Thursday, March 26, 2015

"Dengar Dahulu" - Hadi


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 1:06 PM
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Selepas tidak diiktiraf dan dihina oleh parti sekutunya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya tampil menjelaskan kontoversi berhubung pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 di Kelantan.
Bagaimanapun, penjelasan presiden PAS itu dilihat bakal menimbulkan pertikaian baharu apabila menyatakan bahawa rang undang-undang (RUU) persendirian yang akan dikemukakannya di Dewan Rakyat bukanlah rang undang-undang hudud.
“Apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi  Private Members Bill  (RUU persendirian) nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
"Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian menerusi surat terbuka kepada umat Islam dengan tajuk ‘isu hudud yang dikelirukan’ di sini.
Pada Selasa lalu, DAP menuduh Hadi bersikap tidak bermaruah apabila menjalinkan kerjasama dengan Umno untuk melanggari kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menggesa supaya Hadi meninggalkan Pakatan Rakyat jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Dewan Rakyat.
Lebih parah apabila DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi namun pada masa sama mahu meneruskan komitmen mereka dalam pakatan pembangkang.
Menerusi surat terbuka itu lagi, Hadi berkata kandungan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu sudah mengambil kira beberapa cabaran utama.
"Enakmen ini mengalami beberapa pindaan dari segi memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman,” katanya.

Muat 1.6 juta jemaah


Madinah: Lebih 5,000 pekerja, jurutera dan juruteknik kini bekerja bergilir-gilir 24 jam sehari bagi menyiapkan projek pembesaran Masjid Nabawi di sini.

Menurut sumber terdekat dengan projek berkenaan lebih 95 peratus kerja meroboh sudah selesai.

Kerja meroboh itu juga membabitkan 10 hotel di timur masjid kedua paling suci itu dan beberapa rumah serta kemudahan asas lain yang diruntuhkan bagi menyediakan ruang untuk projek besar-besaran itu.

Pengarah Perhubungan Awam Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdul Wahid Ali Al-Hattab berkata fasa pertama pembesaran Masjid Nabawi mampu menampung 800,000 jemaah, manakala dua lagi fasa di plaza timur dan barat mampu memuatkan jumlah yang sama.



“Apabila kerja pembesaran siap, masjid itu mampu menampung 1.6 juta jemaah,” katanya.

Menurut Abdul Wahid, kawasan dalam masjid itu kini hanya mampu menampung 146,000 jemaah sementara keseluruhan kompleks masjid berkenaan hanya dapat memuatkan 600,000 orang.

“Pada waktu puncak, jumlah jemaah boleh mencecah sejuta orang,” katanya.

Pengarah Kementerian Haji cawangan Madinah, Mohammed Al Bijawi pula berkata kerja menaik taraf Masjid Nabawi tidak menjejaskan kedatangan umat Islam untuk menziarah masjid berkenaan memandangkan langkah jeselamatan sudah diambil dan penginapan alternatif disediakan.

Menurut Mohammed, penangguhan kerja merobohkan 26 hotel membantu menampung peningkatan bilangan pengunjung di Madinah sejak musim umrah bermula 23 November tahun lalu.

Katanya, perkhidmatan bersepadu disediakan untuk tetamu Allah itu sepanjang musim umrah dan akan berterusan sehingga hujung Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:11 AM

GAMBAR menunjukkan kerja meroboh dan merata tanah giat dijalankan berhampiran Masjid Nabawi, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39102#sthash.ihpLJj0U.dpuf

Tentera kanak-kanak diselamatkan di Sudan


SEBAHAGIAN kanak-kanak yang dijadikan tentera kerahan di Sudan. - AGENSI


JUBA, Sudan Selatan – Lebih 250 orang tentera kanak-kanak, termasuk empat gadis dengan seorang daripadanya berusia sembilan tahun telah dibebaskan oleh kumpulan bersenjata, The Cobra Faction di negara ini.
Pembebasan itu dibuat di kampung Lekuangole di pedalaman negeri Jonglei manakala 400 orang lagi akan dibebaskan dalam beberapa hari akan datang.
Ini merupakan pembebasan kanak-kanak kali ketiga selepas perjanjian damai antara kumpulan tersebut dengan kerajaan Sudan Selatan.
Suruhanjaya Perlucutan Senjata, Menghentikan Kerahan dan Mengintegrasi Semula Kebangsaan (NDDRC) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang bekerjasama untuk menjaga kanak-kanak tersebut dan mengintegrasi semula mereka ke dalam masyarakat.
The Cobra Faction telah memaklumkan UNICEF bahawa mereka mempunyai sehingga 3,000 orang tentera kanak-kanak dalam kumpulan tersebut.
Dalam satu majlis rasmi di kampung Lekuangole, kanak-kanak itu dihentikan kerahan oleh NDDRC yang menggantikan uniform dan senjata mereka dengan pakaian awam.
UNICEF kemudian mengambil tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak berkenaan di sebuah pusat jagaan peralihan di kampung tersebut dengan menyediakan makanan, perlindungan dan kemudahan perubatan sebelum menjejak kembali ahli keluarga kanak-kanak tersebut.
Pembebasan itu merupakan yang terbesar setakat ini dengan 654 kanak-kanak telah didaftarkan oleh UNICEF dan NDDRC.
Wakil UNICEF di negara ini, Jonathan Veitch menjelaskan, pembebasan kali ini menjadikan jumlah tentera kanak-kanak yang dihentikan kerahan kepada 1,314 orang. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VJvi5rCN 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan kereta mewah ditinggalkan di Dubai setiap tahun



SISTEM perundangan yang tidak memberi perlindungan muflis kepada pemilik menyebabkan banyak kenderaan mewah ditinggalkan begitu sahaja.


DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu – Bandar raya ini menjadi lubuk individu tertentu meninggalkan kereta mewah mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.
Lebih 3,000 kereta mewah ditemui pihak berkuasa setiap tahun di pelbagai lokasi termasuk kawasan letak kenderaan lapangan terbang dan pusat beli-belah yang ditinggalkan sama ada oleh warga asing mahupun orang tempatan.
Kebiasaannya jika pemilik gagal muncul dalam tempoh 15 hari, maka kereta tersebut akan dilelong pada harga yang sangat murah.
Jurucakap polis memberitahu, gejala meninggalkan kereta mewah di Dubai semakin teruk dan kebanyakan kenderaan tersebut tidak pernah dituntut semula oleh tuannya.
“Keadaan itu mungkin disebabkan sistem perundangan di negara ini yang tidak memberi perlindungan muflis kepada pemilik kenderaan berkenaan selain mereka akan dipenjara jika gagal membayar hutang,” katanya.
Antara kereta mewah yang kerap ditemui ialah jenis Ferrari, Mercedes dan Porsche. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3VJvX2tIh 
Hakcipta terpelihara 

AS perlahankan pengunduran tentera dari Afghanistan



SEBILANGAN kadet pegawai tentera Afghanistan menghadiri upacara pentauliahan mereka di Akademi Tentera Kebangsaan di Kabul pada 18 Mac lalu.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin meluluskan permintaan Afghanistan untuk memperlahankan pengunduran tentera AS dari negara itu.
Obama berkata, beliau akan mengekalkan tentera AS di Afghanistan seramai 9,800 orang sepanjang tahun ini tetapi kekal komited untuk berundur sepenuhnya dari negara berkenaan menjelang 2017.
Semasa memberi layanan istimewa kepada Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di White House di sini Obama berkata, kekuatan tentera AS sedia ada akan dikekalkan bagi melatih dan membantu askar Afghanistan.
Tentera Afghanistan mula mengambil alih tugas memerangi kumpulan Taliban dan militan Islam lain pada awal tahun ini.
Menurut Obama, kadar pengunduran askar AS pada 2016 akan ditentukan lewat tahun ini. Washington mahu mengumpulkan saki-baki tenteranya di Kedutaan AS di Kabul pada hujung 2016.
Di bawah pelan sebelum ini, tentera AS perlu dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada hampir 10,000 orang menjelang hujung 2015 tetapi beberapa pegawai berkata, hubungan baik dengan Afghanistan membolehkan rancangan itu disemak semula.
“Saya melakukan penilaian sebagai ketua komander tentera AS bahawa adalah munasabah untuk kami melanjutkan tempoh pengunduran askar selama beberapa bulan lagi bagi memberi bantuan dalam beberapa perkara seperti logistik,” kata Obama pada satu sidang akhbar bersama dengan Ghani di White House. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3VJuz6OjQ 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, March 25, 2015

DAP beri Hadi kata dua, hudud atau PR?


Abdul Hadi Awang
Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa keluar PR sekiranya masih mahu meneruskan  pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud di sidang Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ditemui media di lobi Dewan Rakyat berkata, Abdul Hadi tidak seharusnya membentang RUU berkaitan hudud atas kapasitinya sebagai pemimpin pakatan pembangkang kerana ia diluar perbincangan pihak Pas dan PR.

"Jika Hadi terus nak bentangkan usul tersebut (hudud), lebih baik dia tinggalkan Pakatan Rakyat, dia tentu berhak sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu turut mengumumkan pendiriannya untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi.

"Saya kesal dengan tindakan tidak jujur dia (Abdul Hadi).

"Hadi telah mengkhianati serta memungkiri janji yang dibuat kepada PR. Oleh itu dia harus keluar dari Pakatan," tegasnya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng: DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi ]

'Siapa nak keluar, dialah keluar!'


Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – ‘Siapa nak keluar Pakatan, dialah (yang patut) keluar!’ demikian reaksi Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana hudud.

Nik Abduh berkata, pihaknya tidak akan sesekali keluar dari PR kerana parti tersebut sentiasa berpegang kepada perikatan tersebut.

"Sebelum ini, Pas sudah berkali-kali tegaskan bahawa parti ini tidak akan tinggalkan PR kerana kami cintakan negara dan perikatan ini.

"Kami tak akan keluar. Seperti yang kita nyatakan sebelum ini, Pas tidak akan tinggalkan pakatan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP beri Hadi kata dua, hudud atau PR?]

Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa Abdul Hadi supaya keluar dari PR sekiranya bertegas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Guan Eng mendakwa Abdul Hadi mungkir janji terhadap PR dan beliau turut mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas itu.

Nik Abduh berkata, DAP seharusnya tidak menjadikan hudud alasan untuk PR berpecah kerana hudud tidak zalim.

"Saya sudah sebut kepada pimpinan DAP, jangan jadikan hudud sebagai alasan untuk PR berpecah.

"DAP sekarang sedang menipu rakyat negara ini untuk menolak Pas dengan cara yang tidak betul; iaitu dengan menggunakan hudud. Hudud ini seperti yang kita tahu, bersifat tidak zalim. Kalau hudud ini zalim bolehlah kita berpecah," katanya.

DAP putus dengan Pas bukan Presiden sahaja


Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
KUALA LUMPUR - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti memutuskan hubungan baik yang terjalin dengan Pas selama ini.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, presiden adalah pimpinan utama parti dan tindakan menggesa Abdul Hadi keluar PR akan melemahkan Pas dalam PR.

"Abdul Hadi adalah Presiden kepada semua ahli Pas. Pemuda Pas adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli Pas.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden kami. Kami Pemuda Pas mahu Pas kuat bersama PR. Bagaimana Pas boleh kuat bersama PR tanpa Presiden kami? Memutuskan hubungan dengan Presiden Pas adalah umpama memutuskan hubungan dengan Pas," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Putus dengan bapa, kawan dengan anak]

Guan Eng hari ini mengumumkan  memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi ekoran kedegilan Abdul Hadi salam meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Suhaizan berkata, beliau lebih selesa memilih langkah optimis dalam mencari penyelesaian kemelut dua parti ini.

"Sebesar mana pun masalah pasti ada penyelesaiannya. Mari kita lihat masa depan Pakatan Rakyat yang cerah. Mari kita mencari titik temu bagi menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda Pas sangat optimis bahawa adanya jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Berdamailah. Kerana rakyat Malaysia mahu kita semua berdamai," katanya.

Tuesday, March 24, 2015

"Saya Tak Pernah Dapat Satu Sen Pun" - Sumpah Ahmad Zahid


Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 6:04 PM
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa dikejutkan dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersumpah bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang habuan daripada pakar judi, Paul Phua Wei Seng.
Malahan, beliau juga menegaskan tidak pernah menerima "walau sesen" daripada individu berkenaan selepas menulis surat pelepasan statusnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
“Sebagai seorang Islam, wallahi wabillahi wattallahi saya tak pernah mendapat kepentingan satu sen pun daripada penjudi berkenaan. Malah saya tak pernah bersengkogkol dengan orang itu.
“Saya tak pernah terima sebarang duit haram, saya tak pernah buat begitu,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat di sini.
Isu berhubung surat pelepasan status Paul Phua yang ditulis Ahmad Zahid atas kapasitinya sebagai menteri kepada FBI menjadi topik perbahasan hangat di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat pembangkang.
Antaranya, mereka mempersoalkan keperluan surat berkenaan malah mendakwa Ahmad Zahid mempunyai kepentingan tertentu dalam kes tersebut.
Ketika ucapannya, Ahmad Zahid turut mengakui menulis surat kepada FBI yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.
Tegasnya surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano pada 18 Disember tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.
Tambah Ahmad Zahid lagi, tindakannya menulis surat kepada FBI dibuat secara profesional berdasarkan perjanjian antara Malaysia dengan negara luar, khususnya berkaitan isu perkongsian maklumat keselamatan.
"KDN dari masa ke masa sentiasa menerima permohonan pelbagai agensi kerajaan asing untuk membuat semakan atau tapisan ke atas rakyat negara ini berhubung isu keselamatan.
“Sehubungn itu saya mohon perkara ini tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Surat tersebut dibuat secara profesional dan berdasarkan hasil siasatan polis.
“Saya juga menegaskan bahawa pada bila-bila masa pun saya tak pernah mempunyai hubungan dengan Paul Phua...malah tidak pernah mengenali beliau,” katanya.
Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.
Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.
Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Ahmad Zahid mengeluarkan surat kepada Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota kongsi gelap itu, malah ia juga tidak wujud di Malaysia. 

Orang islam yang tak peduli tentang hukum islam....

Bincang Hudud Tindakan Bodoh - Nazri Aziz

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 8:38 AM
Datuk Seri Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Bodoh dan tiada guna. Itu adalah reaksi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz ketika ditanya mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan yang sedang hangat dibincangkan.

"Saya tidak peduli jika pandangan saya boleh diguna pakai terhadap kedua-dua belah parti yang mempunyai jurang politik.

"Bagi saya, ia tidak pernah menjadi isu," katanya kepada The Star Online.

Beliau mengulas langkah Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengemukakan notis kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

Memetik prosedur dan Perlembagaan sebagai cabaran, Nazri berkata langkah itu adalah 'usaha sia-sia' yang disedari sepenuhnya oleh PAS.

Beliau berkata sebarang pindaan kepada Perlembagaan untuk membolehkan pelaksanaan hudud memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Nazri, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang berkata PAS tidak boleh menyatakan dengan pasti bahawa mereka akan mendapat sokongan semua ahli parlimen Islam.

"Mereka (PAS) masih memerlukan sokongan majoriti dua pertiga (148) di Parlimen," katanya.

Terdapat 222 kerusi di Parlimen yang mana 149 daripadanya dipegang oleh ahli Parlimen beragama Islam, termasuk dua daripada DAP dan 14 dari PKR. Barisan Nasional mempunyai 133 ahli Parlimen dan Pakatan Rakyat 89.

Nazri berkata rang undang-undang itu tidak mungkin dapat dibincangkan memandangkan aturan urusan kerajaaan belum selesai dan tidak akan ada masa untuk ia dibincangkan.

 "Mereka bertindak bodoh. Umno tahu mengenainya beberapa tahun yang lalu dan sebab itu kami tidak meneruskannya," katanya.

Nazri menegur PAS yang menggunakan hudud untuk muslihat politik bagi mendapatkan semula sokongan yang hilang dari akar umbi selepas pilihan raya umum lepas.

"Mereka sedar bahawa ia tidak mungkin tetapi masih juga melakukannya.

"Ini semua satu wayang kulit dan Sandiwara untuk memenangi semula sokongan terhadap mereka (PAS) yang hilang," katanya sambil menambah PAS perlu bergerak dan memberi tumpuan kepada membantu rakyat dan membangunkan negara.

DAP Bersama Pakatan Rakyat, Tolak Hadi


Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 11:26 AM
Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: DAP memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat, tetapi akan menamatkan hubungan dan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa bertindak tidak jujur dan tidak bermaruah dalam pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan menghentikan sebarang kerjasama dengan beliaU.
"Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam Pakatan Rakyat, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.
"DAP akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan, keputusan kekal bersama Pakatan Rakyat kerana ia gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia untuk membina Malaysia baharu.
"DAP menolak  pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama.
"Justeru, semua 37 ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Hadi," katanya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP juga kesal atas tindakan Hadi yang didakwa bekerjasama dengan Umno untuk melanggari semangat konsensus serta dasar bersama yang meletakkan Pakatan Rakyat dalam bahaya. 
"Pengkhianatan Hadi terhadap keputusan bersama yang dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat atas pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Kegagalan Hadi untuk menepati kata-kata sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari 2015 bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 akan dibincangkan pada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada masa depan," katanya.

Beliau menegaskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Hadi pada 18 Mac 2015 tanpa terlebih dahulu membentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Umno telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan kerajaan Persekutuan.

"Justeru, DAP menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melengahkan masa dan membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan, serta menjelaskan peranan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Umno Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud," dakwa Lim.

Menurutnya, Najib harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan oleh Hadi.

Wanita Menyamar Lelaki Lebih 40 Tahun Terima Anugerah


Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 11:02 AM
Sisa ketika menerima anugerah daripada al-Sisi baru-baru ini.

KAHERAH: Akibat desakan hidup, seorang wanita terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menyara keluarganya sejak kematian suaminya lebih 40 tahun lalu.
Kegigihan wanita Mesir ini mendapat perhatian Presiden negara itu, Abdel Fattah al-Sisi sehingga bersetuju untuk menyampaikan penghargaan kepada Sisa Gaber Abu Douh.
Wanita berusia 65 tahun itu kini digelar ibu paling tabah di bandar kelahirannya di Luxor.
Malahan, pengorbanannya melayakkan beliau menerima anugerah daripada Kementerian Perpaduan Sosial sempena sambutan Hari Ibu di negara-negara Timur Tengah, minggu lalu.
Kata Sisa, dia terpaksa menyamar sebagai lelaki kerana mahu mengelakkan persepsi buruk masyarakat terhadap golongan wanita yang terpaksa bekerja untuk menyara keluarganya.
"Saya lebih rela menggunakan tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi daripada mengemis di jalanan," kata wanita ini yang pernah bekerja sebagai buruh, pengilat kasut dan petani.
Ketabahan dan kesabaran Sisa diketahui selepas menerima anugerh berkenaan dan mendapat liputan meluas media tempatan.

Zunar dakwa karya dirosakkan


Zunar dakwa karya dirosakkan
Zunar ketika melihat lukisannya. - Foto ihsan Zunar
SHAH ALAM – Kartunis politik Zulkifli Anwar Ulhaque atau dikenali sebagai Zunar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas dakwaan gagal menjaga dan mengendalikan lukisan asli miliknya dalam satu rampasan pada tahun 2010.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Zunar mendakwa, terdapat banyak kerosakan dan ‘kecacatan’ pada lukisan aslinya.

