai Manir dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM230,000 termasuk wang tunai RM300 yang merupakan modal untuk berniaga.
Mangsa, Abdul Aziz (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, dia merebus kerang di dapur untuk dijual di pasar malam di Pulau Duyong dekat sini.
Katanya, api daripada dapur tersebut tiba-tiba menyambar minyak petrol di dalam sebuah penjana elektrik yang terletak berhampiran dan menyebabkan kebakaran.
“Saya cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan pantas. Saya kemudian menyuruh anak-anak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

'via Blog this'

Kena bela diri

Kosmo! Online - Negara:

LIONG SIK (kanan) diarah bela diri atas tiga pertuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung skandal PKFZ di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Sehubungan itu, Ahmadi menetapkan 18 Jun depan untuk Liong Sik, 68, membela diri secara bersumpah di dalam kandang saksi.
Ketika ditemui, bekas Presiden MCA itu berkata: “Kami akan lawan dan lakukan apa yang penting.”
Beliau yang diwakili peguam Wong Kian Kheong, hadir bersama isteri, Toh Puan Ena Ling, ahli keluarga, rakan serta penyokong.
Dalam alasan penghakiman setebal 83 muka surat, Ahmadi berkata, sukar diterima apabila orang nombor satu di kementerian secara membuta tuli menandatangani dokumen tetapi enggan bertanggungjawab.
“Sebagai menteri Kabinet dan mempunyai kuasa di Pelabuhan Klang, beban terletak pada bahu tertuduh dan menjadi tanggungjawabnya untuk mendedahkan hal yang sebenar kepada Jemaah Menteri. Dia tidak boleh meletakkan kesalahan pada orang lain,” katanya.

'via Blog this'

Friday, March 9, 2012

Terlantar hidap darah beracun

Terlantar hidap darah beracun - Melaka & NS - Sinar Harian:
Terlantar hidap darah beracun
AMPANGAN - Seorang ­pesara kerajaan kini terlantar di rumahnya di Taman Rumah Rakyat Sikamat 2, setelah ­disahkan menghidap darah beracun.
Abdul Aziz Abas, 70, kini hanya bergantung kepada bantuan orang lain untuk ­bergerak dan menguruskan diri ekoran penyakitnya itu.
Isterinya, Aminah Asad, 56, berkata, suaminya kerap dimasukkan ke hospital dalam tempoh enam bulan bagi ­merawat penyakitnya.
Menurutnya, doktor sahkan darah suaminya beracun akibat memakan ubat yang ­dibeli dari kedai.
“Doktor beritahu ubat-ubat yang dibeli mengakibatkan darahnya beracun. Suami saya mengambil ubat itu tanpa pengawasan dan nasihat doktor. Ubat-ubat tradisional yang diambil suami saya menjadikan dirinya cergas dan boleh melakukan pelbagai kerja, sebab itulah dia tidak berhenti memakannya sehinggalah jatuh sakit,” katanya.
Aminah berkata, sebelum ini keadaan suaminya tidaklah begitu teruk sehinggalah pihak hospital mengambil sampel air tulang belakang.
“Setelah ujian itu dilakukan, suami tidak lagi boleh bergerak cergas dan terlantar di rumah sejak enam bulan lalu,” katanya.
Abdul Aziz dan Aminah mempunyai lima anak berusia 25 tahun hingga 36 tahun di mana dua daripadanya merupakan ibu tunggal.
Difahamkan, hidup mereka bergantung kepada pencen Abdul Aziz berjumlah RM500 sebulan selain anak keempatnya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan.
Aminah berkata sejak terlantar, wang banyak dihabiskan membeli ubat dan lampin pakai buang yang dibeli dengan harga RM10 untuk ­lapan keping serta hanya ­bertahan selama sehari.
“Dalam sebulan, saya mengeluarkan belanja sebanyak RM300 hanya semata-mata untuk membeli lampin. Oleh kerana mahu berjimat, suami saya juga jarang makan kerana tidak mahu terlalu kerap membuang air,” katanya.
Katanya, sebelum ini mereka hanya mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500.
“Jika boleh, saya mahu meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pesakit terlantar. Jika dapat, wang berkenaan boleh digunakan membeli ubat dan lampin pakai buang untuk suami saya,” katanya.
Sementara menurut Wanita Umno Cawangan Rumah Rakyat Sikamat 2, Nora Jais, pihak mereka akan memberi dua bantuan setiap sebulan dalam membantu ­golongan kurang bernasib baik di kawasan itu.
Nora berkata, pihaknya akan mengenal pasti dua ­individu yang akan dibantu ­setiap bulan.
“Program ini diadakan ­setiap bulan di mana kita akan mencari mereka yang bermasalah untuk dibantu. Tidak kira sama ada sakit terlantar, miskin dan sebagainya. Menerusi kaedah ini, kita akan mengumpul dana dan mencari bantuan yang boleh diberikan kepada mereka,” katanya.
Hadir sama, wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Fadilah Md Yusof.
Katanya, pihaknya akan membantu keluarga pesara terbabit bagi mendapatkan bantuan selayaknya.
Sebelum itu, Wanita Umno berkenaan turut ­melawat rumah ibu tunggal dan pesakit strok di kawasan berhampiran.

'via Blog this'

Lumpuh akibat salah suntik

Lumpuh akibat salah suntik - Selangor & KL - Sinar Harian:
lumpuh
BUKIT BERUNTUNG - Seorang kakitangan syarikat pengeluar kereta tempatan menderita sakit tulang belakang dan lumpuh kedua belah kaki didakwa akibat tersalah suntikan ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Bukit Sentosa, di sini.

Asrolnizam Abd Rahman, 35, kini bergantung sepenuhnya kepada tongkat untuk bergerak dan hilang punca pendapatan disebabkan kejadian yang menimpanya sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, insiden itu bermula apabila dia pergi mendapatkan rawatan susulan di klinik panel pada 28 September 2009 berikutan masalah sakit belakang yang kerap dialaminya sejak hampir lima tahun.

“Ketika itu, saya pergi mendapatkan rawatan­ di klinik berkenaan dan doktor memberikan satu suntikan bagi mengurangkan rasa sakit.

“Bagaimanapun, selepas disuntik tiba-tiba rasa kebas pada kaki dan doktor hanya menasihatkan saya berehat di rumah kerana mungkin itu kesan sementara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Widuri, di sini, semalam.

Asrolnizam ditemui ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim.

Asrolnizam berkata, kesakitan yang dialaminya berterusan selama seminggu menyebabkan dia kembali semula ke klinik berkenaan untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Namun katanya, doktor tidak menjelaskan sebarang komplikasi buruk dan dia dibenarkan pulang, sehinggalah keesokan harinya merasa kesakitan lebih teruk sebelum memohon agar pihak klinik merujuknya ke hospital pakar.

“Ketika itu, saya sudah separa lumpuh dan memakai tongkat, tetapi doktor menetapkan temu janji seminggu.

“Sakit yang teramat sangat ketika itu mendorong saya sekali lagi meminta supaya dirujuk pula ke sebuah hospital pakar swasta di Kuala Lumpur dan sebaik mendaftar, saya terus dimasukkan ke dalam wad dan ditempatkan lebih seminggu di sana,” katanya.

Asrolnizam disahkan menghidap komplikasi sakit tulang belakang sehingga mengakibatkan kaki lumpuh, berat badannya turut susut sehingga 45 kilogram.

Doktor pakar turut mengesahkan punca penyakit itu akibat suntikan yang diambil ketika mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Kehidupan Asrolnizam kini tidak lagi seperti dulu apabila sering mengalami kesempitan wang menyebabkan sewa rumahnya tertunggal lebih dua tahun.

Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih tidak dapat dihantar kerana keuzuran diri.

Sementara itu, Mohd Isa berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan penempatan daripada LZS dan bantuan sara hidup daripada JKM.

“Asrolnizam kini tinggal bersendirian menyewa di rumah itu, dia memerlukan bantuan rumah sendiri dan bantuan sara hidup untuk membantu rutin hariannya,” katanya.

'via Blog this'

10 peneroka tekad saman

10 peneroka tekad saman - Pahang - Sinar Harian:BANDAR TUN RAZAK – Seramai 10 peneroka di sini, tekad tidak akan menarik diri sehingga kes writ saman untuk ­men­dapatkan ganti rugi dalam ­prosiding saman terhadap Felda dan Felda Palm Industri Sdn Bhd yang difailkan pada Disember 2010 selesai.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Suhaimi Said berkata, biarpun diugut dengan pel­bagai ancaman, 10 peneroka terbabit tetap tidak mengubah pendirian mereka.

“Mengapa mesti takut, sedangkan mereka tidak melakukan jenayah. Apa yang mereka lakukan hanyalah untuk mendapatkan hak mereka kembali.

“Setelah mereka berjaya dan memperoleh keuntungan nanti, sudah tentu akan ­membuka mata lebih ramai ­peneroka supaya mengutamakan kepentingan dan hak ­mereka serta bertegas supaya tidak tertindas,” katanya ­kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, terdapat cadangan memohon supaya 10 peneroka ini diambil tindakan undang-undang termasuk membuang mereka daripada senarai Felda.

“Apa yang boleh disimpulkan, ­sesetengah pihak itu ­ibarat ‘l­ebih kuah dari nasi’. Jangan ­ingat dengan mudah sahaja mereka ini boleh dikeluarkan, daripada senarai Felda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PKR berjaya mengumpulkan lebih kurang 10,000 tandatangan peneroka Felda di seluruh negeri ini bagi membuat bantahan terhadap penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) ­dalam Bursa Saham.

“Dari hari ke hari, kami menerima perkembangan yang bagus. Malah sebelum ini kami ada membuat kutipan di Felda Chini, Pekan dan berjaya mengumpulkan sebanyak 300 tandatangan.

“Seperti mana yang diberitahu, kami ingin mengumpul 100,000 tandatangan ­peneroka di atas sehelai kain rentang ­putih sebagai satu bentuk ­memorandum bantahan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac nanti,” katanya.

Menurut Suhaimi, gerakan ­tersebut yang dinamakan sebagai gerakan ‘Bantah’ di mana ­mereka akan mengadakan ­perarakan menyerah memorandum bantahan tersebut dari Masjid Putrajaya menuju ke Pejabat Perdana Menteri.
'via Blog this'

Lelaki isteri enam: 'Biar mahkamah putuskan' - Kelantan

Lelaki isteri enam: 'Biar mahkamah putuskan' - Kelantan - Sinar Harian:
lelaki beristeri 6
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri tidak campur tangan dalam isu membabitkan seorang lelaki yang didakwa menipu empat isterinya untuk bertindak di luar kewarasan dengan menambah dua lagi isteri.

Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusan sewajarnya.

“Secara umumnya apabila berlaku perkara seperti ini, individu terlibat boleh disifatkan sebagai jahil agama, seolah-olah tidak tahu dia hanya boleh berkahwin sehingga empat sahaja, namun dalam kes yang dilaporkan itu kita tidak pasti mengenai statusnya sama ada dia sudah menceraikan mana-mana dua daripada isterinya sebelum berkahwin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Wan Ubaidah ditemui media selepas merasmikan Rumah Perlindungan Wanita Sinar Harapan Kerajaan Negeri Kelantan di Jalan Taman Kurnia Jaya di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 50- an dengan bermodalkan air liur dan putar belit begitu licik menipu empat isterinya bagi membolehkan dia menambah dua ‘cawangan’ lagi. Lelaki itu didakwa mengahwini isteri kelima di negara jiran pada Mac tahun lalu dan selang sebulan selepas itu mengahwini pula seorang wanita berstatus janda di tempat sama.

Dalam perkembangan lain, Wan Ubaidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata, banyak kes melibatkan keganasan terhadap wanita dan keluarga di negeri ini tidak dilaporkan.

Sambil menyuarakan kebimbangannya, Wan Ubaidah berkata, perkara itu berlaku apabila ia melibatkan keluarga sendiri, selain rasa takut dan kasih sayang yang masih bersisa kepada si pelaku.

“Hanya 10 peratus sahaja daripada kes berkenaan dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala selebihnya disembunyikan atas alasan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Pusat Sehenti Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), jumlah kes melibatkan keganasan terhadap wanita meningkat setiap tahun.

“Keadaan ini turut membimbangkan Kerajaan Negeri dan langkah-langkah mengatasinya giat dilaksanakan termasuk mewujudkan pusat berkenaan yang dilancarkan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak hari ini (semalam),” katanya yang juga Adun Kijang.

'via Blog this'

31 tahun tiada bekalan elektrik

31 tahun tiada bekalan elektrik - Kelantan - Sinar Harian:
Penduduk-bergambar-mendesak-kerajaan-percepat-bekalan-elektrik.
GUA MUSANG – Seramai 120 penduduk di tiga kampung pedalaman daerah ini, kecewa apabila penantian bekalan elektrik sejak 31 tahun lalu masih belum dilaksanakan sehingga sekarang.

Kampung terbabit termasuk Kampung Kuala Relai, Kuala Aring dan Jeram Tok Seh yang terletak di seberang Sungai Relai kira-kira lima kilometer dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1.

Ketika meluah kekesalan kepada Pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar Lebir 1, Mohd Fadhli Mat Hussin semasa berkunjung ke kampung terbabit, kelmarin, mereka menganggap kampung tersebut seperti dianaktirikan kerajaan.

Mereka mahu masalah yang dihadapi dibawa ke pengetahuan pihak yang bertanggungjawab memandangkan jaraknya cuma lima kilometer dari RKT Kesedar Lebir 1.

Seorang penduduk, Jusoh Mohd Zain, 43, berkata, kampung terbabit adalah kampung tradisional membabitkan 27 rumah yang masih belum mempunyai kemudahan elektrik.

Berikutan itu, katanya, penduduk amat sukar untuk menggunakan pelbagai kemudahan perkakas elektrik, di samping tumpuan anak-anak kepada pelajaran kerana terpaksa menggunakan pelita minyak tanah setiap hari.

Menurutnya, sesetengah keluarga pula terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga di RKT Kesedar Lebir 1 bagi membolehkan anak-anak mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir.

“Anak-anak saya tak suka tinggal di kampung, kerana malam menyusahkan mereka mengulang kaji pelajaran di rumah yang ditugaskan guru-guru sekolah.

“Lagipun setiap pagi dan petang, saya perlu menyeberang sungai menggunakan rakit buluh untuk menghantar serta mengambil anak di sekolah, melalui jalan berlumpur sejauh enam kilometer,” katanya.

Jusoh berkata, berikutan itu dia terpaksa membuat keputusan menumpang di rumah sanak saudara di RKT Kesedar Lebir1 yang lengkap dengan bekalan elektrik serta tidak lewat pergi ke sekolah.

'via Blog this'

PKR saman balas Shahrizat

PKR saman balas Shahrizat - Politik - Sinar Harian:
PKR saman balas Shahrizat
PETALING JAYA - PKR akan memfailkan saman balas terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil isu penyelewengan dana awam bernilai RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFCorp).
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, beliau bersama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin telah memfailkan kes tersebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi semalam.
Menurutnya, tindakan ini dilakukan kerana memikirkan kepentingan rakyat, dan ia membabitkan isu nasional.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan peguam, dan mereka menyarankan saya mengemukakan saman balas, berikutan ucapan menteri terbabit pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu, kerana berbaur fitnah. Secara tidak langsung ia memberi ruang kepada saya membawa kes ini ke mahkamah termasuk dokumen yang berkaitan agar ia dapat diketahui umum,” katanya.
Shahrizat sebelum itu telah memfailkan saman fitnah sebanyak RM100 juta terhadap Mohd Rafizi dan Zuraida berhubung isu yang sama.Mohd Rafizi berkata, tindakan ini dilakukan bagi mengelakkan kes itu ditarik balik oleh plaintif.
“Jika saya tidak bertindak, besar kemungkinan ia akan ditarik balik, atau melengah-lengahkan perbicaraan, bagi mengelakkan dokumen penting dan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) diheret ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rafizi juga mendedahkan bahawa seorang pemimpin kerajaan telah membelanjakan dana rakyat hampir setengah juta ringgit untuk majlis pertunangan anaknya pada pertengahan tahun lalu.
“Saya mempunyai dokumen dan bukti mengenainya, yang mana beliau telah menyeleweng wang rakyat," katanya.
Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Tan Kee Kwong telah mempersoalkan pembayaran mengenai majlis tersebut tetapi tiada jawapan diperoleh dari mana-mana pihak.
“Apa yang pasti ia dibayar melalui pejabatnya di Putrajaya. Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM409,767,” katanya.
Mohd Rafizi berkata, satu suruhanjaya di raja harus ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh pemimpin terbabit.Selain itu juga katanya, perkara itu akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu hadapan.

'via Blog this'

Dakwaan Kamal Hisham disiasat

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


JOHOR BAHRU 8 Mac - Polis sedang meneliti dakwaan seorang peguam yang beliau diugut bunuh oleh pihak tertentu seperti yang dimuat turun dalam laman sosial YouTube.
Peguam tersebut, Kamal Hisham Jaafar, 42, memuat turun klip video berjudul Rayuan Seorang Peguam selama kira-kira 10 minit di laman sosial itu Sabtu lalu.
Peguam berkenaan yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian RM660,000 mendakwa pihak berkenaan mengupah pembunuh upahan untuk membunuhnya.
Kamal Hisham yang kini dipercayai berada di luar negara turut mendakwa mempunyai bukti mengatakan beliau tidak bersalah dalam kes pecah amanah tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli kelmarin mengenai klip video berkenaan.

'via Blog this'

Bekas imam dipenjara setahun

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:




Hoslan Hussin (kiri) berbincang sesuatu dengan Karpal Singh ketika mahkamah berhenti rehat bagi mendengar kes kesalahannya didakwa menghina mahkamah di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. - BERNAMA



PUTRAJAYA 8 Mac - Bekas imam, Hoslan Hussin dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan hari ini atas kesalahan menghina mahkamah kerana membaling sepasang selipar ke arah panel hakim bersidang yang mendengar permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu, dua minggu lalu.
Perbuatannya itu yang disifatkan oleh mahkamah sebagai angkuh, biadab, riak dan ganas menemui padah apabila mencatat sejarah sebagai individu pertama dikenakan tindakan sedemikian kerana menghina mahkamah tertinggi negara.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjatuhkan hukuman itu setelah berpuas hati bahawa Hoslan, 46, melakukan kesalahan yang amat serius dan menjatuhkan maruah serta kewibawaan institusi kehakiman jika tidak dibendung.

'via Blog this'

Padah keangkuhan bekas imam

Kosmo! Online - Negara:


HOSLAN pernah dilantik sebagai imam ratib di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.


PUTRAJAYA - Seorang bekas imam yang bertindak membaling sepasang selipar ke arah tiga hakim dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Persekutuan semalam setelah didapati bersalah menghina mahkamah.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan tiga panel hakim itu berkata, hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan Hussin, 46, yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan Hoslan adalah serius, tidak boleh dibiarkan serta perlu dibendung.
"Kamu sebagai pesalah, jika tidak dikenakan tindakan akan boleh menggugat kuasa mahkamah dan boleh menjatuhkan maruah mahkamah. Apa-apa kritikan yang hendak dibuat terhadap hakim hendaklah dibuat dengan munasabah dan baik, bukan dengan cara mengugut dan maki hamun.
"Mahkamah yang ada bidang kuasa perlu dihormati oleh semua pihak. Perlu dinyatakan bahawa tindakan prosiding yang diambil dalam kes ini (menghina mahkamah) bukan untuk melindungi maruah kami secara peribadi tetapi adalah untuk melindungi maruah dan kewibawaan mahkamah yang mulia ini dalam sistem kehakiman di negara ini.
"Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pencegahan untuk kepentingan awam," kata Hakim Zulkefli.
Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan dekat Kuala Lumpur bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman di sini antara pukul 10.15 pagi dan pukul 10.30 pagi pada 22 Februari lalu.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar menyifatkan tindakan Hoslan sebagai angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati mahkamah.

'via Blog this'

Thursday, March 8, 2012

Phahrolrazi, Ismail diberi portfolio lain

Berita Harian Online | Phahrolrazi, Ismail diberi portfolio lain:pix_gal0
MB Kedah buat rombakan kecil 

ALOR SETAR: Dua bekas EXCO PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka diberikan portfolio lain, berbanding portfolio kanan yang dipegang mereka sebelum ini jika dilantik semula ke jawatan itu dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka membuat rombakan kecil portfolio yang turut membabitkan lapan EXCO yang mengangkat sumpah pada 28 Februari lalu untuk disesuaikan dengan kemasukan semula Phahrolrazi dan Dr Ismail.
Sumber berkata, Azizan dijangka tidak akan menawarkan EXCO kanan kepada Phahrolrazi berikutan hubungan dingin mereka. 

Katanya, jika kedua-dua bekas EXCO itu ditawarkan portfolio kanan, ia akan menyukarkan Azizan yang sebelum ini menerima banyak tekanan daripada mereka yang turut cuba menjatuhkan Menteri Besar. 

“Mereka dijangka ditawarkan baki portfolio yang kosong iaitu pertanian dan industri asas tani, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, bioteknologi, sains dan inovasi serta pembangunan usahawan. 

“Mungkin akan ada sedikit rombakan, namun tidak akan membabitkan portfolio kanan yang sudah diisi EXCO lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Phahrolrazi sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula diberikan portfolio Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi. 

Portfolio dipegang Phahrolrazi selaku EXCO kanan sebelum ini diserahkan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang sudah mengangkat sumpah sebagai EXCO baru. 

Bagaimanapun, sumber berkata, ia bukan hukuman Azizan kepada dua bekas EXCO terbabit, namun lebih kepada proses melicinkan pentadbiran negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Phahrolrazi dan Dr Ismail ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu. 

Mesyuarat PAS Pusat yang turut membabitkan Azizan dan Phahrolrazi minggu lalu memutuskan Menteri Besar dikekalkan dengan dua EXCO berkenaan menerima semula jawatan mereka. 

Bagaimanapun, pelbagai pihak menganggap isu berkenaan belum selesai sepenuhnya berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azizan.
'via Blog this'

UMNO Selangor saman Mustafa didengar 10 Mei

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


SHAH ALAM 7 Mac - Kes saman UMNO Selangor terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan lima lagi bagi menuntut ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah parti itu berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh tersebut selepas membatalkan permohonan Mustafa untuk mengetepikan saman itu berikutan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh defendan tersebut.
Sementara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang dinamakan sebagai defendan kedua dan ketiga pula menarik balik permohonan yang sama selepas pihak plaintif mengemukakan bantahan awal.
Ketiga-tiga defendan juga diarah membayar kos sebanyak RM5

'via Blog this'

Ananda jual Tanjong Energy kepada 1MDB

Kosmo! Online - Negara:


STESEN jana kuasa elektrik milik Tanjong Energy di Telok Gong, Masjid Tanah, Melaka.


KUALA LUMPUR - Bilionair T. Ananda Krishnan telah menjual aset penjana tenaga bebas (IPP) miliknya, Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. (Tanjong Energy), kepada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM8.5 bilion dan ia merupakan antara urus niaga terbesar pernah dicatat dalam industri tenaga negara dan di rantau ini.
Perjanjian tersebut telah dimeterai pada Jumaat lalu dan kini ia tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa.
IPP merupakan penjana swasta yang membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd.
Syarikat Tanjong Energy yang dimiliki Ananda memiliki lapan loji kuasa yang terletak di Malaysia, Mesir, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan Emiriyah Arab Bersatu.
Kapasiti tenaga yang dihasilkan oleh semua loji berkenaan ialah 3,951 megawatt (MW).
Di Malaysia, kesemua loji tenaganya terletak di Melaka iaitu Jana Kuasa Telok Gong 1 dengan kapasiti tenaga 440 MW, Jana Kuasa Telok Gong 2 (720 MW) dan Jana Kuasa Tanjung Kling (330MW).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi, pengambilalihan itu menandakan langkah pertama strategik syarikat itu bagi memenuhi keperluan tenaga negara untuk jangka panjang dan ia dilihat sebagai peluang berharga kepada 1MDB untuk menjadikan Tanjong Energy sebagai pasaran yang baharu muncul dalam pengeluar tenaga bebas.
"Tenaga merupakan antara bidang fokus teras untuk 1MDB. Kami tertarik dengan rekod operasi kukuh Tanjong Energy selain portfolionya yang memiliki pelbagai aset berkualiti, keupayaan dalaman yang mantap dan potensi untuk pertumbuhan baharu di dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

'via Blog this'

Ella, bakal suami hadiri kursus kahwin

Kosmo! Online - Negara:


ELLA dikatakan menghadiri kursus perkahwinan bersama bakal suaminya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Ratu rock negara, Norzila Aminuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Ella dijangka menamatkan zaman daranya tidak lama lagi selepas dia dilihat menghadiri kursus perkahwinan pada 3 Mac lalu bersama bakal suaminya.
Ella, 46, dan lelaki yang dikenali sebagai A itu dikatakan memilih Pusat Kursus Perkahwinan di Pusat Bandar Damansara di sini iaitu tempat yang sama pasangan, Yusry dan Lisa Surihani menghadiri kursus tersebut.
Menurut sumber, jejaka pilihan Ella itu bertugas sebagai seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan dan mereka sudah lama berkenalan.
Pada satu ketika, hubungan pasangan tersebut dikatakan pernah terputus tetapi kemudiannya bertaut semula setelah kedua-dua bertemu pada satu konsert Ella pada Disember tahun lalu.

'via Blog this'