Monday, June 21, 2010

Dua bayi perlu bantuan


Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/06/21

Sumbangan keseluruhan RM80,000 rawat jantung berlubang

GEORGETOWN: Dua bayi masing-masing berusia 20 hari dan tujuh bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini. 

Nur Batrisyia Qistina Zamri, 20 hari, memerlukan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 untuk menjalani pembedahan segera bagi memulihkan saluran jantung dan membolehkannya bernafas dengan lancar.Bapanya, Zamri Zaharo, 30, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM1,600 dan ibunya, Norhidayah Othman, 30, seorang suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pembedahan itu.Norhidayah ketika ditemui baru-baru ini, berkata mereka tidak mampu menampung kos pembedahan yang tinggi selepas membelanjakan hampir RM6,000 untuk kos bersalin baru-baru ini. 

“Anak kami disahkan menghidap penyakit jantung selepas empat hari dilahirkan akibat mengalami demam kuning yang agak tinggi,” katanya. 

Seorang lagi bayi, Muhammad Afiq Rayyan Zolkifli, tujuh bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran darah sempit memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan semula saluran itu. 

Ibunya, Noor Aswani Shabudin, 34, seorang kakitangan swasta dari Gurun, Kedah, buntu memikirkan bagaimana mahu mencari wang untuk tujuan itu selain terpaksa mengharapkan pendapatan suami, Zolkipli Ahmad, 42 yang hanya bekerja sendiri. 
Beliau berkata, keluarganya memerlukan sumbangan untuk menampung kos pembedahan anak sulungnya yang berjumlah RM30,000. 

Sumbangan boleh disampaikan dengan menghantar cek atau wang pos kepada NSTP Charity Fund, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak berkenaan di belakang cek. 

No comments:

Post a Comment