Elbaradei dalam wawancara dengan akhbar Britain, Guardian hari ini menggesa negara-negara Barat menilai semula dasar mereka terhadap Asia Barat.
"Dakwaan bahawa kejatuhan rejim autoritarian akan membolehkan Osama bin Laden dan al-Qaeda mengambil alih kuasa adalah dakwaan palsu, tetapi jika dasar-dasar sekarang diteruskan, dakwaan tersebut akan menjadi kenyataan," katanya.
Elbaradei yang mengetuai IAEA sehingga akhir tahun lepas, kini menjadi tokoh pembangkang Mesir yang paling berprofil tinggi.
Katanya, beliau melihat 'fahaman radikal semakin meningkat' di dunia Arab.
"Penduduk berasa ditindas oleh kerajaan mereka sendiri, mereka berasa dilayan secara tidak adil oleh dunia luar, mereka bangun pagi dan melihat penduduk ditembak mati, semuanya orang Islam dari Afghanistan, Iraq, Somalia, Sudan, Darfur," menurut Elbaradei.
Beliau menyifatkan dasar Barat terhadap rantau Asia Barat sebagai 'gagal sama sekali'.
"Dasar itu tidak berdasarkan dialog, kefahaman, sokongan terhadap masyarakat sivil dan usaha memperkasakan rakyat, tetapi sebaliknya berteraskan sokongan terhadap rejim autoritarian selagi bekalan minyak terus mengalir," katanya.
Elbaradei, 67, sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan Presiden Mesir pada 2011 bagi mencabar Presiden Hosni Mubarak yang memegang kuasa sejak 1981. - AFP
No comments:
Post a Comment