Monday, July 5, 2010

Teguran jangan bersikap primadona tepat pada masanya




KUALA LUMPUR - Teguran Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ahli dan pemimpin parti itu tidak bersikap sebagai primadona disifatkan sebagai tepat pada masanya bagi memastikan parti itu terus diterima rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ahli dan pemimpin perlu mengikis sikap individualistik selain perlu bekerjasama dalam satu pasukan.

"Kita tak boleh benarkan mana-mana individu atau pemimpin menonjolkan diri tanpa mengira kepentingan parti," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Najib semalam yang membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak yang sedang bertanding di Piala Dunia ketika ini, hanya pasukan mempunyai semangat berpasukan tinggi akan berjaya berbanding pasukan mempunyai ramai primadona.

Ketika ditanya siapa yang dimaksudkan sebagai primadona dalam UMNO, Mohamed Nazri, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata: "Ia (teguran) bersifat umum."  

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berharap pesanan Perdana Menteri itu akan diterima baik dan dipraktikkan ahli parti itu. 

"Pasukan yang dianggotai individu bersifat primadona ini walau sehebat mana pun mereka, akhirnya mungkin tidak akan dapat kerjasama dari yang lain, maka tidak akan dapat menyumbangkan sebarang skor atau gol dalam pertandingan.

"Samalah bagi kita dalam politik, kita perlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan apa yang kita ingin lakukan, kalau bergerak sendirian mungkin akan ada kesan tapi akhirnya tak memberi manfaat kepada semua," katanya.

No comments:

Post a Comment