PRIHATIN…Shahrizat (dua dari kiri) mendengar kisah hidup Fatimah sekeluarga .
DI SINI...keadaan rumah dihuni keluarga Fatimah.
Ibu kepada tiga anak itu menceritakan kisah hidupnya bersama suami, Yusof Wahab, 35, yang terpaksa menumpang di bawah rumah milik ibu mentuanya di Kampung Pauh Dal, Badang, Pengkalan Chepa, sejak tiga tahun lalu.
Rumah sempit yang pernah menjadi reban ayam itu kini dihuni Fatimah dan Yusof bersama tiga anaknya masing-masing, Nur Atikah Yusof, 6, Mohd Haikal, 5, dan Mohd Aiman, 3.
Menceritakan kisah hidupnya, Fatimah berkata, dia dan suami terpaksa berpindah ke bawah rumah ibu mentuanya akibat tidak mampu menyewa rumah di kawasan berhampiran.
“Mulanya kami sekeluarga tinggal bersama ibu mentua di bahagian atas, tetapi disebabkan adik ipar yang juga pemilik rumah pulang ke sini, jadi kami mengambil keputusan berpindah.
“Tindakan berpindah ke bawah rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga suami. Lagipun kami hanya menumpang dan dapat tinggal di ruang rumah seperti ini sudah syukur alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di rumah terbabit, kelmarin.
Menurutnya, dengan pendapatan suami sebagai pemandu lori ayam sambilan tidak mencukupi untuk mereka menyewa rumah atau membina kediaman berhampiran tapak rumah ibu mentuanya.
“Kami berdua tidak pernah menagih simpati sesiapa kerana malu berbuat demikian, baik meminta daripada adik-beradik mahupun jiran sekampung. Apa yang kami ada, kami makan.
“Jika ada duit lebih, kami akan utamakan membeli beras dan bakinya pula untuk memenuhi selera anak dengan membeli lauk paling mahal iaitu daging ayam ataupun ikan selayang,” katanya.
Katanya, saat paling sukar dilalui apabila berlaku banjir pada musim tengkujuh menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa memindahkan barang ke rumah ibu mentuanya.
“Usah diceritakan nyamuk, anak-anak sudah lali dengan gigitannya. Paling tidak kami terpaksa memasang kelambu untuk mengelak daripada gigitan, tetapi kadang kala kelambu tidak digunakan mereka kerana keadaan di bawah terlalu panas,” katanya.
“Selain nyamuk, katak kadang kala menjadi teman setia kami jika terlepas masuk. Namun, kami tidak mampu berbuat apa-apa dan berserah kepada Tuhan kerana Dia lebih memahami nasib kami,” katanya.
Terdahulu, nasib Fatimah sekeluarga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, apabila meluangkan masa lebih 20 minit bermesra dengan keluarga terbabit, petang kelmarin.
Shahrizat yang dalam rangka kerja merasmikan Mesyuarat Agung Pergerakan Wanita Umno Bahagian Machang 2010 di Machang di sini, nyata terkejut dengan kehidupan keluarga terbabit yang dikategorikan miskin tegar.
Sambil merangkak ke dalam rumah berkenaan, beliau yang ditemani Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin dan Ketua Wanita Umno Kelantan, Datin Rahimah Mahamad menyelami kehidupan Fatimah dan anak-anaknya.
“Mulanya saya macam tidak percaya dengan kedaifan keluarga terbabit kerana sekadar menerima laporan ada orang duduk dalam sangkar. Lagipun negara kita ada macam-macam kategori kemiskinan.
“Namun, sebaik melihat sendiri dengan mata kasar, saya terkejut kerana masih ada lagi masyarakat kita yang hidup di bawah rumah seperti hari ini, menyebabkan saya rasa dukacita,” katanya.
Shahrizat yang menghulurkan sumbangan peribadi, berkata beliau akan berusaha memindahkan keluarga terbabit ke kediaman lebih selesa, termasuk beberapa bantuan lain di bawah JKM.
No comments:
Post a Comment