Mereka mula menuju ke lembah Mina itu sejurus selepas menunaikan solat Isyak, kelmarin. Kebanyakannya berlepas menaiki bas yang disediakan ejen masing-masing sementara ada yang memilih untuk berjalan kaki.
Bandar Khemah, gelaran yang diberikan untuk Mina sudah bersedia menyambut tetamu Allah itu.
Sepanjang semalam ia bergema dengan talbiah jemaah yang turut melakukan persiapan terakhir untuk wukuf di padang Arafah hari ini, menandakan kemuncak haji.
Emir Makkah yang juga Pengerus Jawatankuasa Pusat Haji, Putera Mishal Bin Abdullah berkata fasa pertama operasi rukun Islam kelima itu berjalan lancar dan memuaskan.
“Kami melihat petanda positif musim haji kali ini akan berlalu dengan aman tanpa banyak kesukaran perlu dilalui jemaah.
Mina sudah siap untuk terima tetamu Allah.
“Semua pihak berkuasa terbabit berjaya menyelesaikan tugasan masing-masing untuk memastikan tetamu Allah mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang menjalani ibadah,” katanya.
Jemaah menghabiskan hari tarwiyah dengan beribadah dan berehat di dalam 45,000 khemah kalis api serta tempat penginapan lain yang disediakan sebelum berlepas ke Arafah selepas solat Subuh.
Sementara itu, Jabatan Pasport Saudi berkata, ia menyiapkan prosedur kemasukan 1,386,905 jemaah haji setakat Selasa lalu.
Jumlah jemaah yang datang menaiki kapal terbang seramai 1,313,926 manakala melalui jalan darat dan laut masing-masing 58,984 serta 13,995.
Kerajaan Arab Saudi melaksanakan langkah keselamatan dan kawalan teliti untuk memastikan jemaah dari lebih 160 negara dapat melaksanakan ibadah haji dengan lancar.
Setakat ini, 145,354 orang yang tiada permit haji dihalang memasuki kawasan Haram, menurut statistik terbaru diumumkan Agensi Keselamatan Awam, Rabu lalu.
Selain itu, laporan berkenaan menyebut 51,112 kenderaan turut dilarang memasuki tempat suci manakala 85 kenderaan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
Pondok pemeriksaan di sekitar Makkah turut dilengkapi teknologi terkini untuk mendaftarkan nama pesalah yang seterusnya dihantar kepada pihak berkuasa untuk membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka.
Pada masa sama, kira-kira 40 pejabat perkhidmatan haji palsu diserbu dan diambil tindakan.
Jawatankuasa Direktorat Pasport mengeluarkan 67 denda terhadap 52 penduduk tempatan dan 15 pekerja asing kerana melanggar peraturan haji.
Jumlah keseluruhan denda terhadap kumpulan berkenaan menjangkau SR3 juta (RM2.6 juta).
Dalam pada itu, Pemangku Menteri Kesihatan Dr Adel Fakieh berkata, tiada penyakit berjangkit atau wabak dilaporkan dalam kalangan jemaah setakat ini, malah secara keseluruhannya kesihatan mereka dilapor baik.
Selain itu, jemaah yang dimasukkan ke hospital di Makkah, Madinah serta Jeddah akan dibawa ke Arafah untuk berwukuf dengan bas dan ambulans. - Agensi
No comments:
Post a Comment