Monday, July 12, 2010

Bosnia peringati tragedi Srebrenica



DUA wanita Islam Bosnia meratap di sebelah keranda mangsa pembunuhan kejam Serb di pusat peringatan Potocari dekat Srebrenica, 120 kilometer dari Sarajevo, kelmarin sempena ulang tahun ke-15 peristiwa hitam tersebut. - AP


KAMENICA, Bosnia-Herzegovina 10 Julai - Beribu-ribu penduduk Bosnia semalam memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995 dengan menjejaki laluan yang diambil oleh lelaki dan remaja Islam ketika melarikan diri daripada tentera Serb Bosnia yang memburu mereka.
Antara 10,000 hingga 15,000 orang cuba menyelamatkan diri dengan berjalan kaki meredah hutan ke wilayah yang dikuasai oleh tentera Islam, tetapi hampir 8,000 daripada mereka ditangkap dan dibunuh dengan kejam pada hari-hari selepas kejatuhan Srebrenica pada 11 Julai 1995.
"Bagi saya, perjalanan ini saya lakukan setiap tahun sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan kerana menyelamatkan nyawa saya," kata Sefik Begovic, 37, ketika berjalan bersama-sama sekumpulan lelaki lain di lembah Nezuk.
Perjalanan tiga hari sejauh 105 kilometer dengan berjalan kaki mengikut arah bertentangan, dari Tuzla ke Srebrenica, bermula kelmarin dan berakhir di tanah perkuburan dan memorial Potocari dekat Srebrenica lewat petang ini.
Kira-kira 5,000 orang menyertai perjalanan memorial itu tahun ini untuk memperingati hari ulang tahun ke-15 pembunuhan beramai-ramai itu, keganasan terburuk di bumi Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Penduduk mula melarikan diri beberapa jam sebelum ketibaan tentera Serb Bosnia di Srebrenica yang telah diisytiharkan sebagai kawasan selamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka yang ditangkap oleh tentera Serb Bosnia dibawa ke pelbagai lokasi pembunuhan di sekitar bandar itu.
Mangsa ditembak mati dan dikebumikan di dalam kubur-kubur besar, kemudian dikebumikan semula secara sembarangan di lebih 70 lokasi sebagai usaha untuk menyembunyikan bahan bukti.
Mereka yang terselamat tiba di wilayah yang dikuasai tentera Islam lima hari selepas meninggalkan Srebrenica, walaupun ada yang mengambil masa lebih sebulan untuk tiba di kawasan selamat. - AFP

No comments:

Post a Comment