Mohd Azmi Abdul Hamid |
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan perlu melihat isu kebocoran soalan peperiksaan dari perspektif lebih luas dalam konteks sistem pendidikan negara.
"Pembaikan memperbetulkan dan menilai semula sistem pendidikan negara perlu dilakukan jika benar negara mahu dibangunkan mengikut acuan sendiri," katanya.
Menurutnya, pendidikan berorientasikan peperiksaan menghasilkan suasana komersialisasi pendidikan seawal pendidikan asas kanak-kanak.
"Pusat tuisyen menjadi-jadi dengan janji manis yang pelbagai. Kelas tambahan dan kem teknik menjawab peperiksaan menjadi perniagaan.
"Sehinggalah soalan bocor berkemungkinan menjadi perniagaan kontemporari selepas melihat suasana ingin gred A yang berleluasa bukan sahaja dalam kalangan guru yang memiliki petunjuk prestasi utama (KPI) tersendiri, malah ibu bapa dan anak-anak yang ingin sama tinggi dan sama rendah dengan rakan-rakan lain," katanya.
Menurutnya, tidak mustahil jika dikatakan ada pihak yang menangguk di air keruh untuk menjadikan soalan peperiksaan bocor sebagai perniagaan mereka.
Mohd Azmi berkata, ini kerana sindrom mengejar gred A itu mengakibatkan pelajar dan guru ghairah dengan amalan mencari soalan ramalan peperiksaan bagi memungkinkan pelajar mudah menjawab.
Menurutnya, banyak pusat tuisyen melonjak popular apabila mampu membekal soalan ramalan yang hampir tepat untuk diberi latihan tubi kepada pelajar.
"Isunya di sini, Kementerian Pendidikan digesa meneliti punca gejala membocorkan kertas peperiksaan. Analisis punca dan kesannya adalah antara alat yang boleh digunakan kementerian untuk meneliti penyebabnya," katanya.
Kelmarin, seramai 472,853 murid tahun enam menduduki kertas ulangan Bahasa Inggeris dan Sains. Tarikh baharu bagi ujian Matematik dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober.
Keempat-empat kertas itu sebelum ini, disahkan bocor oleh Lembaga Peperiksaan.
No comments:
Post a Comment