KUALA LUMPUR 28 Mei - Kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh menghala ke ibu negara berdekatan susur masuk ke Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 di Batu Caves sehingga ke Bulatan Batu Caves bukanlah perkara baru.
Perkara ini sudah sekian lama dihadapi dan memberi tekanan kepada penduduk serta pengguna kenderaan terutama yang datang dari arah dan sekitar Selayang, Batu Caves dan Rawang.
Namun, sehingga kini tiada sebarang langkah penyelesaian total diambil, sebaliknya keadaan di situ bertambah teruk dari sehari ke sehari berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Hendak tidak hendak, sama ada yang menaiki kenderaan awam atau memandu sendiri, terpaksa juga digagahi untuk menempuh jalan tersebut.
Difahamkan, jika sebelum ini, kesesakan hanya sekitar 30 minit, kini masa sehingga lebih satu jam terpaksa diambil berikutan jumlah kenderaan yang semakin meningkat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi itu mendapati kesesakan bukan sahaja berlaku pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang tetapi juga pada waktu tengah hari.
Jika selama ini kesesakan dikatakan bermula dari Pasar Borong Kuala Lumpur, tinjauan mendapati, dari Selayang Prima lagi kenderaan dilihat sudah beratur panjang.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa faktor dilihat mempengaruhi kesesakan di laluan tersebut terutama sistem aliran lalu lintas di situ yang tidak begitu sistematik.
Kedudukan susur masuk ke MRR2 dari Jalan Ipoh dan susur keluar dari Batu Caves ke Jalan Ipoh yang agak berhampiran antara satu sama lain menyebabkan kenderaan bertembung.
Kenderaan untuk ke susur masuk MRR2 mahu ke kiri manakala kenderaan dari Batu Caves mahu ke kanan dan akibatnya, kenderaan dari kedua-dua arah 'tersangkut'.
Dengan hanya dua lorong memasuki ke susur masuk itu, ia ternyata banyak mempengaruhi kesesakan di situ, ditambah pula dengan sikap sesetengah pemandu yang tidak mahu beralah dan mementingkan diri sendiri.
Lampu isyarat yang dipasang di Bulatan Batu Caves juga dikatakan tidak mampu mengatasi kesesakan di situ, sebaliknya menambahkan lagi kesesakan kerana pergerakan kenderaan akan terhenti apabila lampu bertukar merah.
Turut menjadi punca kesesakan ialah tindakan pemandu bas serta teksi menghentikan
kenderaan mereka untuk mengambil dan menurunkan penumpang di perhentian bas tidak jauh dari situ.
Selain itu, sikap pemandu kenderaan persendirian yang dilihat turut menjadikan perhentian bas di situ untuk menunggu turut menambah kesesakan.
Orang ramai yang ditemui melahirkan rasa kesal kerana masalah kesesakan di laluan berkenaan masih belum dapat diatasi sehingga kini, malah menjadi semakin teruk sehingga memberi tekanan kepada pengguna.
Seorang pemandu teksi, Ramli Kandar, 53, tidak menafikan sistem jalan di situ menjadi punca kepada kesesakan yang berlaku.
Katanya, pertembungan pemandu dari arah Rawang dan Selayang serta yang keluar ke Jalan Ipoh dari Batu Caves adalah punca utama.
"Keadaan ini tidak akan dapat diselesaikan selagi laluan di sini masih berkeadaan sama," ujarnya.
Akhmal Jamaludin, 24, turut melihat perkara sama sebagai punca.
Dia berkata, masalah tersebut akan berterusan jika pihak bertanggungjawab tidak mencari mekanisme yang terbaik bagi mengatasinya.
"Sememangnya tidak dinafikan sikap pemandu juga mempengaruhi keadaan tetapi perlu dilihat puncanya terlebih dahulu," ujarnya.
K.C.Chay, 50, pula berpendapat, kesesakan yang berlaku perlu diatasi segera demi keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.
Dia yang menetap di Wangsa Permai berkata, melebarkan jalan terutama jalan susur masuk ke MMR2 menuju ke Bulatan Batu Caves mungkin boleh meredakan keadaan.
Pendapat K.C.Chay turut dipersetujui Azidah Omar, 43, yang berharap agar pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi kesesakan di situ yang sudah lama berlarutan.
Dia yang tinggal Selayang Baru dan bekerja di Segambut mengakui terpaksa keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan di situ.
"Ia sering memberi tekanan kepada kami pengguna jalan raya di sini. Seharusnya
pihak yang bertanggungjawab memikirkan langkah bagi mengatasi masalah ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment