KUALA LUMPUR: Felo Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Mohd Hafiz Jamaludin mempersoalkan tindakan mengejut kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 seliter dengan ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di negara ini.
Jelasnya pada program Bicara Harakah 'Bajet 2015: Cabaran Rakyat' tindakan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa walaupun daripada Petronas.
"Kita tidak tahu kenapa kenaikan harga minyak kali ini dilakukan dengan ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Ini persoalan menarik dan bukan setakat itu sahaja, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya walaupun dari Petronas itu sendiri," jelasnya pada parogram yang berlangsung di MyHarakah Bazaar petang tadi.
Beliau berkata, dengan bajet yang akan dibentangkan pada 10 Oktober nanti rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga minyak tetapi dibebani dengan kenaikan berantai.
"Rakyat perlu bersedia dengan kenaikan berantai, kita menjangkakan akan ada penarikan subsidi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan lain.
"Kerajaan perlu memgambil pendekatan baru dalam membuat struktur baru bagi mencari penyelesaian dalam meringankan beban rakyat," jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan langkah terbaik, sepatutnya kerajaan perlu memperkasakan sumber baru termasuk sumber pendapatan terdahulu.
"Dulu kita megah dalam pertanian dan mineral kenapa ini tidak diperkasakan semula, ia seolah-olah dilupakan begitu sahaja.
"Sektor ini tidak diutamakan dan kita tidak tahu ap dasar yang digunakan kerajaan dalam merealisasi sumber pendapatan negara.
"Kita perlu melakukan perubahan baru dengan membuat struktur melalui sumber terdahulu dan yang akan datang," sambung beliau.
Menurutnya, kegagalan kerajaan meneliti dan hanya tertumpu kepada pelaksanaan GST menyebabkan rakyat terutama golongan miskin bandar terus dihimpit dengan bebanan dalam meneruskan kehidupan. -HARAKAHDAILY 2/10/2014
No comments:
Post a Comment