Monday, June 21, 2010

Perkampungan haram pendatang


Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Sarah Sulaiman 

2010/06/21

SEGAMBUT: Di sebalik bangunan tinggi yang tersergam di Mont Kiara di sini, tidak ramai yang mengetahui wujudnya perkampungan setinggan dihuni pendatang asing dari pelbagai negara yang diragui status mereka. 

Kedudukan perkampungan itu di atas bukit dan dihimpit dengan bangunan tinggi dan moden yang sudah siap dan dalam pembinaan, menjadikan perkampungan itu agak tersorok dan tidak kelihatan daripada pandangan mata kasar.Tinjauan Sentral ke kawasan itu mendapati seolah-olah ‘melancong ke luar negara‘ apabila ratusan pendatang asing dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Myanmar dan Bangladesh menjadikan kawasan tanah bercerun dan kawasan lereng bukit itu sebagai tempat tinggal mereka tanpa sebarang gangguan pihak berkuasa.Kebanyakan mereka dipercayai bekerja di sektor pembinaan di kawasan sekitar. 

Pendatang asing itu juga dipercayai mencuri air dan bekalan elektrik dari kawasan pembinaan berdekatan kerana kelihatan ramai penghuninya yang mandi menggunakan air paip disimpan dalam tong, manakala gerai makan di kawasan itu turut dilengkapi bekalan elektrik. 

Ratusan pendatang asing yang bekerja dalam sektor pembinaan, membina laluan sendiri daripada Mont Kiara yang dijadikan sebagai laluan pintas untuk ke Segambut Masjid, manakala di bahagian lain, ada jalan pintas yang boleh ditembusi ke Tol Jalan Duta, di sini. 

Di kawasan perkampungan itu, pendatang asing juga membina kedai untuk komuniti mereka dan pada waktu petang, suasana bawah jejantas Tol Jalan Duta bertukar meriah dengan aktiviti jualan pelbagai barangan runcit dan gerai makan. 
Deretan premis haram yang didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa itu juga menunjukkan seolah-olah tindakan mereka kebal daripada tindakan undang-undang berikutan hasil tinjauan mendapati golongan terbabit sama ada peniaga atau pelanggan, melepak dalam keadaan selesa tanpa rasa takut diserbu atau ditangkap. 

Ada juga pendatang yang mendirikan tandas yang tiada sistem kumbahan sempurna hingga air daripada tandas itu mengalir ke bahagian bawah lereng bukit, manakala bagi penghuni yang membina rumah di tepi parit besar, sisa kumbahan dibiar mencemari parit serta menimbulkan busuk yang meloyakan. 

Kewujudan ramai pendatang asing itu menimbulkan rasa kurang senang penduduk apabila kawasan Segambut Masjid dimonopoli golongan berkenaan yang dikhuatiri meningkatkan kes jenayah setempat. 

Sementara itu, penduduk di sebuah rumah pangsa berdekatan Segambut Masjid, Rose Ismani Ismail, berkata masalah kebanjiran pendatang asing itu menyebabkan penduduk berasa tidak selesa dan keselamatan mereka terancam. 

“Kami khuatir tahap keselamatan keluarga kerana sebelum ini banyak kes jenayah berlaku terutama pada waktu malam, yang dilakukan warga asing. 

“Selain itu, penduduk juga berasa tidak selesa dan bimbang setiap kali melalui jalan utama ke Seri Hartanas dan Mont Kiara kerana rumah pendatang asing terbabit dibina di kiri dan kanannya, malah kumpulan warga asing itu sering berkumpul di situ hingga lewat pagi,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mohd Khairul Rizzuan, 29, berkata walaupun kebanyakan warga asing yang tinggal di kawasan itu bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan berhampiran, tetapi pihak berkuasa perlu memantau status kemasukan ke negara ini. 

Beliau berkata, warga asing yang bekerja di sini berjaya membina koloni sendiri termasuk menjalankan perniagaan di bawah jejantas bagi memenuhi permintaan masyarakat mereka, menyebabkan kelompok mereka semakin kuat. 

“Kami berharap pihak berkuasa memantau perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya dengan melakukan pemeriksaan terhadap status warga asing terbabit. 

“Jika penduduk tempatan membuat binaan haram atau berniaga tanpa permit, kita akan dikenakan tindakan tetapi saya hairan kerana pendatang asing ini seolah-olah kebal melakukan perkara itu semua di sini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment