Saturday, May 29, 2010

Kurang ilmu, latihan punca lompat parti



M Faqih   
KOTA BHARU, 28 Mei: Parti Keadilan Rakyat melihat kekurangan kursus dan latihan menjadi punca mengapa segelintir pemimpin dan ahli parti itu mudah mengambil tindakan lompat parti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin sepakat dengan Timbalan Presiden, Dr Syed Hussin Ali menjelaskan faktur kekurangan kursus dan latihan menjadi punca isu katak lompat sekarang.
“Tindakan segera yang kita akan ambil selepas kongres ini ialah menyusun agenda latihan dan kursus-kursus bagi melahirkan semangat setia kawan dalam parti.
“Akademi Latihan akan diwujudkan dan akan disusun modul latihan bagi memperkemaskan jati diri setiap anggota parti.
“Kita akui sebelum ini program seumpama itu kurang dilakukan kerana kita terpaksa berdepan dengan 11 siri pilihan raya kecil dan agenda lain,” katanya selepas menyampaikan ucapan dasar Kongres AMK kali ke-6 di Perdana Resort hari ini.
Ucapan itu bertema Mewarisi Nilai Mempertegaskan Perjuangan.
Program yang bermula jam 10 pagi itu memperlihatkan Dewan Duyung agak sendat dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati AMK yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.
Sebelum ucapan dasar bermula perwakilan dan pemerhati disajikan dengan persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Halaqat yang berjaya mencuit hati orang ramai.
Malam tadi ketika merasmikan serentak persidangan Kongres Nasional Wanita dan AMK Dr Syed Hussin berkata, kursus dan latihan perlu diberi penekanan sejak awal lagi ketika seseorang menyertai parti itu.
Katanya mereka perlu diberi pengenalan ringkas tentang sejarah perjuangan, susunan organisasi dan dasar perjuangan parti.
”Saya ingin menggesa agar Wanita dan AMK segera merancang dan melaksanakannya, memandangkan sebelum ini parti kurang mengadakan latihan dan kursus,” katanya.
Ucapan Shamsul Iskandar yang kadang-kadang agak lantang sebelum itu berkata, parti terbabit dikhianati oleh mereka pada awalnya bersama membina gerakan tersebut.
Katanya pembelotan mereka dirancang supaya memberi impak paling negetif terhadap parti dan AMK, namun ternyata pengkhianatan mereka gagal merebahkan kita.
”Nafsu mendorong mereka untuk percaya gerakan ini akan tersungkur apabila pengasas dan bekas ketua AMK belot.
”Mereka lupa perjuangan kita ini berpaksikan nilai dan bukan bertuhankan manusia. Kita harungi cabaran dan kesukaran untuk membina semula AMK yang lebih gagah,” katanya.
Pada ucapan itu beliau juga mendakwa seorang pemuda Malaysia dilaporkan media asing seringkali berbelanja mewah di luar negara perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya pemuda tersebut, Taek Jho Low seperti dilaporkan akhbar New York Post seorang rakyat Malaysia berbelanja ratusan ribu ringgit untuk mendampingi selebriti di Amerika Syarikat.
Kata beliau berdasar kepada laporan New York Post, Jho Low dikatakan  membelanja AS$50,000 hingga AS$60,000 semalaman untuk berhibur.
”Kita difahamkan anak muda yang berusia 20-an ada hubungan rapat dengan anak perdana menteri dan mempunyai kaitan dengan projek terbesar negara tahun ini bagi membangunkan Sungai Besi.
”Kita hendak tanya juga First Lady Malaysia siapa anak muda tersebut sehingga mendapat kekayaan luar biasa, sedangkan dalam masa yang sama ada menteri mendakwa negara boleh bankrap kerana banyak menanggung subsidi,” katanya

No comments:

Post a Comment