Monday, June 21, 2010

Kementerian Pertahanan sedia bendung Jemaah Islamiah


KUALA LUMPUR 20 Jun - Kementerian Pertahanan sedia memberikan kerjasama jika diperlukan bagi membendung penyebaran fahaman kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI) di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (gambar) berkata, pihaknya memiliki pasukan khas serta kepakaran dalam risikan bagi mematahkan sebarang usaha menyuburkan atau cubaan membawa masuk fahaman tersebut.
''Kerajaan memandang serius perkara itu. Lebih-lebih lagi ada yang cuba menghidupkan JI di pusat-pusat pengajian tinggi negara.
''Kebiasaannya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab untuk menanganinya. Namun, jika diperlukan, Kementerian Pertahanan bersedia membantu,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Selayang, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan.
Pada majlis sama, Abdul Latiff turut melancarkan Buletin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang yang memuatkan bahan berita tentang aktiviti pergerakan tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, perihal tentang gerakan JI yang dikesan baru-baru ini sudah pun dibincangkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Perkara ini cukup serius dan Kementerian Pertahanan sedang menunggu sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk bersama bertindak,'' jelasnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan kepimpinan dan ahli Pemuda UMNO supaya ikhlas dalam berjuang untuk parti.
Katanya, mereka perlu mengambil iktibar daripada perjuangan golongan muda pada zaman Rasulullah yang berjaya menewaskan musuh walaupun memiliki jumlah tentera yang kecil.
''Selain itu, kita perlu ada sifat adil, ihsan serta bijaksana dalam melawan musuh-musuh parti,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment