Monday, June 21, 2010

Isu Jemaah Islamiah bukan helah BN




2010/06/21

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan), membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan isu Jemaah Islamiah (JI) helah Barisan Nasional (BN) dan menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab. 

Beliau berkata, kerajaan tidak tergamak mempermainkan sesuatu isu apatah lagi yang berhubung kait dengan keselamatan negara kerana menganggap ia adalah isu sensitif yang perlu diberi perhatian serius dan ditangani dengan berhati-hati.Katanya, kenyataan Anwar itu tidak bertanggungjawab langsung dan menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang bekerja keras menjaga keselamatan negara apatah lagi kerajaan juga tidak boleh mendedahkan isu keselamatan kepada khalayak ramai secara semberono."Percayalah... saya sebagai menteri yang bertanggungjawab tahu apa yang terpaksa pihak berkuasa lakukan bagi memastikan rakyat termasuk Anwar, selamat dan dapat tidur nyenyak setiap malam. 

"Kalau perkara seperti ini pun kita boleh dituduh sebegitu apatah lagi jika satu hari nanti jika mereka (pembangkang) berdepan masalah nanti... adakah mereka mahu tuduh ia helah kerajaan. 

"Masyarakat sendiri akan melihat betapa pembangkang sanggup menyatakan serta membuat apa saja semata-mata menidakkan kejayaan pihak berkuasa termasuk dalam isu JI ini," katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini, semalam. 

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang merasmikan mesyuarat berkenaan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. 
Kelmarin, akhbar melaporkan kenyataan Anwar yang menganggap isu JI helah BN mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini. 
Sementara itu, Hishamuddin berkata, UMNO selepas ini tidak lagi akan menjawab secara defensif terhadap setiap tohmahan serta isu yang dilemparkan pembangkang kepada parti berkenaan. 

"Maklum balas yang kita terima daripada akar umbi ketika mesyuarat UMNO bahagian diadakan adalah mereka mahu UMNO mencabar kembali sebarang isu tidak rasional serta kenyataan berbentuk oportunis yang dibangkitkan kepemimpinan pembangkang. 

"Ahli kita menyuarakan Umno kini perlu lebih tegas dengan menjawab serta mencabar semula setiap tohmahan serta sekian banyak kenyataan mereka yang menyerang UMNO. 

"Akar umbi kita (ahli UMNO Sembrong) ingin mencabar pembangkang yang menuduh UMNO menyogok wakil rakyat mereka keluar parti dengan RM2 juta supaya membuktikan dakwaan itu seperti dilakukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kelmarin. 

"Hari ini, saya ingin menambah cabaran kepada Anwar dengan pertanyaan, adakah bekas Setiausaha Agung PKR, Dr Chandra Muzaffar dan bekas Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat juga keluar dari parti pembangkang kerana dibayar," katanya. 

No comments:

Post a Comment