Saturday, May 29, 2010

Kementerian kerjasama dengan peguam cepatkan kes jenayah kanak-kanak



29/05/2010 3:35pm

KLANG 29 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat bekerjasama erat dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi mempastikan mereka yang terlibat dalam kes jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu menunjukkan
bahawa kerajaan sangat serius dalam menangani perkara itu terutama yang
membabitkan kes penderaan dan pembuangan bayi.
"Sekarang ini mana-mana kes jenayah terhadap kanak-kanak diberi keutamaan dan sebab itu kita lihat semalam seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun bersama kakaknya yang terlibat dalam kes pembuangan bayi dibawa ke mahkamah dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Shahrizat berkata demikian ketika mengulas mengenai perintah tahanan reman selama empat hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam ke atas pelajar perempuan terbabit dan kakaknya yang berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki baru lahir yang ditanam berhampiran dengan Stesen Keretapi Padang Jawa di Shah Alam, Isnin lepas.
Beliau dalam pada itu turut kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang
mengamalkan budaya lepas tangan kepada pihak lain sekiranya anak-anak mereka terlibat dengan kes-kes seperti kehamilan dan kelahiran anak luar nikah. - Bernama

No comments:

Post a Comment