Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, dakwaan seperti itu adalah tidak benar kerana maklumat dan statistik menunjukkan polis masih banyak menerima laporan kes jenayah.
"Ini menunjukkan orang ramai bukan sahaja mudah untuk buat laporan tetapi saya percaya ia bersandarkan kepada keyakinan bahawa setiap laporan itu akan diambil tindakan," katanya semasa menggulung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sasaran pengurangan kadar jenayah jalanan yang ditetapkan kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (PTK) berjaya mencapai prestasi awal menggalakkan apabila merekodkan penurunan 13 peratus kes jenayah Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.
Salah satu sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ialah menurunkan indeks jenayah sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010.
Terdahulu, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) mempersoalkan adakah penurunan kadar jenayah itu berpunca daripada rakyat tidak membuat laporan polis kerana tidak lagi percayakan kredibiliti polis atau memang berlaku penurunan.
Sementara itu, Tian Chua (PKR-Batu) mengucapkan terima kasih kepada menteri yang sudi menerima laporan pihaknya supaya menjalankan siasatan rapi terhadap kes seorang wanita yang ditembak polis.
Sebagai reaksi daripada kenyataan itu, Hishammuddin menegur pembangkang yang hanya menyatakan wanita itu ditembak tetapi tidak pula menyatakan kenapa dan situasi semasa kejadian itu berlaku.
"Kenapa tidak disebut oleh pembangkang di dalam Dewan bahawa wanita itu berada di dalam kereta curi, tidak disebut kereta itu dilaporkan hilang, dalam kereta itu polis jumpa parang, kapak, pisau, pemutar skru dan plat (pendaftaran kereta) palsu dan tombol kunci yang telah diubah suai," katanya.
Kata beliau, dalam usaha untuk membela seseorang, pembangkang seharusnya perlu mendedahkan fakta-fakta lain bagi membolehkan rakyat tidak terpedaya dan terpengaruh dengan persepsi negatif.
No comments:
Post a Comment