JOHOR BAHRU - Kesan tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal MV Waily dan kapal tangki MT Bunga Kelana 3 yang mencemari perairan negara berhampiran Tanjung Ayam, Kota Tinggi dekat sini kelmarin, kini dikesan telah memasuki perairan Teluk Ramunia.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Rosnani Ibrahim berkata, beberapa kesan tompokan minyak mula dikesan memasuki perairan teluk tersebut setelah ia mencemari kawasan Tanjung Ayam kelmarin.
"Pertukaran gelombang laut telah menyebabkan tumpahan minyak itu merebak ke Teluk Ramunia apatah lagi lokasinya hampir dengan tempat kejadian," katanya semasa dihubungi semalam.
Kelmarin, tumpahan minyak sepanjang 1.6 kilometer dan lebar 960 meter akibat pelanggaran dua kapal tersebut telah dikesan di perairan negara, kira-kira satu kilometer dari Tanjung Ayam.
Jarak di antara Tanjung Ayam dan Teluk Ramunia terletak kira-kira lima kilometer.
Rosnani berkata, ketika ini pihaknya sedang menggunakan teknik penyuraian bagi memecahkan baki tumpahan minyak di Tanjung Ayam menggunakan sabun khas.
Kata beliau, pihaknya turut mengutip sisa minyak yang telah bertukar menjadi ketulan tar kecil secara manual yang dikesan di pesisiran pantai di tanjung tersebut.
Menurut beliau, boya-boya juga dipasang di perairan tersebut bagi mengelakkan minyak tersebut merebak dan mencemarkan kawasan perairan lain.
No comments:
Post a Comment