BAGHDAD - Seorang pengebom berani mati semalam meletupkan dirinya berhampiran sebuah ibu pejabat pengambilan askar baru di sini menyebabkan 60 orang terbunuh dan 125 yang lain cedera sekali gus merupakan angka korban tertinggi dalam bulan Ramadan setakat ini.
Mangsa yang terbunuh terdiri daripada askar dan anggota baru.
Insiden itu berlaku pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan di luar bekas bangunan Kementerian Pertahanan Iraq.
Kem itu dikatakan menerima kemasukan 250 orang askar baru setiap minggu.
Serpihan tangan dan kaki boleh dilihat di lokasi yang dipenuhi darah manakala orang ramai yang terkejut datang untuk mencari saudara masing-masing yang masih hidup. Sekurang-kurangnya dua orang askar yang menjadi saksi serangan menyatakan kemungkinan sebuah kereta juga meletup di lokasi sama menyebabkan angka korban menjadi tinggi.
Namun, jurucakap tentera menegaskan kejadian itu disebabkan oleh seorang pengebom berani mati.
Seorang pegawai tentera, Qassim al-Moussawi menyalahkan kumpulan Al-Qaeda ekoran serangan itu.
Peningkatan keganasan di Iraq berlaku pada musim panas kali ini. Pada 7 Ogos lalu, dua kejadian letupan bom membunuh 43 orang di sebuah pasar di Basra. - Agensi
No comments:
Post a Comment