KERATONG 10 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Keratong 10, di sini, digesa mempertimbangkan segera permohonan pinjaman perumahan yang dimohon peneroka sejak beberapa tahun lalu. Peneroka mendakwa, kebanyakan rumah di Felda Keratong 10, masih lagi rumah kayu lama yang dibina semasa mereka membuka tanah rancangan di situ. Kelewatan memberi kata putus kepada permohonan pinjaman itu menyebabkan peneroka tidak dapat membina rumah baru atau membaiki kediaman mereka. Keadaan itu menyebabkan mereka sentiasa diselubungi perasaan bimbang berikutan rumah yang didiami sekarang sudah tidak selamat, terutama jika melihat pada sistem pendawaian elektriknya. Permohonan mereka untuk mendapatkan skim pinjaman perumahan sehingga RM40,000 itu juga ada asasnya berikutan bilangan isi rumah semakin meningkat dan tidak sesuai lagi tinggal di dalam rumah yang kecil dan sempit. Peneroka mahu pelbagai syarat yang dikenakan terhadap calon peminjam dapat dilonggarkan kerana ia hanya akan membantutkan hasrat mereka untuk mendiami rumah yang lebih selesa. Pinjaman masih belum diluluskan Seorang isteri peneroka, Zainon Abu Bakri, 51, berkata, dia sudah membuat permohonan pinjaman sejak 2006, tetapi masih belum diluluskan hingga sekarang. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia masih menduduki rumah asal iaitu ketika mula-mula datang ke Felda itu tanpa membaiki dan menambah rumah terbabit. “Saya sudah membuat permohonan kepada Felda, tetapi hingga ke hari ini pinjaman perumahan saya masih tidak diluluskan menyebabkan saya bimbang sampai bila akan menduduki rumah lama ini,” katanya. Zainon berkata, bantuan perumahan itu perlu disegerakan memandangkan anak-anaknya semakin meningkat dewasa dan memerlukan rumah yang lebih selesa. Guna duit sendiri baiki rumah Sementara itu, bagi, Rasidah Samsudin, 45, pula, dia juga pernah memohon pinjaman sebelum ini, tetapi masih belum diluluskan hingga ke hari ini. Katanya, dia terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membaiki dan menambah rumah sedia ada supaya lebih selesa untuk anak-anak meskipun kewangannya terhad. “Jika mahu tunggu pinjaman perumahan, tidak tahu bila akan dapat, jadi saya ambil keputusan baiki rumah rumah sedikit demi sedikit,” katanya. Menurutnya, implikasi kelewatan itu, ramai peneroka menghadapi masalah kritikal untuk membaiki atau membina rumah baru kerana ketiadaan dana yang mencukupi. “Kita sangat berharap Felda dapat menyegerakan pinjaman kepada peneroka supaya tidak timbul permohonan yang lama masih belum mendapat kelulusan pinjaman,” katanya. Terpaksa tangguh kahwin anak Seorang lagi rakannya, Zainul Rashidah Zainal Abidin, 46, berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat perkahwinan anaknya ke satu tarikh lain hingga mendapat pinjaman perumahan itu. Menurutnya, ketiadaan bilik tidur menyebabkan dia terpaksa memohon pinjaman itu untuk memberi keselesaan kepada anak dan menantunya. “Macam mana anak mahu kahwin jika bilik tidur di rumah pun tiada, jadi hasrat itu terpaksa ditangguhkan dahulu kerana berpendapat Felda akan beri pinjaman dalam tempoh terdekat,” katanya. Manakala bagi Zainon Abd Aziz, 45, pula, dia baru saja memohon pinjaman perumahan awal tahun lalu kerana bimbang rumah yang didudukinya sekarang tidak selamat lagi. Zainon berkata, rumahnya itu semakin uzur dan perlu dibaiki untuk keselesaan mereka sekeluarga. “Saya baru memohon pinjaman daripada Felda dan berharap mendapat kelulusan segera kerana sebelum ini memang tidak pernah membuat permohonan pinjaman tersebut,” katanya. Beri kelulusan ikut keutamaan Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Felda Kerating 10, Ishak Mokhtar ketika ditemui berkata, peneroka sepatutnya tidak berasa bimbang dengan keadaan itu kerana pada 2012 kesemua permohonan akan diluluskan. Menurutnya, kelulusan pinjaman itu sebenarnya diberi keutamaan kepada rumah peneroka yang terlalu uzur dan daif serta tidak timbul isu Felda ‘pilih kasih’ dalam memberi pinjaman perumahan. “Felda memberi jaminan bahawa dua tahun lagi mana-mana permohonan rumah asal yang masih belum diluluskan akan diberi keutamaan untuk membaiki dan membina rumah,” katanya. |
Monday, July 12, 2010
Rumah peneroka daif, uzur
Labels:
uzur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment