Sunday, July 27, 2014

Perjalanan ke Pantai Timur, Utara sesak teruk


SESAK. Sebahagian daripada kenderaan yang berada di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Warga kota yang mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri terpaksa menempuh perjalanan sehingga 15 jam ke Kota Bharu, Kelantan iaitu dua kali ganda lebih lama berbanding pada hari biasa ekoran kesesakan teruk semalam.
Bagi perjalanan ke Pulau Pinang dan Kedah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan pula, rata-rata pemandu kenderaan mengambil masa 12 jam berbanding lima jam pada hari biasa.
Mereka yang memulakan perjalanan ke Kota Bharu seawal pukul enam pagi selepas waktu bersahur terpaksa menempuh kesesakan bermula dari Plaza Tol Gombak di sini.
Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur yang melalui Plaza Tol Gombak untuk ke Kelantan, Farah Yasmin Mohd. Yusof, 25, berkata, dia yang bertolak dari Keramat di sini terpaksa meredah kesesakan lalu lintas kira-kira lapan jam untuk melepasi Plaza Tol Gombak.
“Perjalanan sejauh kira-kira 14 kilometer dari Keramat ke Plaza Tol Gombak kebiasaannya mengambil masa 30 minit tetapi hari ini (semalam) saya berada dalam kereta hampir lapan jam.
“Kebiasaannya lapan jam itu adalah tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu tetapi hari ini (semalam) tempoh itu hanya dari Kuala Lumpur untuk ke Plaza Tol Gombak,” katanya yang pertama kali melalui pengalaman kesesakan teruk seumpama itu.
Farah Yasmin berkata, dia memilih untuk balik ke kampung di Kota Bharu semalam kerana beranggapan ramai kakitangan kerajaan sudah mula bercuti dan balik kampung pada Khamis lalu.
“Anggapan saya meleset apabila warga kota rata-rata bertolak hari ini (semalam) iaitu selepas bersahur,” katanya yang merupakan seorang peniaga.
Bagi seorang perantau di Kuala Lumpur, Yusman Awang, 46, pula, dia terpaksa menempuh perjalanan selama 15 jam dari Ampang, Selangor menuju ke Melor, Kelantan ekoran kesesakan teruk ke Pantai Timur.
Dia bertolak dari rumahnya di Ampang pukul 4.00 pagi dan mula terperangkap dalam kesesakan di Taman Melati sehingga ke Plaza Tol Gombak yang memakan masa lebih tiga jam.
“Selepas itu keadaan jalan di Bukit Tujuh, Pahang kembali sesak sehingga ke Gua Musang, Kelantan.
“Saya hanya tiba di Melor kira-kira 10 jam kemudian sedangkan kebiasaannya perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Melor mengambil lapan jam sahaja,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Noraini Amir, 24, yang pulang ke Alor Setar, Kedah dari Bukit Subang, Selangor melalui Lebuh Raya Utara-Selatan turut terpaksa menempuh perjalanan sesak selama 12 jam.
“Biasanya kalau balik Alor Setar, perjalanan hanya makan sama tujuh jam tetapi hari ini (semalam) kira-kira 12 jam kerana kenderaan perlahan sepanjang lebuh raya,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, pergerakan kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Karak masih lagi perlahan sehingga petang semalam.
Selain itu, LLM dalam laman Twitternya pada pukul 7.30 malam tadi memaklumkan Jalan Jerangau-Jabor terputus selepas pembetung di sebuah kampung Orang Asli di Cheneh, Kemaman runtuh.
Susulan itu, kenderaan yang melalui kawasan berkenaan diarah berpatah balik dan menggunakan Jalan Kemaman-Kuala, Terengganu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz38cXmrvVp 
Hakcipta terpelihara 

MH17: Belanda, Australia hantar anggota tambahan



DUA anggota kumpulan pejuang pemisah pro-Rusia melihat pasukan penyiasat antarabangsa memeriksa serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat Grabovo timur Ukraine.


AMSTERDAM - Kerajaan Belanda dan Australia kelmarin berusaha mendapatkan kebenaran bagi para pegawai penyiasat untuk ke lokasi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas dipercayai akibat ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Bagi hari ketiga berturut-turut, Belanda menerima mayat-mayat mangsa pesawat MH17 yang diterbangkan oleh pesawat tentera dari Ukraine.
Ketika ini pejuang pemisah Ukraine masih enggan membenarkan pasukan penyiasat antarabangsa menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi nahas yang dikuasai pemberontak di timur negara itu.
Pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu darat ke udara ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Seramai 193 penumpang adalah rakyat Belanda dan 37 lagi warga Australia.
Ketika ini beberapa mayat mangsa masih belum ditemui.
Menteri Luar Australia dan Belanda kini berada di Ukraine bagi membuat satu perjanjian dengan kerajaan di Kiev bagi membolehkan pasukan keselamatan kedua-dua negara dihantar ke tapak nahas.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, seramai 100 anggota polis persekutuan telah menyertai seramai 90 lagi anggota yang kini berada di Eropah dan bersedia menyertai misi antarabangsa tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Khamis lalu memberitahu, beliau menghantar 40 polis tentera tidak bersenjata ke tapak nahas bagi membantu 23 penyiasat negara itu mencari mayat dan mengumpul bukti.
Kumpulan itu yang turut disertai 23 pakar forensik berlepas dari Amsterdam dengan menaiki sebuah pesawat tentera.
Pakar forensik juga sedang bekerja di Belanda bagi mengetuai siasatan dan mengenal pasti mayat mangsa.
"Kerajaan Australia semakin hampir memuktamadkan satu perjanjian dengan Ukraine bagi menghantar polis Australia di mana sebahagian daripada mereka bersenjata api bagi membantu siasatan dan mencari mayat mangsa.
"Saya jangkakan operasi di tapak nahas akan mengambil masa beberapa minggu sekiranya penghantaran pasukan ini dapat dijalankan," kata Abbott. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz38cXXQHyN 
Hakcipta terpelihara 

Kenal pasti mayat masuk hari keempat


Kiev: Kerja mengenal pasti semua mayat mangsa nahas MH17 yang berada di Kharkiv, 300 kilometer dari sini, yang masuk hari keempat, dijangka selesai hari ini.

Walaupun sebelum ini dikatakan kerja mengecam dan memeriksa mayat mangsa nahas boleh dibuat segera, ia perlu dilakukan berhati-hati bagi mengelak bahan letupan kerana mayat itu diserahkan pemberontak pro-Russia selepas pemimpinnya mengadakan perjanjian dengan kerajaan Malaysia.

Sehingga kini, 189 keranda mengandungi mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda dan 38 lagi dijangka dihantar semalam.

Pesawat pengangkut milik tentera udara Belanda itu dijangka meninggalkan Kharkiv sebaik kerja pengecaman terakhir dibuat pasukan forensik.

Kerja mengecam semua mayat terakhir itu kini giat dijalankan pakar forensik dari Malaysia dan Belanda.

Semua mayat mangsa yang tiba di Eindhoven akan dibawa pula ke Hilversum untuk proses pengecaman seterusnya yang akan dijalankan dengan menggunakan cap jari, rekod pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Proses dilakukan mengikut garis panduan dan piawaian antarabangsa.

Semua mayat mangsa nahas yang dimuatkan dalam beberapa gerabak diserahkan pemberontak pro-Russia, Isnin lalu, apabila pemimpin pemberontak Alexander Borodai bersetuju berbuat demikian selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui perbualan telefon.

Pihak pemberontak juga menyerahkan dua kotak hitam kepada wakil Malaysia.

Jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 di timur Ukraine itu dijangka dapat dibawa pulang ke tanah air dalam jangka masa dua atau tiga minggu lagi.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Jokowi 'pilih' Kabinet di Internet


JOKOWI
JAKARTA 26 Julai - Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo atau Jokowi mengambil satu pendekatan menarik dengan meminta orang ramai menamakan calon-calon berpotensi dalam senarai Kabinetnya nanti.
Sebuah pasukan sukarelawan yang membantu kempen Jokowi, Jokowi Center melancarkan satu pemilihan untuk calon barisan Kabinetnya menerusi laman web, jokowicenter.com Khamis lalu sekali gus membolehkan rakyat Indonesia memilih nama-nama yang disediakan di portal berkenaan atau mencalonkan pemimpin mereka.
Sejak kelmarin, lebih 18,000 peserta dalam talian berlumba-lumba untuk melawati laman web itu, menyebabkan perkhidmatannya tergendala selama 24 jam selepas dilancarkan secara rasmi.
Laman sosial Facebook, Jokowi Center dan akaun Twitter @Jokowi_Ina, turut menyediakan satu sambungan ke sebuah dokumen enjin carian Google yang menjemput orang ramai untuk mengisi soalan-soalan yang sama.
Sejumlah 102 nama telah dicalonkan untuk 34 jawatan menteri dengan setiap portfolio layak untuk tiga calon.
Sekiranya pencadang tidak berpuas hati dengan senarai nama yang diberikan, mereka boleh meletakkan calon mereka sendiri.
"Saya hanya meminta maklumat bagi membentuk sebuah Kabinet.
"Setiap calon yang dicadangkan akan diproses oleh sebuah pasukan sukarelawan berpandukan satu set kriteria. Keputusannya akan dihantar ke anggota gabungan sebelum dihantar semula ke Jokowi Center. Keputusan akhir akan ditentukan saya sendiri, " kata Jokowi mengulas mengenai undian dalam talian berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_10/Jokowi-pilih-Kabinet-di-Internet#ixzz38cP0UXPE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, July 26, 2014

Tukang sapu tidak tahu gambar anak tersebar


  • Tukang sapu tidak tahu gambar anak tersebar

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang sapu tidak tahu gambar kanak-kanak perempuan yang sedang tidur keletihan atas troli sampah yang tersebar dalam Facebook, adalah anaknya sendiri.

Fazilah Mohamad, 30, berkata, dia terpaksa membawa anak tunggalnya itu bersama-sama ketika itu memandangkan tiada siapa dapat menjaganya.

“Saya tidak tahu siapa yang ambil gambar itu, tapi masa itu memang dia letih kerana ikut saya menyapu. Saya pun ke tempat kerja hanya berjalan kaki kerana tiada kenderaan.

“Saya ingat tahun depan nak hantar anak (Farah Nadiya Abdullah, 5) ke tadika supaya dia tidak lagi ikut saya ke tempat kerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Fazilah, yang tinggal di Panji Alam, baru sebulan bekerja sebagai tukang sapu.

Dia yang tinggal bersama kakak dan seorang abang orang kurang upaya (OKU) berkata, dia bekerja kerana desakan hidup untuk menyara keluarga.

Katanya, kakaknya turut bekerja sebagai tukang sapu di syarikat sama, manakala abangnya ambil upah membuang sampah.

“Untuk persiapan hari raya, saya sudah beli kelengkapan baju raya untuk saya dan anak,” katanya.

Gambar yang dirakam mendapat simpati banyak pihak, termasuk seorang kakitangan kerajaan, Mohd Aziruddin Majid, 29, yang mengambil inisiatif mengumpul sumbangan daripada rakan untuk disumbangkan kepada Fazilah sekeluarga.

Siasat dakwaan Raja Muda murtad


  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Amir Shah (kiri) berkenan hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Pahlawan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Amir Shah (kiri) berkenan hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Pahlawan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah.

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjejak individu yang bertanggungjawab menimbulkan kucar-kacir dengan mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai murtad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menjejak individu terbabit bagi membantu siasatan kerana dakwaan sedemikian boleh menggugat keamanan.

Menurutnya, ini merupakan perbuatan yang menjijikkan oleh seorang yang menggunakan media sosial. Pihak istana sudah pun memaklumkan kejadian berkenaan dan menafikan perkara tersebut.

“Setakat hari ini (semalam), saya baru dimaklumkan terdapat satu laporan berkenaan kejadian terbabit.

“Perkara ini bukan sahaja akan merunsingkan pihak istana, bahkan ia juga akan merunsingkan masyarakat yang tertanya-tanya sama ada ia benar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjejak pemilik akaun laman sosial berkenaan.

Sebelum ini, PDRM sudah pun menguar-uarkan mengenai penyalahgunaan laman media sosial, tapi masih ada lagi individu yang degil.

“Individu ini sengaja hendak menimbulkan suasana kacau-bilau,” katanya.

Memetik laporan sebuah portal, semalam laman web palsu World News Daily Report mencetuskan kegemparan di kalangan pengguna internet mendakwa Tengku Amir Shah menukar agama ke Kristian Katolik minggu lalu.

‘Itu beg mereka’


Madzalina yang juga kakak kepada Ariza, 46, yang terkorban selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas akibat ditembak di Ukraine, minggu Khamis lalu.
Selain Ariza turut terbunuh dalam tragedi paling buruk dalam sejarah penerbangan negara adalah suaminya Tambi Jiee, 48, serta empat anak mereka, Muhamad Afif, 19, Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhamad Afruz, 13.

Menurut Madzalina, sebelum berlepas ke Amsterdam dari Kazakhstan, adiknya ada menghubungi memaklumkan mereka sekeluarga membawa 10 beg dan meminta sesiapa menjemput mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada petang 18 Julai lalu.
Foto
BEG dipercayai milik Ariza.

“Malah, dia (Ariza) juga meminta supaya kami membawa kenderaan besar untuk mengangkut semua bagasi itu,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga reda melihat keadaan barangan yang diselongkar sambil meminta pihak berkuasa menyimpan sekiranya menemui barangan masih elok.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Lagi mayat ditemui di lokasi nahas


SATU serpihan pesawat MH17 terdapat di tepi sebatang jalan raya dekat Grabovo.


MELBOURNE - Beberapa serpihan rangka utama pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan beberapa mayat ditemui lagi dikawasan hutan berdekatan lokasi nahas dekat Grabovo. timur Ukraine, lapor media Australia, semalam.
"Kami ada menemui beberapa mayat kelmarin dan beberapa lagi mayat pada hari ini (semalam)," kata jurucakap Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah kepada akhbar Sydney Morning Herald Michael Bociurkiw.
Bociurkiw bersama anggota-anggota pasukannya telah melawat ke lokasi nahas di Donetsk bersama penyiasat dari Belanda, Malaysia dan Australia.
Sebanyak 37 warga Australia berada dalam pesawat MH17 ketika nahas berlaku.
Ia merupakan lawatan pertama anggota-anggota penyiasat dari Australia ke lokasi nahas.
"Penemuan paling penting ialah sebahagian besar rangka utama pesawat yang ditemui di dalam hutan," kata Bociurkiw kepada pemberita saluran televisyen ABC.
Pesawat itu yang membawa 298 penumpang dan kru terhempas dipercayai terkena tembakan peluru berpandu Buk di lokasi nahas.
Ketika nahas, pesawat itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38WVoFWh2 
Hakcipta terpelihara 

Friday, July 25, 2014

Tukar MB: Ketiga-tiga parti perlu setuju


  • Tan Sri Abdul Khalid IbrahimTan Sri Abdul Khalid Ibrahim

KAJANG - Persetujuan ketiga-tiga parti dalam PR penting dalam menentukan calon menteri besar kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil kira perkara berkenaan sebelum memberi perkenan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya salah satu parti tidak bersetuju maka calon yang dipilih tidak dapat memegang jawatan berkenaan.

“Untuk kefahaman masyarakat, semasa saya dicadangkan untuk dilantik menjadi menteri besar pada 2008, saya telah diminta oleh tuanku Sultan untuk bawa tiga surat dari PR.

“Tiap-tiap surat itu ditandatangani oleh Presiden PKR, Pas dan DAP. Selepas PRU13, saya juga menghadap Sultan Sharafuddin dan baginda menerima pelantikan saya bersama dengan surat dari Pas, PKR dan DAP,” katanya selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri 2014 Peringkat Selangor di Plaza Tol, Sungai Balak, semalam.

Beliau berkata, pelantikan menteri besar ini bukan dibuat oleh satu parti saja tetapi oleh pakatan.

Abdul Khalid juga mengulangi pendirian bahawa pelantikan atau pengguguran menteri besar perlu dilakukan mengikut tatacara seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Apa pun, untuk mendapat jawatan menteri besar, ada peraturan dan enakmen yang perlu diikuti supaya pelantikan atau pengunduran menteri besar itu dapat dilakukan dengan tertib dan cermat,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi membantah keputusan PKR yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid.

Menurut Iskandar, Pas Selangor mahupun Pusat tidak pernah memutuskan pertukaran Abdul Khalid dengan Wan Azizah.

Sidang media Majlis Presiden PR kelmarin memaklumkan menerima cadangan PKR untuk membuat pertukaran Menteri Besar Selangor yang mencalonkan Wan Azizah.

Pas dan DAP juga akan membawa cadangan ini ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan keputusan akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri.

Saya sokong Khalid kekal MB - Presiden PAS


KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: Berikut sidang media dan soal jawab Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama pihak media di kediamannya Rusila, Marang selepas kuliah pagi Jumaat, pagi tadi.

SAYA menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang menegaskan supaya diteruskan jawatan Menteri Besar Selangor kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Berdasarkan kepada perlu diambil kira tentang rakyat Selangor dan Sultan Selangor itu sendiri. YB Iskandar adalah wakil PAS Pusat yang dilantik oleh PAS Pusat mengikut Perlembagaan untuk mengendalikan urusan PAS negeri Selangor.

Kenyataan beliau adalah sebagai kenyataan wakil kita (PAS) di Selangor. Dan saya sendiri telah membuat penelitian melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS atau di luar PAS dan membuat kaji selidik. Di mana, didapati bahawa majoriti rakyat Selangor masih bersetuju dengan Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar.

Kedua, kita tidak boleh membelakangi Duli Yang Mulia Sultan Selangor dan kita (PAS) serah kepada bagindalah untuk menentukan dan tidak boleh dibelakangi baginda dalam isu (MB) ini, itu (keputusan) terpulang kepada baginda (Sultan).

Ketiga, alasan-alasan mahu menukar Menteri Besar ini tidak kukuh. Di mana, saya melihat tidak setuju dengan Tan Sri Khalid ini tidak melibatkan amanah-amanah yang besar. Jika sekiranya, beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, terlibat dengan pecah amanah, salah guna duit Selangor itu boleh kita tukar. Tapi, jika alasan yang lain itu boleh kita urus dan bukan dengan tukar Menteri Besar. Ini kerana, kita anggap masih dalam 'perjalanan' dan tidak boleh 'dipintas' dalam perjalanan, kena tunggu hingga habis tempoh penggallah. Itu pandangan saya berdasarkan apa yang saya dapat dari Pesuruhjaya PAS negeri Selangor dan rakan-rakan Exco (kerajaan) Selangor dan wakil-wakil rakyat Dun Selangor dari PAS.

Soalan (S): Adakah Tok Guru dan PAS sendiri kekal dengan keputusan untuk mempertahankan Khalid Ibrahim?

Jawapan (J): InsyaAllah, itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan bersama ini. Walau pun  di sana ada pandangan berbeza dan hujah berbeza dan saya dengar semua hujah-hujah ini, saya kumpul dan dapati semua hujah-hujah ini. Akhirnya, saya berpendapat majoriti akar umbi PAS bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim ini dikekalkan jawatan Menteri Besar. (Ini) di atas konsep Amanah, beliau menunaikan amanah (tangggungjawab) ini.

(S): Tidakkah Tok Guru, ini melebarkan perpecahan dalam pakatan pembangkang?

(J): Itu perkara akan datang dan kita (PAS) boleh bincang dan boleh berunding. PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat. Perdapat berbeza itu biasa sejak dari dahulu lagi.

(S): Ini dilihat sebagai jalan akhir untuk Datuk Seri Anwar ke Putrajaya?

(J): Perjuangan kita (PAS) bukan perjuangan untuk peribadi. Iaitu perjuangan untuk menyelamatkan negara dan ini bukan untuk saya (Abdul Hadi), bukan untuk Anwar Ibrahim dan bukan untuk sesiapa, tapi untuk rakyat semua.

(S): Mungkin akan ada (usul) undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor terhadap Tan Sri Khalid?

(J): Benda (perkara) yang akan datang saya tidak boleh jawab, nanti berlaku dulu.

(S): Kecelaruan yang berlaku sekarang ini telah membabit Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Adakah kerana PAS melihat isu wanita itu menjadi masalah?

(J): Berbeza pendapat itu bukan hanya berlaku di kalangan kita (Pakatan Rakyat) tapi dalam Barisan Nasional (BN) pun berlaku? Menteri Besar Terengganu tidak selesai sampai ke hari ini. Yang (berlaku) di Terengganu, yang Johor, yang Pahang. Saya tahu semua dan Umno-BN juga ada masalah.

(S): Adakah PAS tidak menyokong Langkah Kajang?

(J): Langkah Kajang itu benda (perkara) yang lepas dan kita (PAS) sedang bekerja dan kita (telah) menang dalam Pilihan Raya Kecil di Dun Kajang itu.

(S): Datuk Seri, adakah kerana isunya calon (Menteri Besar) itu wanita?

(J): Isunya adalah isu 'Amanah', menunaikan amanah memimpin dan kita (PAS) dapati Tan Sri Khalid tidak khianat. Ini tidak sampai ke peringkat khianat terhadap amanah ini. Dengan sebab itu salah kita turunkan beliau dengan sebab tidak ada kesalahan yang mencalarkan perkara amanah. Itu (alasan) yang lebih besarnya.

(S): Jadi pendirian pemimpin PAS di Selangor adalah sekata dengan Tok Guru?

(J): Saya ambil (pendapat) Pesuruhjaya PAS Selangor, wakil kita (PAS).

(S): Tok Guru, adakah PAS akan mengajak MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melompat parti (PKR) kepada PAS. Berikutan dalam PKR sendiri telah ada calon lain selain Tan Sri Khalid?

(J): Itu bukan cara kita (PAS). Sejak awal lagi kerusi kita 15 (Dun), kerusi lebih dari PKR tapi kita (PAS) beri kepada PKR kerusi (MB) Selangor itu. Kita beri kepada dia (PKR) dan kita beri kepada Tan Sri Khalid atas asas dia masih lagi ahli PKR.

(S): Dalam isu mempertahankan Tan Sri Khalid ini kenapa tidak bertindak untuk melantik wakil PAS sendiri menjadi Menteri Besar Selangor?

(J): Macam saya sebut tadi kita (PAS) beri kepada PKR tadi kerana kita sudah ada (kerajaan) Kelantan. Itu menunjukkan semangat kerjasama kita dalam Pakatan Rakyat.

(S): Datuk Seri, setakat ini ada hasrat untuk mengajak Tan Sri Khalid menyertai PAS?

(J): Sehingga ini tidak berhasrat dan terpulang kepada peribadi beliau (Khalid) sendiri.

- HARAKAHDAILY 25/7/2014

Ruang udara makin bercelaru


  • Sumber : Kementerian Luar Amerika SyarikatSumber : Kementerian Luar Amerika Syarikat

RUANG udara dunia kini makin bercelaru akibat beberapa konflik perang di serata dunia. Beberapa peringatan penerbangan dikeluarkan syarikat penerbangan dan kerajaan negara masing-masing antaranya Amerika Syarikat dan Eropah.

Krisis penerbangan makin buruk apabila MH17 ditembak jatuh oleh puak pemberontak di Donetsk berhampiran sempadan Ukriane dan Rusia pada 17 Julai lalu.

Lima hari kemudian, pesawat Taiwan TransAsia Airways Flight 222 terhempas ketika gagal melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Magong akibat taufan Matmo dan semalam pesawat Algeria McDonnell Douglas DC-9 yang membawa 110 penumpang terputus hubungan selama 50 minit dengan menara kawalan dan kemudiannya disahkan terhempas berhampiran Niger.


Ruang udara tidak stabil

Ruang udara didapati tidak stabil susulan peningkatan perang di beberapa negara Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur.

Di Libya, militia bersenjata lengkap dengan aset peluru berpandu melancarkan serangan menawan lapangan terbang utama negara itu pada bulan lalu.
Di Afrika, keseluruhan rantau Sahel dikuasai pemberontak juga lengkap dengan aset ketenteraan termasuk sistem pertahanan udara mudah alih hasil tinggalan ketika penyingkiran Muammar Gaddafi.

Jaminan keselamatan juga longgar ketika berlaku perang saudara di Syria, di mana ribuan tentera dan kumpulan Tentera Pembebasan Syria berusaha menembak jatuh helikopter tentera dan pesawat pejuang sesama mereka.

Konflik perang juga turut berlaku di Iraq selepas kewujudan Kerajaan Islam pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi yang mula bangkit melalui platform Kumpulan Iraq dan Jajahannya (ISIL)untuk menawan berapa bandar utama di negara itu dengan menentang rejim Perdana Menteri Nouri Al-Maliki.
Keadaan ini jelas memberi risiko penerbangan kepada semua syarikat pesawat bermula dari benua Afrika, Eropah hingga ke Asia

Sungguhpun mendapat pengesahan laluan selamat daripada pusat kawalan udara negara masing-masing namun bahaya akibat peperangan ini belum mendapat jaminan.

Ia berikutan kelengkapan aset ketenteraan canggih seperti peluru berpandu yang dimiliki negara bergolak masih belum menjamin keselamatan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan seperti apa yang berlaku terhadap MH17.

Selasa lalu, Persekutuan Penerbangan Amerika Syarikat (FAA) mengeluarkan arahan  bahawa semua syarikat penerbangan negara itu dilarang melakukan penerbangan ke Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv,  Israel untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam  selepas Hamas meningkatkan bedilan membalas serangan Israel.

Selain laluan itu, Libya, utara Ethiopia, Korea Utara dan rantau Crimea di timur Ukraine turut tersenarai dalam laluan terlarang manakala  penerbangan di bawah ketinggian tertentu ditetapkan terhadap ruang udara Iraq dan Somalia.

FAA menyenaraikan Mali, Congo, Kenya, Yaman, Semenanjung Sinai , Syria, Iran dan Afghanistan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Peluru berpandu pembunuh pesawat
Pengarah GlobalSecurity John Pike berpendapat, sesebuah negara perlu prihatin dengan keupayaan aset ketenteraan negara-negara yang sedang bergolak ini.

“MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu pada ketinggian 33,000 kaki ketika melintasi ruang udara yang semua pihak sudah ketahui ia adalah kawasan paling panas pertembungan antara Ukraine dan puak pemberontak pro-Rusia.

Palang besi: DBKL kejam terhadap warga miskin kota


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Dapur Jalana mengecam tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membuat pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar ibu negara.

Dalam satu kenyataan pihaknya berkata, tindakan tersebut adalah kejam dan tidak bertimbang rasa serta satu bentuk serangan baru pemerintah terhadap warga miskin kota.

Menurut mereka, DBKL sepatutnya menghormati semangat perundingan yang sedang berjalan antara organisasi-organisasi yang prihatin tentang warga miskin kota termasuk Dapur Jalanan Kuala Lumpur dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai isu warga miskin kota dan golongan tak berumah.

Jelasnya mesyuarat sudah diadakan dua kali serta masuk ke peringkat merangka penyelesaian.

Pertemuan secara terus di antara pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan komuniti warga miskin kota sedang dirancang, ujarnya.

"Masalah timbul kerana tindakan DBKL itu membelakangi semangat perundingan dan perbincangan.

"Tindakan agresif memasang palang besi di bangku-bangku awam ini juga telah mensabotaj usaha semua pihak dalam mencari penyelesaian isu warga miskin kota dan golongan tak berumah.," kenyataan itu dipetik. - HARAKAHDAILY 25/7/2014

Gaza ada kaitan tragedi MH17?


  • Seorang lelaki memerhatikan serpihan pesawat MH17. Sudah seminggu berlalu namun sehingga kini, siapa sebenar yang menembak jatuh pesawat malang itu belum lagi dikenal pasti. - Foto AFPSeorang lelaki memerhatikan serpihan pesawat MH17. Sudah seminggu berlalu namun sehingga kini, siapa sebenar yang menembak jatuh pesawat malang itu belum lagi dikenal pasti. - Foto AFP

SEKUMPULAN orang gasar atau barbarian yang susah hendak dibawa bicara. Itu tanggapan saya mengenai pemberontak Ukraine pro Rusia yang menyusuli berita-berita awal tragedi MH17.

Imej itu ditanam dalam kepala saya oleh media. Mereka digambar sebagai kumpulan penjahat yang bukan sahaja ganas malah tidak berperikemanusiaan. Tanpa berkira-kira, saya pun percaya.

Akan tetapi apabila PM Najib secara tiba-tiba dan dalam tempoh yang singkat, berjaya memujuk ketua pemberontak, Alexander Borodai untuk menyerah kotak oren - saya tidak mahu tipu diri mengatakan itu kotak hitam - kepada pasukan penyiasat Malaysia, dua pertanyaan muncul secara tiba-tiba dan terus berputar mengikut orbit mengelilingi kepala saya.

Yang pertama, bagaimana Najib tiba-tiba jadi begitu hebat berjaya menundukkan pemberontak yang sebelum itu digambarkan seganas raksasa, sukar berkompromi dan tidak berperikemanusiaan terutama dengan tindakan mereka merampas mayat mangsa daripada pasukan penyelamat, lalu disembunyikan?

Apa ilmu yang Najib pakai?

Yang kedua, benarkah kumpulan pemberontak pro Rusia itu benar-benar ganas dengan sikap yang sangat tidak sesuai untuk hidup pada zaman ini, sebagaimana yang digembar-gembur media?

Ya, agak sukar bagi diri saya sendiri mulanya untuk menyisih tanggapan buruk itu. Meskipun dari awal hati saya seakan tidak mahu terima momokan media kononnya pemberontaklah yang menembak jatuh pesawat kita, namun rasa marah tetap ada.

Tidak mudah sebenarnya untuk dinyah persepsi itu selagi kita tidak dapat jawapan yang pasti, siapa yang sebenarnya menembak MH17 dan membunuh 298 manusia yang tidak bersalah. Sekurang-kurangnya pada masa itu, kita sudah ada kambing hitam!

Namun saya mula curiga apabila tersebar cerita 'propa' MH17 jadi mangsa tersilap tembak yang sebenarnya menyasarkan pesawat IL96 yang bawa Vladimir Putin. Bersama-sama dengan 'propa' itu, bertebaranlah gambar IL96 yang warna dan coraknya mirip pesawat MAS.

Entah si Kitul mana yang terjumpa 'jigsaw puzzle' di tepi jalan lalu mencantumkan cerita yang tidak munasabah itu. Apakah ia dari pihak Ukraine?

Bagi saya, cerita itu bukan sahaja tidak munasabah malah sangat bodoh kerana kalaulah mahu dikata tembakan peluru berpandu itu pemberontak pro Rusia yang punya angkara, apa jenis penyakit gila yang telah merasuk mereka untuk menembak 'big boss' sendiri?

Yang kedua, Ukraine dengan Rusia diketahui bermusuh, dungu sangatkah Putin untuk melalui ruang udara negara musuh sedangkan dia tahu peluru berpandu BUK M1 boleh mencapai sasaran sejauh 35 kilometer atau 100,000 kaki?

Dalam perbualan dengan rakan-rakan wartawan, kami juga tertanya-tanya, mengapa Presiden Ukraine, Petro Poroshenko sebaik sahaja berlaku tragedi, pantas memberitahu dunia bahawa itu bukan angkara pihaknya.

Siapa yang tuduh dia?

Kremlin pada masa itu sekadar berdiam diri ketika tuduhan dalang bertubi-tubi ditujukan ke arahnya.

Tidak, kita tidak pun menuduh Ukraine. Yang tuduh Ukraine, Rusia dan yang tuduh Rusia, Ukraine, Amerika dan seluruh dunia yang mempercayai Amerika atau berjaya diperdaya olehnya.

Mujurlah, kebijaksanaan PM Najib memposisikan diri dalam situasi mencabar ini membantu kejayaannya berunding dengan Borodai. Rusia sebagai 'godfather' pun tidak berupaya mempengaruhi ketua pemberontak itu tetapi Najib telah melakukannya.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte juga sekadar berkomunikasi dengan Putin, bukan dengan pemberontak.