“Ditemani oleh peguam, Michelle Yesudas, saya menerima kedua-dua bahan karya tersebut di Balai Polis Salak Tinggi pada hari Jumaat 20 Mac yang lalu.

"Bagaimanapun, untuk satu lagi karya Cartoon-O-Phobia, saya berpuas hati memandangkan buku-buku tersebut masih dalam keadaan baik.

"Lukisan tersebut telah dilipat dan menyebabkan ia rosak teruk. Saya ingin menegaskan di sini bahawa lukisan tersebut adalah asli dan dengan itu sewajarnya dikendali dan urus dengan hormat. Memandangkan ianya di bawah jagaan polis, mereka harus bertanggung jawab kerana merosakkannya,” katanya.

Pada Julai 2012, Zunar telah menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya pada 2010.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kartunis Zunar menang kes saman kerajaan]

Sementara itu, jelas Zunar lagi, beliau tidak akan bertolak ansur dalam hal ini.

"Saya telah mengarahkan peguam untuk mengambil langkah perundangan yang perlu terhadap pihak polis kerana gagal menjaga keaslian lukisan saya,” tegasnya.

Sultan Ibrahim dimahkota sebagai Sultan kelima Johor moden

ISNIN, 23 MAC 2015 @ 10:42 AM

 
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi ini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia.

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri 'Diadem' di kepala Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi tabit hormat sebelum menuruni Tangga Agong berangkat menaiki kenderaan rasmi untuk berarak di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar bagi bertemu rakyat. - Foto Aizuddin Saad

MUFTI Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin meletakkan Mahkota Kerajaan di atas kepala Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Sultan Johor kelima sambil diperhatikan Pemaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru hari ini. - Foto Ihsan Kerajaan Negeri Johor

Penyampai stesen radio BFM mohon maaf persenda hudud


KUALA LUMPUR: Penyampai stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin, hari ini memohon maaf atas nada dan cara penyampaiannya dalam satu klip video yang mempersenda pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah atau hudud di Kelantan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Aisyah berkata, kini beliau sedar video yang memaparkan beliau sebagai penyampai itu telah menimbulkan kemarahan kepada ramai pihak.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf bagi nada dan cara penyampaian saya di dalam video itu. Saya tiada niat untuk mengherdik. Saya tiada niat untuk menghina.
"Namun kini saya sedar bahawa ianya telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf," katanya dalam kenyataan itu.
Beliau menjelaskan, sejak video itu di muat naik dalam laman sosial dan menjadi viral, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah diterimanya, termasuk keluarga serta teman sekerja.
"Ianya sangat mendukacitakan. Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini adalah pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu.
"Namun, saya juga mendapat dokongan dan sokongan dari pelbagai pihak termasuk rakan dan insan yang tidak saya kenali. Untuk itu, saya sangat bersyukur," katanya.
Turut dijelaskan Aisyah, tindakan dilakukan itu tidak sama sekali berniat menghina atau mengutuk mana-mana agama apatah lagi agamanya sendiri.
Bagaimanapun, beliau turut menyatakan bahawa liputan media berkenaan insiden klip video itu sebelum ini telah mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan.
"Objektif video itu adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan PAS Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam," katanya.

Phahrolrazi lepas jawatan dalam Pas


KUALA LUMPUR 21 Mac – Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Phahrolrazi Zawawi percaya keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah membolehkan beliau bergerak aktif tanpa sebarang sekatan oleh parti.
Phahrolrazi Zawawi
Beliau berkata, keputusan itu adalah selaras dengan arahan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas agar pemimpin parti tidak melibatkan diri dengan Pasma.
“Saya menghormati arahan itu. Kalau tidak, nampak macam saya tidak dengar arahan pula,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Phahrolrazi menolak pencalonan untuk mengekalkan beliau sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah namun masih mengekalkan keahlian dalam parti.
Jawatan tersebut diisi oleh Datuk Amiruddin Hamzah setelah beliau menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Kuala Kedah, semalam.
Jelas Phahrolrazi, Pasma akan memberi tumpuan untuk meredakan ketegangan dalam pakatan pembangkang ekoran perbalahan tentang isu hudud.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/phahrolrazi-lepas-jawatan-dalam-pas-1.72120#sthash.cFo114XH.dpuf

Hudud: PKR ikut DAP


Pas bersendirian tanpa restu pembangkang


KUALA LUMPUR 21 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memu­­tuskan untuk mengikut langkah DAP apabila tidak menyokong hasrat Pas membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Parlimen.
Wan Azizah

  Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya dekat sini malam tadi yang diadakan bagi membincangkan secara khusus tentang rang undang-undang persendirian tersebut.
  Menurut PKR, parti itu tidak dimaklumkan tentang kandungan rang undang-undang persendirian berkenaan kerana ia dicadangkan secara sebelah pihak tanpa pemberitahuan kepada parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
 PKR turut menyifatkan tindakan tersebut bercanggah dengan keputusan mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Februari lalu.
  “Sekiranya rang undang-undang persendirian tersebut berkaitan dengan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), PKR tetap dengan pendirian asal iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip fiqh al-awlawiyyat, maslahat ummah dan maqasid syariah,” kata parti itu dalam kenyataan melalui laman Facebook milik Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
 Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Wan Azizah dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Shamsul Iskandar Md. Akin, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.
  Difahamkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang persendirian tersebut kepada Parlimen Rabu lalu.
  Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara sebulat suara kelmarin melibatkan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas, 12 ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  Walau bagaimanapun, PKR seolah-olah cuba mengalihkan kontroversi yang bakal timbul ekoran keputusan tersebut dengan menyatakan Peraturan Tetap Dewan Rak­yat menetapkan bahawa sebarang rang undang-undang hanya akan dibahaskan dengan restu kerajaan.
  Parti itu menambah, setakat ini, tiada pemimpin tertinggi UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang membuat kenyataan berhubung pendirian mereka terhadap rang undang-undang persendirian ter­babit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hudud-pkr-ikut-dap-1.72118#sthash.QnL3W4UQ.dpuf

Ambil tindakan persenda hudud


Jamil KHIR BAHAROM merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah
JAMIL KHIR BAHAROM merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MAIWP tahun 2014 oleh kakitangan dan yayasan MAIWP di Masjid Wilayah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR 23 Mac – Jabatan agama Islam di setiap negeri diminta peka dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mempersendakan hukum hudud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihak berkuasa agama negeri mempunyai peruntukan kuasa undang-undang bagi memelihara kesucian Islam.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terletak di bawah Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa itu, sebaliknya jabatan itu hanya sebagai penyelaras bagi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.
“Jakim tidak ada kuasa dalam isu itu kerana kuasa undang-undang terdapat dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Apabila orang tanya tentang apakah tindakan Jakim, ramai yang salah faham.
“Jakim cuma sebagai penyelaras dan dalam isu ini, saya menyeru pihak berkuasa yang terbabit beri perhatian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2014 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya.
Jamil Khir diminta mengulas isu klip video bertajuk Hudud Isi Periuk Nasi? oleh Aisyah Tajuddin dan dimuat turun radio BFM di YouTube yang mempersendakan hudud sehingga mencetuskan kecaman umat Islam baru-baru ini.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad yang ditemui dalam majlis itu berkata, pihak terbabit seperti Jakim seharusnya memanggil Aisyah dan pihak yang menerbitkan klip video tersebut.
“Mereka ini perlu dipanggil dan diberi penerangan tentang hukum hudud, mungkin mereka tidak faham tentang hukum itu. Siasatan juga kena dilakukan untuk mengetahui apakah tujuan sebenar klip video itu dihasilkan,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-tindakan-persenda-hudud-1.73127#sthash.Vs5XEq1b.dpuf