Monday, July 5, 2010
Malam Rintihan Al-Aqsa pilu
IPOH - Sejak tahun 1948 kesengsaraan dan penderitaan penduduk Palestin kian berlarutan ditindas dan dizalimi oleh rejim zionis semakin mendapat perhatian seluruh penduduk dunia.
Sehubungan itu, Institut Teknologi Perak (ITP) dengan kerjasama Aman Palestin cawangan Perak menganjurkan majlis Malam Rintihan Al-Aqsa di Dewan Bandaran Ipoh di sini, semalam.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda berhubung isu itu yang bukan sahaja mendapat perhatian negara-negara Islam malah masyarakat seluruh dunia turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Palestin.
Lebih 600 orang dari seluruh negeri tidak melepaskan peluang untuk turut serta menyelami hari-hari sedih negara Islam itu.
Pengarah program, Syed Jalaluddin Jamalullail Syed Ahmad berkata, majlis itu diadakan untuk menyingkap kisah sedih warga Palestin yang setiap masa diancam oleh rejim zionis.
“Program ini julung kali diadakan oleh ITP dan sambutan majlis adalah amat mengagumkan dan pada majlis ini kita amat bertuah kerana dapat mendengar sendiri ceramah yang disampaikan oleh anak jati kelahiran negara itu.
Kita selalu melihat kekejaman rejim di media massa namun pada kali ini kami (ITP) dengan bantuan Aman Palestin berjaya membawakan Dr Abdallah Marouf Abed Omar daripada Palestin untuk berkongsi kesedihan dan pengalaman”, katanya ketika ditemui di majlis itu, semalam.
Menurutnya, program itu sebagai usaha menyokong ke arah pembebasan Palestin yang sudah menanggung derita hampir enam dekad lalu sejak negara Israel ditubuhkan pada 1952.
“Program seperti ini akan diteruskan di masa hadapan sebagai kesinambungan dalam usaha memberi sokongan moral kepada mereka yang berjuang untuk memerdekakan negara Palestin,” katanya.
Syed Jalaluddin Jamalullail berkata, usaha itu juga sebagai langkah penerangan untuk masyarakat awam khasnya golongan muda yang semakin keliru dengan lokasi sebenar Masjid Al-Aqsa akibat daripada agenda rejim zionis itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment