Wednesday, August 18, 2010

Henti persoal kuota orang Melayu


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek diminta menghentikan tindakan mempersoalkan kuota untuk usahawan bumiputera kerana ia hanya akan membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican(gambar) berkata, Soi Lek sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan supaya kuota 30 peratus usahawan bumiputera dimansuhkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
"Kita menyelar tindakan Soi Lek seolah-olah beliau tidak menghormati pendirian kerajaan untuk membantu orang Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan dari segi ekonomi.
"Alasan Soi Lek langkah itu perlu bagi mewujudkan suasana daya saing tinggi dan berdasarkan kepada perubahan ekonomi semasa adalah salah dan mengelirukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Reezal mengulas kenyataan Soi Lek hari ini yang menyatakan rasa kecewa dengan ingatan Timbalan Perdana Menteri semalam supaya parti itu tidak terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.
Sementara itu, Reezal berkata, Soi Lek yang lahir pada era sebelum kemerdekaan perlu akur dengan dasar pembentukan negara ini.
"Beliau perlu memahami dasar pembentukan negara hasil permuafakatan pemimpin UMNO, MIC dan MCA.
"Tindakan Soi Lek menyentuh hak serta keistimewaan orang Melayu akan menyebabkan 16 juta Melayu dan bumiputera kecewa dengan beliau," katanya.

No comments:

Post a Comment