Dalam protokol diplomatik, bukan mudah sebenarnya bagi seseorang ketua kerajaan untuk berunding dengan pemberontak di luar sempadannya. Tindakan menongkah arus Najib bukan sahaja seperti melempar kek ke muka pemimpin-pemimpin besar dunia yang sekadar mampu menjerit dan melaung dari jauh supaya mangsa tragedi itu diberi keadilan, malahan juga boleh mengundang kecurigaan Kiev.

Berhubung secara terus dengan pemberontak boleh sahaja membuatkan Kuala Lumpur dilihat seolah-olah mengiktiraf pemberontak Donetsk. Walaupun secara tidak rasmi, hal yang seperti ini mudah dimanipulasi.

Kumpulan pemberontak yang dipimpin Borodai menguasai wilayah Crimea yang secara rasminya masih lagi sebahagian daripada Ukraine. Republik Rakyat Donetsk yang mana Borodai mengaku dirinya perdana menteri, tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara.

Justeru, urusan ini sememangnya tidak mudah bagi Najib. Namun demi kepentingan rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, dia lakukan juga dan kesudahannya, berjaya!

Sekarang, proses memindahkan mayat mangsa sedang dilakukan dalam perjalanan untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Dalam kesibukan ini, orang sudah kurang memberi perhatian terhadap siapa sebenarnya dalang.

Dalam keadaan inilah, nun di Gaza... Amerika tiba-tiba dilapor menghantar 2,000 tentera untuk membantu pengganas Zionis yang sudah tidak terdaya menghadapi tentangan sengit komando Al-Qassam.

Apakah di belakang layar, kedua-dua kes ini ada kaitan?

Cadang hantar Lola kaunseling


  • Lolanopita bersama Hanif ketika hadir ke mahkamah.Lolanopita bersama Hanif ketika hadir ke mahkamah.

SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan sebutan semula kes ibu remaja orang kurang upaya (OKU)  yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai Jun lalu pada 3 September depan.

Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan itu selepas peguam Lolanopita iaitu Hanif Hassan memohon satu tarikh lain bagi mengemukakan baki dokumen representasi kepada pihak pendakwaan.

Malah, hakim turut menetapkan 5 dan 6 November depan sebagai tarikh perbicaraan bagi dua pertuduhan disabitkan terhadap Lolanopita iaitu mengabai dan meninggalkan anaknya, Muhammad Firdaus Dullah, 15, tanpa pengawasan.

Lolanopita  sebelum itu kelihatan hadir ke mahkamah  memakai baju kurung dan bertudung biru kira-kira jam 9.15  pagi.

Sementara itu Hanif ketika ditemui berkata, dia membuat permohonan tarikh baru berkenaan  bagi tujuan penyerahan baki dokumen representasi kepada pihak pendakwaan.

“Saya bercadang untuk menghantar anak guam saya mendapatkan khidmat kaunseling dan jika perlu saya akan dapatkan khidmat psikiatri bagi tujuan representasi,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan hak perintah sementara diberi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menempatkan Firdaus di rumah kebajikan di Taman Sinar Harapan, Tuanku Ampuan Najihah di sini.

Difahamkan hak penjagaan itu bermula semalam hingga 20 Ogos depan.

Ketibaan mayat nahas MH17 di Belanda


http://myblogsantai.blogspot.com | .

12 Gambar Ketibaan Mayat Mangsa Nahas MH17 Di Belanda

on WEDNESDAY, JULY 23, 2014 
Kumpulan mayat pertama daripada pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di Belanda malam tadi, kira-kira seminggu selepas pesawat malang itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine ketika konflik meletus semula di kawasan terhempasnya pesawat itu. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kumpulan-pertama-mayat-mangsa-mh17-tiba-di-belanda-disambut-penuh-istiadat#sthash.YXCcroRB.dpuf
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
Kumpulan mayat pertama daripada pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di Belanda malam tadi, kira-kira seminggu selepas pesawat malang itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine ketika konflik meletus semula di kawasan terhempasnya pesawat itu. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kumpulan-pertama-mayat-mangsa-mh17-tiba-di-belanda-disambut-penuh-istiadat#sthash.YXCcroRB.dpuf
 Mayat  Mangsa Nahas MH17  
Di Sinilah Perjalanan Pertama Bermula
Mayat  Mangsa Nahas MH17 
Perjalanan Kedua Ke Atas Keretapi
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
 Meninggalkan Kawasan Kejadian Di TOREZ Menuju Ke Airport
 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda 
Penghormatan Terakhir Oleh Tentera Ukraine Sebelum Berlepas Ke Belanda
 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
Bersedia Untuk Berlepas Ke Belanda
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
 Ketibaan Mayat Mangsa Di Belanda
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
Kira-kira 1,000 keluarga 193 mangsa rakyat Belanda berkumpul di lapangan terbang termasuk Raja Willem-Alexander dan Queen Maxima, Perdana Menteri Mark Rutte dan wakil negara yang terlibat menyambut ketibaan pesawat itu.  

 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda 
 12 Gambar Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda
Konvoi Yang Membawa Mayat Mangsa Nahas MH17 Meninggalkan Eindhoven Airport Menuju Ke Hilversum untuk proses pengecaman identiti

Ketibaan Mayat  Mangsa Nahas MH17 Di Belanda

Setelah seminggu kejadian nahas MH17, kumpulan mayat pertama daripada pesawat Malaysia Airlines MH17 akhirnya tiba di Belanda malam tadi. Kesemua 40 keranda yang membawa mayat tersebut diterima oleh tentera Belanda dalam majlis penuh istiadat sebagai penghormatan terakhir disaksikan oleh orang ramai yang berbaris di kiri dan kanan jalan.
 
Kira-kira 1,000 keluarga 193 mangsa rakyat Belanda berkumpul di lapangan terbang termasuk Raja Willem-Alexander dan Queen Maxima, Perdana Menteri Mark Rutte dan wakil negara yang terlibat menyambut ketibaan pesawat itu.

Majlis dua jam itu disiarkan ke seluruh negara dan dunia dalam suasana amat berbeza berbanding layanan di kawasan kejadian. Loceng gereja dibunyikan di seluruh Belanda ketika pesawat yang membawa kumpulan pertama mayat yang belum dikenal pasti itu mencecah bumi negara itu di mana kebanyakan mereka adalah rakyat Belanda.


Kesemua mayat dibawa ke makmal tentera di Hilversum, selatan Amsterdam, di mana pakar forensik akan menjalankan proses mengenalpasti identiti mereka. Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte telah memberi amaran bahawa mereka mungkin memerlukan tempoh sebulan atau lebih lama untuk mengenalpasti kesemua mayat sebelum dihantar balik ke negara masing-masing. Hmmm...
 
P/s: Perjalanan yang sungguh jauh dan lama untuk mereka yang telah pergi. Doakan semoga semuanya dipermudahkan.

'Saya akan terus bekerja sehingga tidak jadi MB'


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah bertitah kepada beliau supaya dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya jawab pada Tuanku Sultan, akan terus bekerja sehingga tidak menjadi Menteri Besar,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Kampung Assam Jawa, di sini, semalam.

Ketika ditanya isu desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan beliau meletak jawatan, Abdul Khalid memberitahu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama dalam masa terdekat.

PAS dan DAP akan membawa keputusan PKR mencalonkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor pada mesyuarat peringkat tertinggi masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat parti selepas hari raya Aidilfitri nanti. -HARAKAHDAILY 24/7/2014

‘Akhirnya pacar mama menang’


Di mata Anna, Jokowi adalah seorang wira dan idola yang kukuh bertakhta di hatinya.

Nenek yang mempunyai enam anak itu berkata, dia mula jatuh hati kepada Jokowi sejak 2012.
Ia adalah detik ketika Jokowi memenangi pemilihan Gabenor Jakarta.

Ditanya apa yang menambat hatinya terhadap Jokowi, Anna, 78, berkata dia tertarik dengan sikap kesederhanaan antara lain melalui penampilan bakal presiden ketujuh Indonesia itu berkemeja putih dan berseluar hitam.

Disebabkan itu juga Anna bersimpati apabila pelbagai tuduhan dan negatif dilemparkan terhadap pemimpin kesayangannya itu.
Foto
JOKOWI diisytiharkan presiden baru Indonesia, Selasa lalu.
Kesedihan itu semakin mendalam ketika proses pengiraan undi pilihan raya presiden lalu.

Kata anak Anna, Fransisca Helmaria, 54, ibunya tidak berganjak dari depan televisyen dan sanggup mengikuti sepenuhnya proses itu pada 22 Julai lalu.
“Mama tidak berhenti berdoa dan sangat risau jika Jokowi kalah,” katanya.

Keuzuran tidak menghalang Anna daripada berdiri di depan televisyen dari saat proses pengiraan bermula sekitar jam 11 pagi sehinggalah wiranya itu diisytihar sebagai pemenang pada jam 10 malam.

“Sesekali memang mama duduk, namun tumpuannya tidak lari dan dia tidak henti-henti mendoakan Jokowi menang,” katanya.

Disebabkan bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, Fransisca berkata, dia berulang kali menenangkan ibunya sehinggalah Jokowi diisytiharkan secara rasmi memenangi pemilihan berkenaan. Sebaik mendengar berita gembira itu, Anna yang berlinangan air mata berkata: “Akhirnya pacar mama menang!” Nyata Fransisca lega dengan kegembiraan ibunya kerana sebelum ini Anna pernah menerima rawatan di hospital akibat pengsan kerana tertekan.

Anna juga mengalami sakit kerana Jokowi diserang pihak lawan dengan pelbagai tuduhan negatif. “Paling menyakitkan hati mama apabila Jokowi didakwa komunis dan bukan beragama Islam.

“Memang kami Kristian, tetapi kami semua sakit hati ketika mendengar fitnah yang mendakwa Jokowi bukan Muslim,” katanya.

Kerana terlalu tertekan Anna dirawat lebih enam hari di hospital. Kata Fransisca doktor mendapati Anna mengalami tekanan akibat terlalu memikirkan hal buruk menimpa Jokowi.

Kini, keadaan Anna pulih dan dibenarkan pulang. Senyuman juga tidak lekang dari bibirnya selepas Jokowi menang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

'Kami risau'


Bukit Mertajam: Bapa kepada pramugara MH17, Sanjid Singh Sandhu, 41, yang terkorban apabila pesawat dinaiki anaknya terhempas di timur Ukraine berharap mayat anaknya turut berada dalam kereta api yang membawa 282 mayat di Kharkiv, kelmarin.
Jijar Singh, 71, berkata, laporan terbaharu mengenai pesawat itu mencetuskan kebimbangan bagi ahli keluarganya yang khuatir mayat Sanjid tidak termasuk dalam kategori yang sudah dijumpai dan dibawa ke Amsterdam.
Ini kerana laporan terbaharu menyaksikan hanya 282 mayat dibawa dengan kereta api berkenaan ke Kharkiv, sekali gus bermakna pasti ada yang keciciran.

“Melihat kepada perkara ini bermaksud masih ada 16 mayat yang tidak dikeluarkan dari lokasi kejadian dan perkara inilah yang sangat merisaukan kami sekeluarga.
Foto

“Namun, saya dan isteri, Janggit Kaur berharap mayat anak kami ada di dalam kereta api berkenaan seterusnya berjaya dibawa pulang untuk melakukan upacara keagamaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Alma, di sini, semalam.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/24

PM Ukraine letak jawatan


Pengumuman mengejutkan itu menambah kekalutan negara berkenaan ketika wilayah timurnya kini dikuasai pemberontak dan pakar antarabangsa pula menjalankan siasatan berhubung tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17. 
Mengumumkan pengundurannya, Arseniy Yatsenyuk berkata, dia mengambil tindakan itu berhubung isu 'pembubaran gabungan di parlimen dan sekatan terhadap inisiatif kerajaan'. 

Sebelum itu beberapa parti meninggalkan gabungan yang membentuk kerajaan Ukraine.
Foto
ARSENIY Yatsenyuk, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Ukraine. FOTO EPA

Perkembangan itu membuka jalan kepada Presiden Petro Poroshenko untuk mengadakan pilihan raya awal dalam tempoh 30 hari.

Walaupun gencatan senjata diumum kerajaan dan pemberontak di lokasi pesawat MH17 terhempas berkuatkuasa serta-merta, pengeboman terus berlanjutan di kawasan berhampiran, termasuk di Donetsk yang terletak hanya 60 kilometer dari tempat kejadian. 

Tentera Ukraine melaporkan empat anggota mereka terbunuh dalam 24 jam dalam gerakan menguasai semula kawasan perindustrian di timur negara itu daripada penguasaan pemberontak pro-Russia. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

‘Meme’ tanda lapar


Seremban: Perasaan hiba dan gembira jelas kelihatan di wajah jururawat wad kanak-kanak Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mengiringi remaja kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, untuk dibawa keluar, semalam.
Sebaik remaja terbabit menaiki van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri di lobi utama hospital, rata-rata jururawat memeluk dan mencium serta merakam gambar terakhir bersamanya.
Perasaan kasih terpancar kerana merekalah yang menguruskan Muhammad Firdaus apabila dia dimasukkan ke wad sejak 21 Jun lalu dalam keadaan tidak terurus dengan berat badan hanya 14 kilogram (kg), namun kini mencapai 22 kg.

Ketua Jabatan Dietetik HJT Dr Basmawati Baharom berkata, Firdaus kini lebih sihat dan suka makan.
Foto
MUHAMMAD Firdaus dibawa pegawai JKM ke mahkamah untuk mendapat perintah jagaan sementara.

“Muhammad Firdaus suka makan apa saja tetapi dia tidak suka mengunyah, jadi kami memberinya makanan lembut dan sayur-sayuran.

“Walaupun Muhammad Firdaus tidak boleh bercakap, dia mempunyai cara sendiri untuk memberitahu kami sekiranya dia lapar dengan menyebut ‘meme’ berulang kali sehingga dia diberi makan,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Pakar Britain periksa kotak hitam



GAMBAR fail menunjukkan dua kotak hitam sebuah pesawat MH17 yang diserahkan kumpulan pemisah pro-Rusia kepada perwakilan Malaysia di Donetsk pada 22 Julai lalu.- AFP


LONDON - Pasukan penyiasat Britain mula memeriksa kotak hitam kedua Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, kata Kementerian Pengangkutan semalam.
Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough, barat daya London ini masih memeriksa perakam data penerbangan yang merakamkan maklumat peralatan di dalam pesawat.
Kelmarin, beberapa pakar AAIB memuat turun data dari kotak hitam pertama yang merupakan perakam suara kokpit.
Kotak hitam pertama itu menyimpan perbualan juruterbang selama beberapa jam.
"Mereka mula memeriksa Perakam Data Penerbangan," kata seorang jurucakap Jabatan Pengangkutan kepada agensi berita AFP semalam.
"Analisis data akan dilakukan oleh sebuah pasukan antarabangsa yang diketuai oleh pakar-pakar Belanda," tambahnya.
Kedua-dua kotak hitam itu yang sebenarnya berwarna oren dihantar ke Farnborough oleh Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) yang mengetuai siasatan antarabangsa berhubung nahas tersebut.
Tragedi MH17 mengorbankan 298 orang dan kru dengan 193 penumpang terdiri daripada rakyat Belanda.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia yang menguasai lokasi nahas menyerahkan dua kotak hitam itu kepada beberapa pegawai Malaysia pada Selasa lalu.
Menurut OVV kelmarin, data daripada perakam suara kokpit itu berjaya dimuat turun dan mengandungi data sah penerbangan MH17.
Data yang dimuat turun itu perlu dianalisis dan disiasat dengan lebih terperinci.
Sebelum ini, Barat menyatakan bukti menunjukkan pesawat jenis Boeing 777-200 itu ditembak jatuh menggunakan sebuah peluru berpandu oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.
Pihak OVV kini menyelaras pasukan penyiasat dari lapan buah negara termasuk Rusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz38QkkdLRp 
Hakcipta terpelihara 

Pejuang pemisah akui ada peluru berpandu Buk


KHODAKOVSKY berada di pejabatnya di Donetsk pada 8 Julai lalu.- REUTERS


DONETSK - Seorang ketua pemisah Ukraine yang berpengaruh, Alexander Khodakovsky mengesahkan kumpulan pejuang pemisah pro-Rusia memiliki peluru berpandu anti-pesawat seperti yang didakwa Amerika Syarikat (AS) telah digunakan untuk menembak jatuh sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).
Dalam satu temu bual dengan agensi berita Reuters, Khodakovsky yang merupakan komander kumpulan Vostok Battalion membuat pengakuan itu buat kali pertama sejak pesawat tersebut ditembak jatuh di timur Ukraine pada Khamis lalu.
Menurutnya, kumpulan pemisah pro-Rusia memiliki sistem peluru berpandu Buk.
Peluru berpandu itu telah dihantar kembali ke Rusia sebagai usaha memadamkan bukti-bukti yang menunjukkan ia digunakan untuk menembak pesawat MH17.
Sebelum pesawat Malaysia itu ditembak jatuh, kumpulan pemisah pro-Rusia itu bercakap dengan bangganya untuk memperoleh peluru berpandu Buk yang boleh menembak pesawat pada ketinggian 10,000 meter.
Namun, sejak tragedi nahas itu berlaku, kumpulan pemisah Ukraine yang pro-Rusia yang menggelarkan diri mereka sebagai Republik Rakyat Donetsk telah membuat penafian ia memiliki senjata itu.
Sejak pesawat MAS itu terhempas bersama 298 penumpang dan kru, isu yang dibincangkan kini ialah siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu sehingga mengakibatkan pesawat MH17 terhempas di kawasan kumpulan pemisah pro-Rusia sedang bertempur dengan tentera kerajaan Ukraine.
Khodakovsky menuduh pihak berkuasa Ukraine membuat hasutan dengan menyatakan terdapat peluru berpandu yang memusnahkan pesawat tersebut dengan menyatakan Kiev telah melancarkan serangan udara di kawasan yang menempatkan sistem peluru berpandu itu
"Saya tahu, sistem peluru berpandu Buk datang dari Luhansk. Ketika itu, saya diberitahu bahawa sistem peluru berpandu Buk di Luhansk datang dari Republik Penduduk Luhansk yang merupakan kumpulan pemisah pro-Rusia yang beroperasi di Luhansk, sebuah daripada dua wilayah pemisah bersama Donetsk iaitu wilayah yang menjadi lokasi pesawat itu terhempas.
"Itu adalah sistem peluru berpandu Buk yang saya dengari. Saya berpendapat, mereka (kumpulan pemisah) telah menghantarnya pulang (ke Rusia). Mereka (anggota-anggota kumpulan pemisah) telah dihantar pulang untuk menghapuskan bukti-bukti kewujudannya," katanya.
Menurut Khodakovsky, persolannya kini adalah Ukraine menerima bukti anggota-anggota sukarelawan itu mempunyai teknologi tersebut menerusi kelemahan Rusia.
"Ia (Ukraine) tidak melakukan apa-apa untuk melindungi keselamatan tetapi menghasut tentang penggunaan jenis senjata ke atas sebuah pesawat yang terbang bersama orang awam," katanya.
Khodakovsky berkata, kerajaan Ukraine tahu mengenai kewujudan Buk dan ia menuju ke Snezhnoye.
Snezhnoye merupakan sebuah kampung yang terletak 10 kilometer ke barat lokasi nahas pesawat MH17.
Seorang jurucakap Jabatan Pertahanan Negara AS, Eileen Lainez berkata, kenyataan Khodakovsky itu mengesahkan kumpulan pemisah pro-Rusia menerima latihan, senjata api dan sokongan dari Rusia. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38QkZRDsW 
Hakcipta terpelihara