Saturday, May 29, 2010

Rakyat perlu bijak menilai janji-janji Anwar - Perdana Menteri



29/05/2010 3:33pm

PEKAN 29 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu menilai secara bijak setiap janji yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebenarnya hanya mahu mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengingati kembali penipuan besar yang pernah dibuat Anwar ketika mencanangkan penubuhan kerajaan baru pada 16 September 2008.
"Dia (Anwar) dah berjanji macam-macam, sebab dia nak kuasa, saya berharap rakyat berhati-hati dengan janjinya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas janji terbaru Anwar yang kononnya akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Janji itu dilihat sebagai satu gimik politik dalam usaha Anwar untuk terus mendapat sokongan masyarakat Cina. Janji terbaru Anwar itu disiarkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan pada 26 Mei lepas.
Najib berkata: "Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.
"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia sendiri tahu dia tak boleh tunaikan," kata Najib. - Bernama

No comments:

Post a Comment