Saturday, May 29, 2010

bazir duit lagi


Bina semula Jambatan Bengkok



JOHOR BAHRU 28 Mei - Kerajaan diminta menggunakan kelebihan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Singapura untuk meneruskan semula projek pembinaan Jambatan Bengkok yang ditamatkan pada April 2006.
Ini kerana idea pembinaan jambatan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap relevan dan amat penting untuk diteruskan kerana akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa depan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad berkata, Singapura tidak perlu gusar terhadap pembinaan jambatan itu kerana iklim ekonomi kini memberi kelebihan kepada Singapura dan Malaysia untuk mendapat manfaat yang besar.
"Jika dilihat kepada ekonomi global hari ini, Eropah, Amerika Syarikat, negara-negara Asia Barat dan Asia Timur berlaku kelembapan ekonomi.
"Ini menjadikan Singapura dan Malaysia mendapat manfaat kerana kelebihan kedudukan strategik dan untuk mendapat kebaikan itu, kita menyediakan infrastruktur yang baik iaitu jambatan tersebut dalam situasi yang benar-benar dipanggil situasi menang-menang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir berkata, masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura walaupun lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan beberapa hasil.
Dr. Mahathir berkata, isu tersebut ialah harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Dalam reaksi terhadap kenyataan Dr. Mahathir, Najib berkata, semua masalah legasi antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan secara berperingkat dan tidak boleh diselesaikan dalam satu pertemuan.
Pada 12 April 2006, Kerajaan Pusat membuat keputusan menamatkan pembinaan Jambatan Bengkok termasuk jambatan kereta api yang kontrak asalnya bernilai RM1.113 bilion.
Rohazam berkata, kelebihan lembaran baru antara Malaysia dan Singapura yang lebih kukuh hasil lawatan Najib baru-baru ini amat penting untuk dimanfaatkan bagi pembinaan jambatan tersebut.
"Rakyat kedua-dua negara akan merasai pelbagai nikmat dengan adanya jambatan itu, manakala rakyat Johor Bahru, Pasir Gudang dan wilayah Semenanjung akan menikmati limpahan pembangunan ekonomi yang pesat selain mengatasi masalah kesesakan di Johor Bahru," katanya.
Walaupun projek itu telah dibatalkan kerajaan, namun tiada sebarang masalah jika ada kemahuan politik untuk meneruskannya demi kepentingan rakyat dan negara, tegasnya.
Beliau menarik perhatian, kes kemalangan perlanggaran kapal di perairan Singapura hingga menyebabkan tumpahan minyak menggambarkan laluan kapal sedia ada terlalu sibuk dan disebabkan itu perlu Jambatan Bengkok untuk kapal kecil melalui Selat Tebrau.
"Kes perlanggaran kapal boleh dianggap seperti sindiran alam terhadap laluan laut yang sibuk dan membuktikan bahawa Jambatan Bengkok amat penting," katanya.
Justeru, Rohazam berkata, Pemuda UMNO Pasir Gudang akan menyerahkan memorandum menyokong pembinaan Jambatan Bengkok kepada Dr. Mahathir yang akan berkunjung ke Johor Bahru esok.
Beliau berkata, Dr. Mahathir dijadual berucap merasmikan Wacana Kepimpinan anjuran Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Pemuda UMNO Pasir Gudang di Hotel M-Suite di sini.

No comments:

Post a Comment