21/06/2010 8:43pm
KUALA LUMPUR 21 Jun – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Tian Chua masih lagi Ahli Parlimen (MP) Batu sehingga adanya usul dibentangkan di dewan dan undian dijalankan untuk menentukan statusnya.
Beliau berkata, usul itu hanya boleh dibentangkan selepas segala hak-hak perundangan berakhir termasuk rayuan untuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat itu.
"Dia masih lagi wakil rakyat sehingga hak-hak perundangannya tamat dan perkara tersebut akan kembali ke Parlimen, kemudian barulah Parlimen akan membuat keputusan kecuali Tian Chua menerima pengampunan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
Pandikar Amin berkata, keputusan untuk melucutkan jawatan seseorang MP atau mengekalkannya bukanlah terletak di tangan Speaker sebaliknya menerusi undian di Dewan Rakyat.
"Prosedur yang betul ialah saya tidak boleh sebagai Speaker menulis surat dalam kapasiti saya sebagai Speaker kepada SPR dengan memberitahu kerusi itu kosong. Ini mesti ditentukan oleh Parlimen,” katanya.
Khamis lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan menggantikannya kepada denda RM2,000 atau dua bulan penjara.
Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata, seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang MP, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
Peguamnya, Ranjit Singh, hari ini menemui Ghazali dalam kamar dan memberitahu pemberita selepas itu hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Tian bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan. – Bernama
No comments:
Post a Comment