Monday, July 5, 2010

Bersedia hadapi PRU-13



BANGI - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masa telah tiba bagi Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi. 

Katanya, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tanpa dolak-dalik lagi. 

Menurutnya, alasan klise dan remeh yang sering diguna pakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk ‘lari’ dari bertanding dalam pilihan raya. 

Katanya, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh di dalam UMNO adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan UMNO muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa. 

“Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa UMNO dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Serdang di sini. 

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengusulkan supaya Badan Perhubungan UMNO Negeri di lima buah negeri kembali diterajui oleh kepimpinan parti negeri terbabit. 

Ini kerana, menurut Ahmad Zahid, keadaan UMNO di negeri-negeri berkenaan iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Ked:ah, dan Wilayah Persekutuan telah kembali mantap dan pulih. 

Ditanya apakah beliau telah bersedia untuk melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Hishammuddin berkata, aspek itu akhirnya akan ditentukan ahli parti.

No comments:

Post a Comment