Friday, October 3, 2014

Boeing pasang unit paparan baharu di kokpit pesawat 737 dan 777

WASHINGTON: Wi-Fi satelit yang membolehkan penumpang menggunakan internet dalam penerbangan mungkin boleh mengganggu paparan pada skrin komputer juruterbang di kokpit dan ini membahayakan penerbangan ketika hendak mendarat atau berlepas.
Justeru bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) semalam mengeluarkan arahan supaya semua pesawat Boeing 737 dan 777 di Amerika Syarikat menukar unit paparan juruterbang itu kepada unit paparan elektronik baharu.
Dalam satu arahan kelayakan penerbangan yang diterbitkan semalam, FAA berkata pemasangan itu membabitkan 1,149 model lama pesawat 737 dan 177 unit pesawat 777 di Amerika Syarikat saja.
Agensi berkenaan berkata setiap pemasangan dianggarkan menelan belanja AS$10,000 (RM32,000), yang mengambil masa lima tahun untuk dipasangkan sepenuhnya.
"Kami mengeluarkan (arahan ini) bagi mengelakkan kehilangan maklumat penting dalam penerbangan yang dapat dilihat oleh anggota kru ketika saat kritikal dalam penerbangan, seperti menghampiri lapangan terbang atau ketika berlepas," katanya.
Tambahnya, keadaan seumpama boleh mengakibatkan pesawat hilang kawalan pada ketinggian yang sukar untuk dipulihkan, atau kemalangan yang tidak boleh dikawal oleh juruterbang (CFIT).
Unit paparan itu adalah skrin komputer yang memberi juruterbang maklumat di dalam pesawat, seperti ketinggian, kelajuan di udara, arah tuju kompas dan ketinggian pesawat secara perbandingan dengan horizon atau kaki langit.
Arahan kelayakan penerbangan itu didorong oleh kebimbangan bahawa isyarat Wi-Fi mungkin mengganggu unit paparan itu, menyebabkannya menjadi kosong.
Lebih banyak pesawat komersial kini dipasang dengan Wi-Fi satelit bagi membolehkan penumpang menggunakan internet pada ketinggian 10,000 meter atau 35,000 kaki. - AFP

No comments:

Post a Comment