Friday, April 2, 2010

Kerajaan Arroyo kucar-kacir



MANILA 1 April - Kerajaan perikatan pimpinan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo (gambar) dalam keadaan kucar-kacir hari ini, tidak sampai sebulan sebelum pilihan raya kebangsaan bagi memilih Presiden baru diadakan.
Calon pilihan Arroyo untuk menggantikan beliau, Gilberto Teodoro pada minggu ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi perikatan Lakas Kampi CMD, sementara ramai pemimpin kanan yang lain berpaling tadah ke parti lain.
"Peletakan jawatan Teodoro mengejutkan saya dan berlaku tanpa sebarang rundingan dengan kami. Anggota biasa kini kebingungan kerana perkembangan ini," kata Speaker Dewan Perwakilan yang juga anggota kanan Lakas, Prospero Nograles.
Teodoro kelmarin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lakas Kampi CMD. Pasangannya sebagai calon Naib Presiden, Edu Manzano pula meletakkan jawatan sebagai naib pengerusi.
Peletakan jawatan itu berlaku selepas beberapa anggota kanan Lakas Kampi CMD bertindak keluar parti untuk menyokong pencalonan seorang pesaing utama, Senator Manny Villar.
Langkah anggota kanan parti melompat ke kem Villar mencetuskan spekulasi Arroyo dan sekutunya membelakangkan Teodoro.
Dakwaan bahawa Teodoro meletakkan jawatan disebabkan ketiadaan sokongan daripada Arroyo disiarkan oleh media Filipina hari ini.
Bagaimanapun pejabat Teodoro dalam kenyataannya menjelaskan bahawa beliau berundur sebagai pengerusi bagi menumpukan perhatian kepada kempennya untuk merebut jawatan Presiden.
Sementara itu tiga gabenor di selatan Filipina baru-baru ini mengumumkan mereka mengalihkan sokongan kepada Villar.
Tinjauan pengundi menunjukkan Teodoro jauh ketinggalan di tempat keempat dalam perebutan untuk jawatan Presiden. Villar berada di tangga kedua di belakang Benigno 'Noynoy' Aquino, anak lelaki kepada wira demokrasi yang juga bekas Presiden, Corazon Aquino. - AFP

No comments:

Post a Comment