Monday, July 12, 2010

Daif



Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2010/07/12

SK Darau hampir runtuh bahayakan keselamatan murid 

KOTA KINABALU: Walaupun hanya kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar raya, keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Menggatal di sini, tidak ubah seperti sekolah pedalaman yang daif dan serba kekurangan.Ia berikutan keadaan bangunan kayu yang menempatkan sebahagian besar bilik darjah sekolah itu usang dengan ada strukturnya reput, sama ada akibat dimamah usia atau dibinasakan banjir.
Akibatnya, kira-kira 1,300 muridnya terpaksa belajar dalam bilik darjah yang sempit dan daif, manakala nyawa mereka diancam bahaya kerana bangunan digunakan boleh roboh pada bila-bila masa. 

Tinjauan Berita Harian mendapati dua bangunan kayu bertiang menempatkan enam bilik darjah dan tiga bangunan teres separuh konkrit dengan enam bilik darjah yang berusia hampir separuh abad sudah tidak sesuai diduduki. 

Struktur binaannya tidak kukuh dengan sebahagian lantai kayu dan anak tangga daripada papan berkeriut dan melengkung apabila dipijak, manakala dinding berlubang kerana papannya reput. 

Bumbung pula ada yang diliputi rumput dan bocor manakala sebahagian cermin tingkap tertanggal, menunjukkan keadaannya yang daif dan tidak setaraf dengan kedudukan sebagai sekolah bandar. 
Keadaan itu tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai sekolah aliran Melayu terawal di bandar raya ini dan antara sekolah pilihan utama ibu bapa di kawasan Menggatal untuk menyekolahkan anak mereka. 

Guru Besarnya, Said Khairani, berkata sekolah itu asalnya dinamakan Sekolah Vernakular Kerajaan Darau yang dibina pemerintah British pada 1940 dengan tapak asal di Kampung Likas, Kota Kinabalu. 

"Pada 1963, tapak sekolah dipindahkan ke kawasan berhampiran pekan Menggatal dengan kemudahan empat bilik darjah dalam dua bangunan separuh konkrit yang masih digunakan hingga ke hari ini. 

"Walaupun kerajaan membina sebuah bangunan baru dua tingkat untuk menambah kemudahan bilik darjah pada 1990-an, bilik darjah di bangunan lama masih digunakan kerana kelas di bangunan baru tidak mencukupi. 

"Saya sedar keadaan bangunan lama itu sudah tidak sesuai digunakan kerana usang tetapi kami tiada pilihan. Kalau hanya bilik darjah di bangunan baru digunakan, tidak ramai murid dapat diambil sedangkan ramai ibu bapa mahu menghantar anak ke sekolah ini," katanya. 

Ketika ini, sekolah itu hanya mempunyai 16 bilik darjah dengan 32 kelas dari prasekolah hingga Tahun Enam yang dikendalikan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang. 

Beliau berkata, masalah dihadapi sekolah itu sudah diajukan kepada Kementerian Pelajaran sejak 10 tahun lalu dengan meminta penambahan 12 lagi bilik darjah baru tetapi sehingga kini belum ditunaikan. 

"Pihak kementerian berjanji membina bilik darjah baru dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMke-8) tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan lalu dilanjutkan ke Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), namun keadaannya juga sama. 

"Ini memaksa kita menyambung permohonan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) tetapi kali ini dengan penambahan 24 bilik darjah baru. Saya berharap permintaan kali ini dapat ditunaikan," katanya. 

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Darau, Abdul Razak Kulah, berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada masalah dihadapi sekolah itu kerana apa yang dialami murid dan gurunya sudah berlarutan sejak sekian lama. 

Katanya, masalah banjir kilat yang sering melanda sekolah itu setiap kali hujan lebat juga wajar diambil berat kerana ia menyebabkan banyak harta benda sekolah rosak selain memaksa pengurusan sekolah menutup persekolahan apabila banjir. 

“Kedudukan sekolah ini di kawasan rendah menyebabkan ia mudah dinaiki air dan ia berlaku apabila hujan berpanjangan lebih sejam. Disebabkan banjir, sekolah terpaksa ditutup sehingga banjir surut dan lumpur dalam bilik darjah dibersihkan. 

"Sehubungan itu, kami meminta apabila kerajaan membina bilik darjah baru untuk sekolah ini, bangunannya dibina bertiang tinggi supaya tidak dilimpahi banjir. 

"Bangunan makmal komputer sekolah yang dibina bertiang kira-kira satu meter sebelum ini pernah dinaiki air setinggi tiga meter menyebabkan sebahagian besar peralatan komputernya rosak," katanya. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, turut meninjau keadaan sekolah itu dan meminta Kementerian Pelajaran memberi keutamaan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

No comments:

Post a Comment