Friday, October 3, 2014

MH17: Keputusan Masuk Semula Ke Lokasi Nahas Ditentukan Australia, Belanda - Hishammuddin


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 1:46 PM
Hishammuddin Hussein.

SEPANG: Malaysia menyerahkan kepada pihak berkuasa Australia dan Belanda bagi memutuskan masa sesuai untuk memasuki semula lokasi kejadian nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di timur Ukraine, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bilangan besar mangsa adalah dari dua negara itu serta risiko yang perlu diambil pasukan keselamatan untuk ke lokasi kejadian yang masih bergolak.
"Saya dah bincang dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, oleh kerana jumlah penumpang terbesar adalah dari Australia dan Belanda, maka kita memutus membenarkan mereka membuat keputusan bila kita boleh masuk semula ke tempat kejadian," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas istiadat penghormatan lima jenazah mangsa tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Jumaat, Hishammuddin menjelaskan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi berbahaya di lokasi nahas yang boleh menjejaskan pasukan keselamatan ketiga-tiga negara.
Berhubung jangkaan bila pasukan keselamatan boleh kembali semula ke lokasi kejadian, beliau menegaskan bahawa tiada tempoh masa ditetapkan untuk berbuat demikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan baki dua lagi mayat warganegara Malaysia, termasuk dalam kumpulan mayat yang sedang dikenal pasti di Amsterdam, Belanda.
"Jika mayat-mayat itu adalah warganegara Malaysia, maka kita tidak perlu lagi turun ke lokasi nahas untuk mencari dan membawa pulang mayat," katanya.
Berkaitan pemilihan dan penempatan penasihat pertahanan di Kiev, Ukraine, Hishammuddin berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.
"Senarai nama telah ada, cuma kita sedang kenal pasti mereka yang benar-benar sesuai," katanya sambil menambah penempatan itu bakal memantapkan jalinan kerjasama antara dua negara susulan insiden MH17.
Sementara itu, Liow berkata setakat ini sebanyak 262 identiti mangsa daripada 298 penumpang dan anak kapal tragedi MH17 telah dikenal pasti.
Beliau berharap dua jenazah rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti termasuk dalam 27 jenazah yang dalam proses identifikasi di Pusat Perubatan Tentera Hilversum, Amsterdam.
Mengenai siasatan tragedi MH17, Liow berkata siasatan dari Malaysia akan diteruskan dalam aspek teknikal dan jenayah.
Beliau berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pasukan penyiasat Belanda telah mengadakan perbincangan mendalam untuk menganalisas laporan awal yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).
"Kita berharap laporan itu dapat membantu siasatan untuk dapatkan bukti kukuh untuk membawa penjenayah ke mahkamah antarabangsa," katanya.
Pesawat Boeing 777-200 penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Namun, sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Selain 44 warga Malaysia termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, penumpang pesawat itu terdiri daripada 193 warga Belanda dan 38 warga Australia.
Penumpang lain adalah dari Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Laporan awal DSB pada 9 September lepas, antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.
mstar

Anak Bongsu Tambi, Ariza Selamat Dikebumi


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 4:48 PM
Ahli keluarga memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Muhammad Afruz disemadikan, Jumaat.

KUCHING:Jenazah Muhammad Afruz Tambi, anak bongsu pasangan Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, pada 2.31 petang, Jumaat.

Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Tambi, 49, ibunya, Ariza, 46, dan tiga adik-beradiknya yang turut terkorban dalam tragedi pesawat MAS yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai lepas.

Ariza dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, disemadikan pada 22 Ogos lepas sebelum diikuti Tambi pada 9 September lalu.

Jenazah Muhammad Afzal, 17, dan Marsha Azmeena, 15, dikebumikan pada 19 September lepas.

Sebelum itu keranda jenazah Muhammad Afruz, 13, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11.35 pagi menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sejurus tiba, jenazah diberi penghormatan penuh adat ketenteraan dan diusung oleh sembilan anggota Rejimen Keempat Kor Armor Diraja sebelum dibawa menggunakan van jenazah ke Masjid Jamek Kuching untuk disembahyangkan.

Upacara solat jenazah diketuai Imam Bahagian Masjid Islam Sarawak, Abdul Aziz Wan Yusof, selepas selesai solat Jumaat.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof; Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Allahyarham Muhammad Afruz, merupakan anggota keluarga terakhir bagi keluarga Tambi yang berasal dari Kuching itu, yang mayatnya dikenal pasti.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17 itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. 
mstar

Ketibaan Jenazah Meling Akhiri Penantian Keluarga 78 Hari


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 5:41 PM
Ahli keluarga Meling ketika menunggu ketibaan jenazahnya di KLIA, pagi Jumaat.

BINTULU: Ketibaan jenazah Meling Mula, mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 di Lapangan Terbang Bintulu (LTB) pada Jumaat mengakhiri penantian keluarganya selama 78 hari sejak nahas itu berlaku 17 Julai lepas.

Jenazah Meling, 48, tiba di LTB pada 12.25 tengah hari menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie C130 dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sepatutnya tiba pada 11.30 pagi tetapi terlewat hampir sejam.

Turut mengiringi jenazah di dalam pesawat berkenaan ialah balu Meling, Simbut Kedit, 39 serta tiga orang anak iaitu Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15 dan Gabriel, 8.

Selain anggota keluarga, turut mengiringi jenazah dari Kuala Lumpur ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah dan Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Sebaik tiba di LTB, jenazah disembahyangkan mengikut agama Kristian oleh Pastor Richard Lai dan seterusnya dibawa ke rumah mendiang iaitu di Flat Sungai Plan,0-2-12, Jalan Tanjung Kidurong.

Jenazah ditempatkan di rumah berkenaan buat sementara sebelum dibawa ke Dewan Sungai Plan untuk upacara penghormatan terakhir oleh waris keluarga dan sahabat.

Acara 'Malam Rabat' juga akan diadakan pada malam ini di Dewan Sungai Plan iaitu acara tradisi masyarakat Iban sebelum jenazah disemadikan.

Mendiang Meling yang juga pekerja luar pantai untuk syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur akan disemadikan pagi esok di Tanah Perkuburan Lembaga Kemajuan Bintulu, Batu 2, di sini.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 itu.
mstar

Alvin Akan Kembali, Hadapi Pertuduhan - Timbalan Pendakwa Raya


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 3:45 PM
Alvin Tan.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yakin pemilik blog kontroversi, Alvin Tan akan kembali ke negara ini bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin waran tangkap mungkin tidak dapat diserahkan tetapi Tan pastinya tidak akan membiarkan bekas teman wanitanya, Vivian Lee untuk menghadapi pertuduhan tersebut seorang diri.

"Jika dia berani untuk membuat kenyataan terhadap polis dan mahkamah, dia tidak akan meninggalkan pasangannya seorang diri untuk menghadapi pertuduhan itu," katanya kepada Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Abdul Rashid Daud di sini Jumaat.

Ketika ditanya oleh Abdul Rahim dimana lokasi Lee (yang tidak hadir), Wan Shaharuddin berkata, Lee dikecualikan daripada hadir tetapi memberitahu bahawa dia (Lee) akan menghadiri prosiding akan datang kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Pada 13 Jun, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Tan apabila dia gagal untuk mengembalikan pasportnya.

Pada 22 Ogos, mahkamah melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Tan kerana gagal hadir ke mahkamah untuk kali ketiga.

Sejak itu, Tan membuat kenyataan di laman sosial dan dilaporkan sedang mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat.
mstar

Terpedaya Janji Manis Punca Berlaku Ganggguan Seksual


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 5:00 AM
Gambar hiasan.

EKSKLUSIF
KUALA LUMPUR: Sikap mudah percaya pada pujian dan janji manis antara faktor utama berlakunya kes rogol dan cabul di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja.


Perlakuan yang disifatkan gangguan seksual ini boleh berlaku sama ada secara lisan dan bukan lisan, visual atau fizikal.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual yang merangkumi cabul dan rogol bagi 2012 dan tahun lalu keseluruhannya mencatatkan 75 kes membabitkan majikan, manakala kes melibatkan rakan sekerja pula sekali ganda iaitu 156 kes.

Daripada jumlah itu, kes rogol membabitkan majikan sebanyak 27, manakala 48 kes untuk cabul dicatatkan, manakala kes gangguan seksual melibatkan rakan sekerja pula menunjukkan 42 kes rogol dicatatkan, manakala cabul sebanyak 114 kes.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus, kes seumpama ini kerap berlaku kerana mangsa terlalu mudah percaya selepas suspek menabur janji manis serta pujian.

"Apabila mangsa mudah diperdaya, suspek pastinya akan mengambil peluang atau kesempatan, selain sikap suspek yang ingin menunjuk kehebatan diri.

"Lebih penting, pihak terbabit kurang pengetahuan undang-undang dan penghayatan agama, sekaligus tidak menghormati hak dan kehormatan mangsa," jelasnya kepadamStar Online.

Asisten Komisioner Hamidah Yunus

Tambah Hamidah lagi, antara gangguan seksual yang sering dilaporkan termasuk secara lisan seperti komen, gurauan, usikan, bunyi atau soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.
"Ada juga secara bukan lisan seperti pandangan, kerlingan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau tingkah laku mengurat.

"Jenis gangguan secara visual pula berlaku apabila mangsa ditunjukkan dengan bahan lucah, melukis gambar lucah dan pujuk rayu yang berterusan.

"Dan gangguan secara fizikal pula melibatakan sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk dan mencium serta serangan seksual," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Hamidah, ada kejadian gangguan seksual yang berpunca daripada mangsa sendiri, selain sikap ibu bapa.

"Mereka (ibu bapa) tiada masa untuk berkomunikasi dalam keluarga serta tidak mamantau aktiviti anak-anak. Paling jelas kerapuhan institusi kekeluargaan menyumbang kepada pelbagai anasir negatif.

"Selain itu, kes ini juga berlaku disebabkan pengaruh filem lucah yang boleh ditonton menerusi internet atau VCD," jelasnya.

Katanya lagi, mangsa yang mengalami gangguan seksual ini perlu berani tampil membuat laporan bagi mencegah kes cabul atau rogol terus berlaku di kalangan majikan dan rakan sekerja.





mstar

Siapa Faekah? - Azmin


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 11:42 AM
Azmin Ali

GOMBAK: Kenyataan media yang dibuat bekas Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin mengenai pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak boleh diambil kira.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana, keputusan beliau mengekalkan Anwar dalam jawatan itu dibuat berdasarkan mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, ketika itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih memegang jawatan menteri besar.

"Siapa Faekah? Dia siapa...tanya dialah.

"Saya (buat keputusan) berdasarkan minit mesyuarat pada 22 September yang dipengerusikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim...bukan Faekah Husin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Faekah bahawa mesyuarat terakhir MMKN bukan sahaja memutuskan pejabat Penasihat Ekonomi yang diduduki Anwar ditutup, tetapi khidmat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi juga ditamatkan.

Faekah dalam kenyataannya turut mendakwa bahawa keputusan menamatkan khidmat Anwar adalah keputusan bersama dan beliau menerima arahan Khalid untuk mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu kerana pejabat Penasihat Ekonomi berada di bawah MBI.
mstar

Sistem peperiksaan negara perlu diubah


Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara yang mementingkan peperiksaan menghasilkan kesan buruk, termasuk kebocoran soalan peperiksaan seperti yang berlaku terhadap empat kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan perlu melihat isu kebocoran soalan peperiksaan dari perspektif lebih luas dalam konteks sistem pendidikan negara.

"Pembaikan memperbetulkan dan menilai semula sistem pendidikan negara perlu dilakukan jika benar negara mahu dibangunkan mengikut acuan sendiri," katanya.

Menurutnya, pendidikan berorientasikan peperiksaan menghasilkan suasana komersialisasi pendidikan seawal pendidikan asas kanak-kanak.

"Pusat tuisyen menjadi-jadi dengan janji manis yang pelbagai. Kelas tambahan dan kem teknik menjawab peperiksaan menjadi perniagaan.

"Sehinggalah soalan bocor berkemungkinan menjadi perniagaan kontemporari selepas melihat suasana ingin gred A yang berleluasa bukan sahaja dalam kalangan guru yang memiliki petunjuk prestasi utama (KPI) tersendiri, malah ibu bapa dan anak-anak yang ingin sama tinggi dan sama rendah dengan rakan-rakan lain," katanya.

Menurutnya, tidak mustahil jika dikatakan ada pihak yang menangguk di air keruh untuk menjadikan soalan peperiksaan bocor sebagai perniagaan mereka.

Mohd Azmi berkata, ini kerana sindrom mengejar gred A itu mengakibatkan pelajar dan guru ghairah dengan amalan mencari soalan ramalan peperiksaan bagi memungkinkan pelajar mudah menjawab.

Menurutnya, banyak pusat tuisyen melonjak popular apabila mampu membekal soalan ramalan yang hampir tepat untuk diberi latihan tubi kepada pelajar.

"Isunya di sini, Kementerian Pendidikan digesa meneliti punca gejala membocorkan kertas peperiksaan. Analisis punca dan kesannya adalah antara alat yang boleh digunakan kementerian untuk meneliti penyebabnya," katanya.

Kelmarin, seramai 472,853 murid tahun enam menduduki kertas ulangan Bahasa Inggeris dan Sains. Tarikh baharu bagi ujian Matematik dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober.

Keempat-empat kertas itu sebelum ini, disahkan bocor oleh Lembaga Peperiksaan.

Inilah padahnya bila anak bangsawan jadi PM


http://shahbudindotcom.blogspot.com/ | .
Sejak malam tadi apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter, bukan saja stesen minyak dibanjiri dengan kenderaan, malah laman sosial juga sarat dengan kecaman terhadap keputusan yang dianggap tidak bijak dan membebankan rakyat itu.

Dengan mengumumkan kenaikan itu hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha yang pastinya akan melonjakkan peningkatan harga barang-barang keperluan serta menambah lagi jumlah perbelanjaan, kerajaan berslogankan mendahulukan rakyat pimpinan Najib Razak seakan-akan sudah tersasar jauh daripada apa yang selalu mereka laungkan.

Bukan saja kenaikan itu yang dipertikaikan kerana beberapa laporan media antarabangsa menyebut harga minyak dunia sedang menurun ketika ini tetapi juga masa kenaikan itu yang hanya tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Korban turut dianggap tidak sesuai sama-sekali.

Apakah kerajaan tidak prihatin lagi kepada rakyat? Kenapakah kerajaan tidak boleh menunggu seminggu dua lagi untuk mengumumkan kenaikan itu?

Di media sosial, ramai yang meluahkan kemarahan mereka. Bulan saja penggiat media sosial pro pembangkang yang mengambil kesempatan ini untuk membelasah lagi kepimpinan Najib Razak, malah ramai juga yang pro kerajaan turut meluahkan perasaan yang sama. Semua mereka berpendapat kenaikan itu tidak wajar, selain masanya juga tidak sesuai.

Terdapat juga yang menyindir Najib dan kerajaan berikutan kenaikan itu seperti memberi petua menjimatkan minyak kereta dan bagaimana untuk memastikan penanda minyak sentiasa di garisan F yang dibuat dalam bentuk lawak jenaka. Ada pula yang mentafsirkan BR1M 2.0 dengan maksud "Beratur Ramai-ramai Isi Minyak 20 sen".

Yang memerli Najib dan kerajaan dengan mengucapkan terima kasih dan tahniah juga ramai atas tindakan menaikkan harga minyak, antaranya ialah bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin.

Ustas Kazim Elias, penceramah agama yang sebelum ini menolak lantikan sebagai Ahli MT UMNO oleh Najib adalah antara yang paling awal meluahkan perasaan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak ini serta meminta kerajaan mengkajinya semula atas dasar prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah.

Di kalangan pemimpin kerajaan pula, walaupun media sosial seharusnya menjadi medium mendekatkan interaksi antara pemimpin dengan rakyat, tetapi kenaikan harga minyak malam tadi telah menyebabkan mereka senyap sunyi dan "tidur awal" lantaran mengelak untuk berhujah dengan kemarahan rakyat. Jelas bahawa tidak ramai pimpinan kerajaan yang berani mempertahankan tindakan kerajaan itu dan berhujah secara terbuka.

Hanya Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan yang tampil cuba merasionalkan kemarahan rakyat dengan menulis di twitternya "Ron95 sebenar pasaran RM2.58 seliter. Harga di Malaysia RM2.30. Subsidi kerajaan 28 sen seliter. Diesel sebenar 2.52. Msia 2.20. Subsidi 32 sen. Tq."

Namun sebenarnya bukan harga pasaran minyak dan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan atau jumlah RM2 billion subsidi yang diperuntukkan kerajaan yang menjadi isu dan boleh meredakan suhu marah rakyat, tetapi hal paling besar ialah kenapakah Najib bersetuju dengan kenaikan yang dianggap tinggi dan dilakukan menjelang Hari Raya Korban pula?

Apakah kerajaan sudah kekeringan kantung kewangannya sehingga tidak sabar-sabar mahu mengurangkan subsidi rakyat? Kalau kerajaan kekurangan wang yang memberi erti prestasi ekonomi tidak membersangkan, bagaimana pula diumumkan baru-baru ini ekonomi negara berkembang sebanyak 6.4 peratus?

Logiknya jika ekonomi makin berkembang yang tentunya diikuti dengan bertambah kukuhnya kewangan negara, tentulah kerajaan tidak begitu terdesak memotong subsidi untuk rakyat bawahan.

Walaupun ada yang meletakkan punca kenaikan ini berdasarkan saranan Pemandu yang dipimpin oleh Idris Jala, kata putus membenarkan kenaikan itu tetap di tangan Najib Razak selaku Perdana Menteri. Hanya jika Najib bersertuju dengan kenaikan yang dicadangkan itu, barulah ia akan dinaikkan.

Menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi rakyat bukanlah kali pertama dilakukan Najib. Ia sudah banyak kali dilakukan sebelum ini. Alasan klise yang selalu diberikan ialah untuk meningkatkan daya saing rakyat dan memberi ruang ekonomi berkembang dengan lebih baik.

Tetapi memotong subsidi yang menyebabkan harga minyak naik tanpa angin dan tanpa ribut serta menjelang musim perayaan bagi umat Islam bukan saja tidak meningkatkan daya saing dan perkembangan ekonomi, bahkan tidak lain adalah manifestasi wajah dan warna hati sebenar Najib sebagai anak bangsawan yang tidak memahami derita dan kesusahan rakyat terbanyak di negara ini.

Sementara beliau dan keluarga teus bermewah dengan pelbagai kemudahan yang ditanggung rakyat melalui cukai rakyat, sedikit demi sedikit rakyat disengsarakan dengan pelbagai beban dan kenaikan yang dipaksakan. Sebagai anak bekas Perdana Menteri yang sejak lahir dilimpahi kemewahan, bukan saja kesusahan tidak pernah dirasainya, pemahaman mengenai erti derita dan kemiskinan juga tidak sama dengan mereka yang pernah mengalaminya.

Setelah enam tahun berlalu, kesilapan memilih anak bangsawan sebagai Perdana Menteri nyata makin ketara. Negara tidak harus mengulangi lagi kesilapan ini. Anak, cucu atau menantu Perdana Menteri tidak seharusnya lagi diberi ruang memimpin negara ini jika kehidupan rakyat bawahan dan marhaen ingin benar-benar difahami, diperjuangkan dan dibela.

Harga minyak & GST: 2015 tahun yang dahsyat


TUAN IBRAHIM TUAN MAN
2 Oktober 2014


2015 bakal menjadi satu tahun yang amat dahsyat bagi rakyat marhaen, terutamanya mereka di bandar yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Kenaikan 20 sen harga diesel dan petrol bakal melonjakkan harga barangan keperluan serta makanan dan minuman kerana meningkatnya kos pengangkutan.

Kerajaan usahlah perbodohkan rakyat lagi dengan langkah-langkah mendenda bagi menghalang peruncit, pemborong dan pengusaha restoran untuk menaikkan harga.

Impak kepada inflasi akibat kenaikan 20 sen ini bakal dirasai sepenuhnya dalam jangka 3 bulan. Perkara ini akan diburukkan lagi apabila GST dilaksana pada bulan April.

Berdasarkan laporan “2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges”, inflasi meningkat mendadak dalam dua tahun pertama GST mula dilaksanakan di mana-mana negara.

Di Australia, tahun sebelum GST dilaksanakan, inflasinya hanya 1.8 peratus (%). Ketika GST dilaksanakan, inflasi melonjak ke 6%. Hanya selepas 2 tahun, inflasi menurun ke kadar 2.9% - tapi masih sekali ganda lebih tinggi daripada sebelum GST terlaksana.

Begitu juga di Singapura dan China. Sebelum GST dilaksanakan, inflasi hanya sekadar 0.8% dan 10.5%. Pada tahun GST dilaksanakan, inflasi di Singapura melonjak ke 5.4% manakala China 24.2%  sebelum turun ke 2.3% bagi Singapura dan 12.7% bagi China selepas 2 tahun.

Berdasarkan apa yang berlaku di Australia, Singapura dan China, Malaysia juga tidak akan terlepas daripada kenaikan inflasi mendadak ini di 2015 apabila GST diperkenalkan.

Ditambah pula dengan kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak sekarang, tahun 2015 dijangka menjadi sangat dahsyat kepada rakyat marhaen.

Bersedialah menghadapinya. BR1M sebanyak RM1,000 (purata  RM83.33 sebulan) tidak akan dapat membantu rakyat marhaen menghadapi inflasi ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden Pas

Petrol lebih bernilai daripada ulama


XIFU NASER
3 Oktober 2014

BILA harga petrol naik, tiba-tiba kita menjadi pakar ekonomi bersyarah tentang ekonomi negara dan bagaimana kerajaan sepatutnya terus menampung subsidi petrol.

Tetapi bila anak kita malas membaca buku ilmiah, kita jawab, “Tak pa. Kalau dia gagal SPM, kita hantar dia ke pondok untuk menjadi ustaz sahaja!” Inilah nilai seorang ustaz atau ulama jika dibandingkan dengan petrol kereta.

Dr Maza telah mengkritik budaya menghantar anak yang cerdik untuk belajar sains dan yang kurang cerdik untuk belajar agama. Akibatnya, ulama tidak mempunyai daya saing sehebat pakar bidang lain. Seperti saya sebut dalam artikel yang lepas, isu ulama Pas tidak mampu bersaing dengan inteligensia liberal DAP adalah isu yang patut menjadi pengajaran kepada semua pihak, parti dan institusi dakwah yang ingin memartabatkan institusi ulama.

Melahirkan ulama yang kompetitif bukan tanggungjawab institusi rasmi sahaja. Ia memerlukan reformasi akar budaya beragama sehingga kita lihat ulama jauh lebih berharga daripada petrol.

Suara kita kena jauh lebih bising bila kualiti ulama turun kerana dunia makin kompetitif. Kalimah kompetitif atau daya saing perlu dimasukkan dalam zikir harian budaya beragama, dan bukan sekadar kalimah Ya Hanana. Kita perlu lahirkan ulama kompetitif.

Berita terbaru melaporkan ulama Makkah kecewa kerana jemaah haji pun ada yang berselfie di hadapan Kaabah! Mereka ini sepatutnya khusyuk beribadah, bukan khusyuk bersaing untuk dapat lebih banyak like untuk selfie!

Mengapa IS semakin kuat? Bagi saya, IS adalah hasil persaingan sengit antara Zionis Barat dan teroris. Zionis Barat yang telah mengkhianati mandat rakyat yang memilih Morsi sebagai Presiden Mesir secara demokratik telah menguatkan lagi semangat saing mujahidin. Terorisme IS adalah hasil kraftangan Zionis Barat. Saingan tidak mudah dipadamkan begitu sahaja dengan membunuh beramai-ramai pengikut Morsi.

Kes protes pro-demokrasi rakyat Hong Kong terhadap Tanah Besar China secara besar-besaran bila kerajaan China cuba campur tangan politik dalam pilihan raya Hong Kong menandakan yang kerdil (Hong Kong) sudah berani bersaing dengan King Kong (China). Peristiwa berdarah Tianamen Square 1989 langsung tidak melemahkan semangat bersaing mereka.

Tindakan China menutup Google, Youtube, Facebook, Twitter, Instagram hanya menjadikan rakyat Hong Kong makin kreatif dalam saingan. Sekarang mereka beralih ke apps FireChat pula yang tidak bergantung kepada internet untuk komunikasi. Saingan tidak mudah dihentikan dengan ugutan dan penutupan internet.

Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Timbalan Menteri Pendidikan mengkritik Akta Hasutan kerana beliau nampak persaingan sebagai landskap politik yang baru. Beliau berkata, “Umno dan BN harus sedar landskap politik sudah berubah dan penindasan tidak akan menyebabkan rakyat mengundi mereka.” Beliau sambung, “Putrajaya harus membezakan di antara kritikan dan hasutan. Mereka harus gembira kerana sekarang berlakunya persaingan idea.”

Kita lihat komen Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Dzulkefly Ahmad juga perlu diberi perhatian serius. Katanya, “Islam sudah tercalar untuk sekian lama hasil kesilapan kita sendiri, tetapi ini tidak bermakna ia sudah terlewat untuk memperbaiki persepsi mengenai agama.”

Apakah persepsi mengenai agama yang mampu menjadikan umat lebih kompetitif? Dr Dzulkefly memberi contoh tokoh politik Tunisia, Rashid al-Ghannouchi. Kalau dulu, Fathi Yakan, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dijadikan rujukan.

Sekarang Islamis sedar perlunya keluar dari kotak rujukan klasik ini sehingga al-Ghannouchi yang menyokong aspek positif pluralisme pula dijadikan sebagai contoh supaya umat menjadi lebih kompetitif. Apa yang saya gelarkan sebagai ‘Akta Wala’ tidak mampu menghentikan saingan politik dalaman dan luar Pas.

Kesimpulan yang saya ingin tonjolkan di sini ialah pendidikan bakal ulama perlu memasukkan mindset kompetitif atau saingan dalam silibus. Tetapi saingan ini bukan menjadikan mereka terroris seperti IS. Saingan bukan untuk menang politik kepartian. Saingan adalah untuk memantapkan dakwah secara hikmah.

Hikmah dalam berdakwah mewajibkan kita mengkaji semula budaya kita agar bakal ulama mempunyai daya saing yang bersifat nasional dan internasional demi menjaga imej Islam sebagai rahmat dunia.

*Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak

Solat dan lima jenis manusia


http://khalifahalhidayah.blogspot.com | .
SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat. Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

China beri amaran kepada AS


Peserta protes pro demokrasi masih meneruskan bantahan di Hong Kong. - Foto: AFP
Peserta protes pro demokrasi masih meneruskan bantahan di Hong Kong. - Foto: AFP
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Kerajaan China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak campur tangan dalam protes pro demokrasi yang semakin meruncing di Hong Kong.

Menteri Luarnya, Wang Yi berkata situasi yang berlaku di Hong Kong adalah masalah dalaman China dan menegaskan semua kerajaan asing harus menghormati kedaulatannya.

"Kerajaan China amat tegas dalam hal ini. Mana-mana kerajaan atau kumpulan tidak boleh bertindak sesuka hati kerana ianya bakal menggugat ketenteraman awam," kata Yi selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry, semalam.

Sebelum ini, AS menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan China menahan puluhan penunjuk perasaan yang bertindak melancarkan protes bagi menggesa peletakan jawatan pemimpin demokrasinya, Leung Chun-Ying.

Menurut AS, China sepatutnya menggunakan budi bicara dan membenarkan rakyatnya berkumpul bagi menyatakan pandangan mereka secara aman.

Namun tegas Yi, tindakan China adalah wajar dan berkata AS akan mengambil pendekatan sama jika situasi tersebut berlaku di negaranya.

Difahamkan, penunjuk perasaan terus menghalang laluan utama pengangkutan dan pelajar mengancam untuk meningkatkan bantahan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi termasuk peletakan jawatan Chung-Ying dan menarik balik pelan reformasi pilihan raya yang diumumkan Beijing.

Polis memaklumkan lebih 70 orang cedera sejak bantahan dimulakan minggu lalu, dipetik dari laporan IBT

Orang ramai dilarang berhimpun esok


Penyebaran mengenai perhimpunan bantahan kenaikan harga minyak di WhatsApp.
Penyebaran mengenai perhimpunan bantahan kenaikan harga minyak di WhatsApp.
KUALA LUMPUR – Polis menggesa orang ramai supaya tidak berhimpun bagi membantah kenaikan harga minyak. Difahamkan, protes besar-besaran tersebut akan dijalankan di Dataran Merdeka pada jam 4 petang, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, beliau menegaskan orang ramai supaya tidak berhimpun bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, ini merupakan satu kesalahan dan akan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman.

“Secara tidak langsung ia mampu mengganggu ketenteraman awam selain mencemarkan imej negara. Sehingga hari ini, kita belum menerima sebarang permohonan daripada pihak penganjur. Juga, masih tiada laporan diterima membabitkan perhimpunan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata pihak polis akan memperketatkan kawalan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan melibatkan orang ramai diadakan.

“Saya nasihatkan orang ramai agar jangan sertai perhimpunan ini bagi mengelak dikenakan tindakan tegas dan kita juga pantau perkara  ini dari masa ke semasa,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Minyak naik, GST: Kenaikan berantai tambah beban rakyat


MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Felo Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Mohd Hafiz Jamaludin mempersoalkan tindakan mengejut kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 seliter dengan ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di negara ini.

Jelasnya pada program Bicara Harakah 'Bajet 2015: Cabaran Rakyat' tindakan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa walaupun daripada Petronas.

"Kita tidak tahu kenapa kenaikan harga minyak kali ini dilakukan dengan ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Ini persoalan menarik dan bukan setakat itu sahaja, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya walaupun dari Petronas itu sendiri," jelasnya pada parogram yang berlangsung di MyHarakah Bazaar petang tadi.

Beliau berkata, dengan bajet yang akan dibentangkan pada 10 Oktober nanti rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga minyak tetapi dibebani dengan kenaikan berantai.

"Rakyat perlu bersedia dengan kenaikan berantai, kita menjangkakan akan ada penarikan subsidi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan lain.

"Kerajaan perlu memgambil pendekatan baru dalam membuat struktur baru bagi mencari penyelesaian dalam meringankan beban rakyat," jelasnya.

Tambah beliau, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan langkah terbaik, sepatutnya kerajaan perlu memperkasakan sumber baru termasuk sumber pendapatan terdahulu.

"Dulu kita megah dalam pertanian dan mineral kenapa ini tidak diperkasakan semula, ia seolah-olah dilupakan begitu sahaja.

"Sektor ini tidak diutamakan dan kita tidak tahu ap dasar yang digunakan kerajaan dalam merealisasi sumber pendapatan negara.

"Kita perlu melakukan perubahan baru dengan membuat struktur melalui sumber terdahulu dan yang akan datang," sambung beliau.

Menurutnya, kegagalan kerajaan meneliti dan hanya tertumpu kepada pelaksanaan GST menyebabkan rakyat terutama golongan miskin bandar terus dihimpit dengan bebanan dalam meneruskan kehidupan. -HARAKAHDAILY 2/10/2014

‘Saya tetap pertahan tindakan saya’



AZIZUL RAHEEM (kanan sekali) dan isterinya, Shalwati (empat dari kanan) bersama anak-anak mereka, Aisyah (kiri), Ammar (dua dari kanan), Adam (berdiri) dan Arif (tiga dari kanan) membaca doa sebelum menikmati hidangan makan malam selepas hampir setahun terpisah di kediaman mereka di Kota Bharu, Kelantan kelmarin.


KOTA BHARU – “Saya tetap pertahankan tindakan saya memukul anak-anak demi untuk mengajar mereka.”
Itu kenyataan tegas Shalwati Norshal yang baru dibebaskan Isnin lalu dari penjara di Sweden kerana memukul anak-anaknya pada penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada empat cahaya mata itu tetap menghormati undang-undang di negara berkenaan yang melarang ibu bapa memukul anak-anak.
Sweden menganggap tindakan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dipenjarakan.
“Budaya Malaysia dan Sweden berbeza. Saya percaya ramai ibu bapa di Malaysia ini memahami tindakan saya dan suami,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3F2I2qmUf 
Hakcipta terpelihara 

Boeing pasang unit paparan baharu di kokpit pesawat 737 dan 777

WASHINGTON: Wi-Fi satelit yang membolehkan penumpang menggunakan internet dalam penerbangan mungkin boleh mengganggu paparan pada skrin komputer juruterbang di kokpit dan ini membahayakan penerbangan ketika hendak mendarat atau berlepas.
Justeru bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) semalam mengeluarkan arahan supaya semua pesawat Boeing 737 dan 777 di Amerika Syarikat menukar unit paparan juruterbang itu kepada unit paparan elektronik baharu.
Dalam satu arahan kelayakan penerbangan yang diterbitkan semalam, FAA berkata pemasangan itu membabitkan 1,149 model lama pesawat 737 dan 177 unit pesawat 777 di Amerika Syarikat saja.
Agensi berkenaan berkata setiap pemasangan dianggarkan menelan belanja AS$10,000 (RM32,000), yang mengambil masa lima tahun untuk dipasangkan sepenuhnya.
"Kami mengeluarkan (arahan ini) bagi mengelakkan kehilangan maklumat penting dalam penerbangan yang dapat dilihat oleh anggota kru ketika saat kritikal dalam penerbangan, seperti menghampiri lapangan terbang atau ketika berlepas," katanya.
Tambahnya, keadaan seumpama boleh mengakibatkan pesawat hilang kawalan pada ketinggian yang sukar untuk dipulihkan, atau kemalangan yang tidak boleh dikawal oleh juruterbang (CFIT).
Unit paparan itu adalah skrin komputer yang memberi juruterbang maklumat di dalam pesawat, seperti ketinggian, kelajuan di udara, arah tuju kompas dan ketinggian pesawat secara perbandingan dengan horizon atau kaki langit.
Arahan kelayakan penerbangan itu didorong oleh kebimbangan bahawa isyarat Wi-Fi mungkin mengganggu unit paparan itu, menyebabkannya menjadi kosong.
Lebih banyak pesawat komersial kini dipasang dengan Wi-Fi satelit bagi membolehkan penumpang menggunakan internet pada ketinggian 10,000 meter atau 35,000 kaki. - AFP

Remaja 17 tahun ketuai revolusi Hong Kong



Reuters - WONG memberikan ucapan di hadapan berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di luar ibu pejabat kerajaan di Hong Kong kelmarin.


HONG KONG – Seorang remaja berusia 17 tahun kini menjadi antara penggerak utama Revolusi Payung di Hong Kong yang menggegarkan kerajaan China dengan ucapan penuh semangat bagi menuntut demokrasi di pulau berkenaan, lapor The New York Times kelmarin.
Remaja berkenaan, Joshua Wong (gambar kecil) yang sering memakai cermin mata besar menggerakkan berpuluh-puluh ribu pelajar yang membanjiri Hong Kong bagi menuntut demokrasi yang lebih meluas di tanah bekas jajahan British tersebut.
“Apabila saya mendengar lagu kebangsaan mula dimainkan saya tidak berasa teruja tetapi berasa sangat marah.
“Lagu ini memberitahu supaya kita bangun kerana kita sudah merdeka tetapi mengapa layanan yang kita terima ini tidak jauh bezanya seperti hamba,” katanya dalam satu perhimpunan kelmarin sempena Hari Kebangsaan China.
Remaja berbadan kurus tersebut mula menjadi aktivis terkenal di Hong Kong sejak dua tahun lalu apabila dia menggerakkan beribu-ribu pelajar bagi membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan mata pelajaran patriotik di sekolah-sekolah di Hong Kong.
Wong juga menjadi pemimpin utama yang menggerakkan berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan sejak beberapa minggu lalu di Hong Kong yang menyebabkan dia ditangkap.
Beberapa media yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing telah melabelkan remaja itu sebagai alat Amerika Syarikat.
Revolusi Payung tercetus selepas beberapa kumpulan aktivis demokrasi membantah tindakan China yang menetapkan setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya di Hong Kong mendapat kelulusan Beijing.
Hong Kong merupakan tanah jajahan Britain sebelum diserahkan semula kepada China pada tahun 1997. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3F1r9GeAS 
Hakcipta terpelihara 

Ratusan ribu jemaah bergerak ke Mina



JEMAAH haji mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di kota suci Mekah kelmarin.


MEKAH – Beratus-ratus ribu jemaah haji mula bergerak ke luar dari kota suci ini menuju ke Mina di Arab Saudi semalam pada permulaan ibadat haji.
Ibadat haji yang merupakan antara perhimpunan manusia terbesar di dunia berlangsung tahun ini ketika pihak berkuasa berusaha untuk melindungi jemaah daripada dua virus maut iaitu Ebola dan MERS.
Pihak berkuasa berkata, hampir 1.4 juta jemaah dari seluruh dunia untuk menunaikan seruan haji tahun ini.
“Ia (mengerjakan haji) satu perasaan yang indah,” kata jemaah haji dari Algeria Aziza Yousfy, 60.
“Saya mengimpikan untuk melihat Mina dan Padang Arafah,” tambahnya.
Jemaah haji akan bergerak sejauh beberapa kilometer dari Mekah menuju ke Mina dengan memakai ihram sebagai simbol penyatuan tanpa mengira status sosial atau warganegara.
Pergerakan ke Mina menandakan permulaan ibadat haji pada 8 Zulhijjah. Jemaah haji akan bermalam di Mina sebelum menuju ke padang Arafah untuk melakukan wukuf hari ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3F1qziiqq 
Hakcipta terpelihara 

Amaran untuk demonstrasi


Penunjuk perasaan yang kebanyakannya golongan muda menuntut Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying supaya meletakkan jawatan semalam sambil mengugut akan memasuki bangunan kerajaan jika dia enggan untuk berbuat demikian. 
Mereka menuntut China membenarkan demokrasi sepenuhnya di Hong Kong untuk membolehkan penduduknya bebas memilih pemimpin sendiri. 

Leung yang dilantik Beijing enggan meletak jawatan dan keadaan itu menunjukkan jurang perbezaan pendapat sejauh mana kawalan politik wajar dipegang China di Hong Kong.
Foto
Penunjuk perasaan di Manchester meniru aksi peserta perhimpunan di Hong Kong duduk sambil menunjukkan sepanduk serta suluhan lampu telefon bimbit.

Superintendan kanan polis Hong Kong Steve Hui berkata, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang jika penunjuk perasaan cuba memasuki bangunan kerajaan.

“Apabila terjadi keganasan atau jenayah yang mampu menggugat keselamatan awam, polis akan mengambil tindakan tegas demi memastikan keadaan kembali aman,” katanya. 

Polis antirusuhan sebelum ini menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan anggota perhimpunan berkenaan dalam kekacauan paling teruk dihadapi Beijing sejak mengambil alih bekas jajahan Britain itu pada 1997. 

Sementara itu, penganjur demonstrasi, Persatuan Pelajar Hong Kong menggesa lebih ramai orang mengepung bangunan kerajaan bermula hari ini melainkan pihak berkuasa akur dengan tuntutan mereka. 

Pemimpin-pemimpin demonstrasi memberi ucapan di luar ibu pejabat kerajaan sambil mengingatkan peserta supaya bersedia menghadapi kekerasan polis termasuk gas pemedih mata. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Revolusi Payung di seluruh dunia


Menurut penganjurnya, United for Democracy: Global Solidarity with Hong Kong, 3,000 orang di London mahu menunjukkan warga bekas jajahan Britain itu bahawa mereka “tidak bersendirian.” Demonstrasi turut diadakan di 25 bandar lain di seluruh dunia termasuk New York, Manchester, Newcastle, Glasgow, Paris, Toronto, Seoul, Taipei, Sydney dan Melbourne. 
Menurut penganjur, perhimpunan juga akan diadakan di Auckland, Edinburgh, Houston, Christchurch, Hamburg, Seattle, Oslo, Montreal, Copenhagen, Stockholm, Washington dan Boston. 

Peserta perhimpunan di London dan Times Square di New York turut membawa payung kuning yang kini menjadi simbol kempen berkenaan selepas penunjuk perasaan di Hong Kong menggunakan alat itu untuk berlindung bukan saja daripada cuaca panas atau hujan, malah tembakan gas pemedih mata.
Foto
Perhimpunan turut diadakan di New York.

Perhimpunan di London berjalan secara aman dengan pesertanya melaung supaya Ketua Eksekutif Hong Kong Leung Chun-ying meletakkan jawatan selain menyanyi lagu ‘Do You Hear the People Sing’ tema Revolusi Perancis dalam muzikal Les Miserables.

Satu lagi demonstrasi turut diadakan di pusat bandar Manchester membabitkan golongan pelajar memegang sepanduk sambil menyaksikan video tunjuk perasaan di Hong Kong. 

Sementara itu, di Hong Kong penunjuk perasaan berazam akan mula bertindak lebih berani dengan memenuhi bangunan kerajaan tindakan yang dibimbangi mengakibatkan kekacauan jika Leung tidak meletakkan jawatan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Ibadah haji bermula


Mereka mula menuju ke lembah Mina itu sejurus selepas menunaikan solat Isyak, kelmarin. Kebanyakannya berlepas menaiki bas yang disediakan ejen masing-masing sementara ada yang memilih untuk berjalan kaki.

Bandar Khemah, gelaran yang diberikan untuk Mina sudah bersedia menyambut tetamu Allah itu.
Sepanjang semalam ia bergema dengan talbiah jemaah yang turut melakukan persiapan terakhir untuk wukuf di padang Arafah hari ini, menandakan kemuncak haji.

Emir Makkah yang juga Pengerus Jawatankuasa Pusat Haji, Putera Mishal Bin Abdullah berkata fasa pertama operasi rukun Islam kelima itu berjalan lancar dan memuaskan.

“Kami melihat petanda positif musim haji kali ini akan berlalu dengan aman tanpa banyak kesukaran perlu dilalui jemaah.
Foto
Mina sudah siap untuk terima tetamu Allah.
“Semua pihak berkuasa terbabit berjaya menyelesaikan tugasan masing-masing untuk memastikan tetamu Allah mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang menjalani ibadah,” katanya.

Jemaah menghabiskan hari tarwiyah dengan beribadah dan berehat di dalam 45,000 khemah kalis api serta tempat penginapan lain yang disediakan sebelum berlepas ke Arafah selepas solat Subuh.
Sementara itu, Jabatan Pasport Saudi berkata, ia menyiapkan prosedur kemasukan 1,386,905 jemaah haji setakat Selasa lalu.

Jumlah jemaah yang datang menaiki kapal terbang seramai 1,313,926 manakala melalui jalan darat dan laut masing-masing 58,984 serta 13,995.

Kerajaan Arab Saudi melaksanakan langkah keselamatan dan kawalan teliti untuk memastikan jemaah dari lebih 160 negara dapat melaksanakan ibadah haji dengan lancar.

Setakat ini, 145,354 orang yang tiada permit haji dihalang memasuki kawasan Haram, menurut statistik terbaru diumumkan Agensi Keselamatan Awam, Rabu lalu.

Selain itu, laporan berkenaan menyebut 51,112 kenderaan turut dilarang memasuki tempat suci manakala 85 kenderaan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

Pondok pemeriksaan di sekitar Makkah turut dilengkapi teknologi terkini untuk mendaftarkan nama pesalah yang seterusnya dihantar kepada pihak berkuasa untuk membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka.

Pada masa sama, kira-kira 40 pejabat perkhidmatan haji palsu diserbu dan diambil tindakan.

Jawatankuasa Direktorat Pasport mengeluarkan 67 denda terhadap 52 penduduk tempatan dan 15 pekerja asing kerana melanggar peraturan haji.

Jumlah keseluruhan denda terhadap kumpulan berkenaan menjangkau SR3 juta (RM2.6 juta).

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Kesihatan Dr Adel Fakieh berkata, tiada penyakit berjangkit atau wabak dilaporkan dalam kalangan jemaah setakat ini, malah secara keseluruhannya kesihatan mereka dilapor baik.

Selain itu, jemaah yang dimasukkan ke hospital di Makkah, Madinah serta Jeddah akan dibawa ke Arafah untuk berwukuf dengan bas dan ambulans. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03