Lima aktivis itu termasuk ahli parti pembangkang daripada Parti Demokratik Singapura (SDP), dibebaskan pada tahun lalu atas dakwaan mengambil bahagian dalam demonstrasi pada September 2007.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menerima satu rayuan yang dibuat pendakwa awam dan mengarahkan mahkamah sama yang menjatuhkan hukuman asal sebelum ini supaya menahan kumpulan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Choo Han Teck berkata, bukti yang direkodkan mendapati semua responden mempunyai niat politik atas demonstrasi yang dinamakan 'perarakan'.
"Rayuan ini dibenarkan, sehubungan itu keputusan yang membebaskan semua responden yang dibuat sebelum ini dibatalkan," kata Han Teck dalam keputusannya.
Lima defendan itu didakwa atas kesalahan berjalan dalam kumpulan dengan memakai baju-T yang tertera perkataan 'Demokrasi Masa Kini' dan 'Kebebasan Masa Kini' dalam usaha memintas undang-undang yang melarang perhimpunan awam lebih daripada empat orang tanpa permit polis.
Tahun lalu, Singapura memperketat undang-undangnya, di mana sebarang perhimpunan politik yang dibuat di luar zon yang dinamakan Speakers' Corner, perlu mendapat permit polis tanpa mengira bilangan orang yang menyertainya.
Seorang daripada aktivis terlibat, Chee Siok Chin yang juga ahli SDP berkata, dia terkejut dengan keputusan mahkamah hari ini.
"Saya berpendapat, ia tidak memberi kesan terhadap kami, tetapi kepada badan kehakiman," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment